Sunday, August 03, 2008

Perutusan Ketua Pengarah PASTI Pusat


Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah perkenan serta izin-Nya maka PASTI Malaysia dapat meneruskan usaha murni memacu kegemilangan PASTI sebagai entiti pendidikan prasekolah yang disegani di negara ini. Sejurus tirai 2008 dibuka, takwim pendidikan PASTI Malaysia telah disusun dengan lengkap sepanjang tahun ini dengan pelbagai program pendidikan di sana sini. Pengurusan PASTI Malaysia bertambah sistematik dan efisyen dengan operasinya berpusat di sebuah bangunan empat tingkat yang dibeli dengan harga RM900 ribu. Buku-buku teks dan latihan untuk anak-anak PASTI berumur 5 tahun kini berwajah baru dan bertambah bilangannya walaupun mengalami masalah kelewatan dan teknikal.

Tahun 2008 ini merupakan tahun yang penuh mencabar dengan komitmen dan keazaman warga PASTI dituntut kerana PASTI tidak lagi boleh berperanan dalam lokaliti dan lingkungannya. Sebaliknya, dalam tempoh lebih dua darsawarsa ini (lebih 20 tahun) kewujudan PASTI sewajarnya telah mula menonjolkan diri di pentas nasional dan antarabangsa sesuai dengan kekuatan organisasinya yang telah menghimpunkan lebih 60,000 murid seluruh negara dengan bilangan institusi PASTI yang hampir mencecah 1600 buah. Jika dikaitkan pula dengan produk PASTI dalam vakum pembangunan modal insan yang dilahirkan sejak tahun 1984, hampir sejuta murid-murid PASTI telah mendapatkan pendidikan awal di institusi ini. Kini, sebahagian daripada murid-murid PASTI ini telah melanjutkan pelajaran di IPTA dan IPTS luar dan dalam negara. Saya percaya ramai juga yang telah menamatkan pelajaran dan telah pun berkerjaya sesuai dengan kelayakan masing-masing. Lebih membanggakan kita, sebahagian daripada anak-anak PASTI ini telah mula menggerakkan ALUMNI PASTI dan mencari ruang dan peluang untuk menyumbang tenaga bersama-sama dengan Komuniti PASTI.

Sesuai dengan pengalaman dan peranan PASTI dalam arus kemajuan pendidikan prasekolah negara, PASTI Malaysia bertekad dan berazam akan bergerak dalam kontinum dan keupayaannya sendiri dengan mengukuhkan struktur pentadbiran, meningkatkan kualiti dan profesionalisme guru dan pengurus PASTI, mengupayakan pengurusan dan menubuhkan koperasi demi menjaga kebajikan guru, pengurus dan murid-murid PASTI. Selain itu, PASTI Malaysia mula mengorak langkah dengan bersedia menganjurkan Seminar Pendidikan Prasekolah Islam Kebangsaan yang bakal diadakan di Selangor pada oktober ini. Program-program rutin pendidikan PASTI seperti Peperiksaan Akhir Tahun Berselaras akan terus diperkasakan selain Sambutan Hari Guru dan Kejohanan Sukan PASTI 2008 yang diadakan di Kota Bharu Kelantan. Ijtimak Guru-Guru PASTI Malaysia di Langkawi, Kedah dan Ihtifal PASTI Kebangsaan di Alor Star Kedah juga akan diadakan sebaik-baik sahaja cuti sekolah akhir tahun bermula. Untuk menawarkan pendidikan alternatif kepada masayarakat Islam negara ini, PASTI Malaysia sedang dalam membuat persiapan akhir untuk melancarkan produk terbaharu PASTI iaitu kelas PraTahfiz PASTI dan KAFFAH yang bakal mengisi keperluan fardu ain untuk anak-anak masyarakat Islam di premis PASTI pada sebelah petang dan hujung minggu di seluruh negara.

Akhir kata, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas komitmen dan sumbangan semua pihak dalam menjayakan pendidikan PASTI ini. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha ini sebagaimana firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu” (Surah Muhammad : Ayat 7). Mudah-mudahan Allah melindungi kita semua dan menjaga keselamatan anak-anak kita selama mana mereka mendapat pendidikan di PASTI. Amin Ya Robbal A’lamin.
AZRIN ABDUL MAJID

No comments: