Nikmat Makan Perlahan
BANYAK masalah kesihatan dialami penduduk dunia hari ini berpunca daripada makanan dan sikap terlalu banyak makan. Dalam semua aspek kehidupan, termasuk bab makan, Islam menyarankan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kesederhanaan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.” Baginda juga menasihatkan:
“Berpuasalah! Nescaya kamu akan sihat.” Dalam sebuah hadis lain ada menyebut: “Janganlah dibunuh hati kamu seumpama buah, malah seumpama ladang yang binasa akibat terlampau banyak air. Begitulah hati akan binasa dengan banyak makan dan minum.”
Malah, Islam memberi garis panduan terhadap adab sopan ketika makan iaitu mengecilkan suapan, kunyah perlahan-lahan, makan tidak berselang seli dengan minum manakala ketika minum, air hendaklah diteguk sedikit demi sedikit
Ada juga yang menyarankan supaya makanan dikunyah sehingga betul-betul hancur dengan kiraan sekurang-kurangnya 30 kali kunyah. Ada juga yang mengatakan 40 kali. Tidak kira berapa kali pun, saranan ini ada manfaat terselindung kerana makanan dikunyah hancur mengandungi lebih banyak enzim dari air liur dan ia memudahkan proses pencernaan. Masalah berat badan berlebihan dan obesiti yang semakin berleluasa menyebabkan ada penyelidik barat mencuba pendekatan makan secara perlahan-lahan dalam kajian mereka. Dalam kajian dijalankan penyelidik Universiti Rhode Island, Amerika Syarikat itu, 30 peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan yang makan cepat diberi sudu besar, makan secepat mungkin dan tidak berhenti ketika mengunyah. Manakala kumpulan kedua diberi sudu lebih kecil, suapan mereka juga kecil, mengunyah makanan antara 15 hingga 20 kali dan meletakkan sudu di atas pinggan setiap ketika mengunyah. Setiap peserta diberi jumlah dan berat makanan sama iaitu sepinggan besar pasta dengan sos tomato dan keju parmesan serta segelas air. Hasil kajian mendapati: Apabila makan cepat, wanita mengambil 646 kalori dalam masa sembilan minit. Apabila makan perlahan-lahan, purata pengambilan kalori hanya 579 kalori dalam masa 29 minit.Ini bermakna orang yang makan cepat mengambil lebih banyak kalori dalam masa singkat. Walaupun perbezaannya hanya 67 kalori bagi kedua-dua kumpulan, namun jika dinilai bagi tiga waktu makan (sarapan, makan tengah hari dan malam) bezanya sangat ketara.
Malah, peserta ditanya mengenai kepuasan mereka sejurus selepas makan dan sejam kemudian. Kumpulan yang makan cepat mendakwa mereka tidak puas dan cepat lapar berbanding kumpulan satu yang makan perlahan-lahan. Kumpulan yang makan perlahan berkata, mereka berpeluang menikmati keenakan makanan dan minum lebih banyak air ketika makan. Faktor ini dipercayai menyebabkan mereka puas dan kenyang lebih lama. Makan secara perlahan-lahan juga memberi peluang kepada otak untuk mengenali isyarat bahawa kita sebenarnya kenyang. Ini kerana isyarat kenyang dan puas makan mengambil masa untuk ditafsirkan. Justeru, ada pakar pemakanan menyarankan kita berehat di antara 15 hingga 20 minit sebelum mengambil keputusan menambah makanan ke dalam pinggan — jika masih terasa lapar.
Malah, apabila makan cepat, kita biasanya terdorong untuk kurang minum air. Ada kalanya kita tersilap mentafsir antara rasa lapar dan dahaga. Ramai orang tidak sedar badan mereka sebenarnya mahu air dan bukan makanan, tetapi keinginan itu disalah anggap dengan keinginan untuk makan. Ini sebabnya ada yang menyarankan kita minum sebelum atau selepas makan kerana ia membuat kita berasa lebih cepat kenyang. Kita juga tidak digalakkan minum ketika makan kerana ia mencairkan enzim pencernaan dalam perut. Proses pencernaan berlaku lebih sempurna dalam keadaan perut berasid. Jika terpaksa, minum dalam tegukan kecil tetapi elak minuman berkarbonat, soda atau minuman berais kerana ia menghalang pencernaan. Sebaik-baiknya minum 10 minit sebelum makan atau sekurang-kurangnya sejam selepas makan.
Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Madya Dr Norimah Karim, berkata tabiat pemakanan sihat mempunyai tiga ciri iaitu makan secara perlahan-lahan (melebihi 20 minit untuk menghabiskan sesuatu makanan), makan apabila terasa lapar dan berhenti sebaik saja terasa kenyang sedikit.Jika terlalu sibuk sehingga kadangkala tidak makan, buat jadual makan yang bersesuaian dengan kerja bagi memastikan anda ada waktu makan teratur kerana ia ‘mengajar’ badan untuk berfungsi dengan lebih baik dan cekap.
Makan cepat bukan saja memperlihatkan sikap gelojoh, tetapi ia juga boleh menyebabkan masalah pencernaan yang mengakibatkan beberapa masalah seperti:
-Banyak angin (lebih kerap kentut daripada biasa).
-Kembung.
-Cepat penat.
-Mudah berparut.
-Keradangan kulit.
-Berat badan bertambah dengan cepat.
-Sering sendawa.
-Pedih ulu hati.
-Makanan tidak hadam.
-Keradangan lain.
Sememangnya kajian berkenaan mengesah dan menguatkan lagi amalan Islam yang diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Didapati amalan makan perlahan-lahan dapat membantu:
Mengurangkan berat badan. Makan perlahan-lahan memberi badan masa untuk mengenal pasti bahawa kita sebenarnya kenyang dan ia secara tidak langsung dapat mengelak kita terlebih makan.
Memberi kepuasan dan keseronokan menikmati makanan. Sememangnya apabila kita makan secara perlahan-lahan, kita dapat menikmati rasa sebenar makanan.
Memperbaiki proses pencernaan. Ramai menyangka makanan hanya dicernakan apabila sampai ke perut. Sebenarnya pencernaan makanan bermula di dalam mulut iaitu ketika kita mengunyah dan menghancurkan makanan. Lebih lama makanan dikunyah, lebih banyak enzim daripada air liur masuk ke dalam makanan dan ia membantu memudahkan proses pencernaan di dalam perut.
Mengurangkan tekanan. Waktu makan boleh menjadi ‘sesi menenangkan fikiran’ bagi sesetengah orang, terutama yang terlalu sibuk dan tiada waktu untuk bersenam. Makan perlahan-lahan membolehkan anda berasa lebih seronok dan tenang.
Lebih banyak masa berinteraksi dengan orang lain. Berbual ketika makan bukan saja membuatkan kita makan lebih perlahan, tetapi ia juga memberi ruang untuk merapatkan hubungan dengan orang lain. Kaedah ini lebih baik jika dapat diamalkan dalam keluarga untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.
No comments:
Post a Comment