Puasa tak Jejas Perkembangan Bayi dalam Kandungan
Kajian kesihatan mendapati ibu mengandung yang berpuasa tidak menjejaskan kandungan walaupun kadangkala tidak selesa terutama pada tahap tiga bulan pertama kandungan.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar Ampang Putri, Dr Ariza Mohamed, berkata ibu hamil masih boleh berpuasa kerana ia tidak memberi kesan kepada perkembangan bayi.
“Ibu mengandung boleh berpuasa, membaca al-Quran terus menerus dan doa untuk kesihatan bayi dalam kandungan,” katanya yang tidak menafikan cabaran ibu mengandung terutama loya, muntah, pening dan gastrik pada tiga bulan pertama menyebabkan badan kekurangan air hingga ada terpaksa menerima rawatan di hospital.
Beliau berkata demikian pada seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia di Bangi, baru-baru ini.
Dr Ariza berkata, proses dehidrasi menjadikan ibu lemah, berat berkurangan tetapi biasanya keadaan itu tidak menjejaskan bayi. Begitu juga bagi ibu pada peringkat tiga bulan terakhir terpaksa berhadapan dengan keletihan, sukar untuk fokus, tidak dapat tidur dengan baik dan berat badan mungkin statik atau berkurang.
“Dalam keadaan itu bayi tidak terjejas kerana mereka mendapat cukup makanan daripada ibu. Jika mampu ibu mengandung boleh berpuasa tetapi boleh berbuka apabila mengalami muntah yang teruk. Cuma dari segi menggantikan puasa, ada perbezaan pendapat,” katanya.
Beliau berkata, risiko ibu yang menyusukan anak apabila berpuasa ialah kurang susu dan menyebabkan anak menangis. Sedangkan susu ibu adalah makanan lengkap bayi dan WHO menyarankan enam bulan pertama eksklusif susu ibu tanpa dicampur susu formula.
“Bagi ibu menyusukan anak, dibolehkan berbuka puasa seperti ibu mengandung. Cuma bagi yang mengandung, ada berpendapat tidak perlu berpuasa tanpa berusaha sedangkan Ramadan memberi banyak manfaat,” katanya sambil menasihatkan wanita hamil melewatkan sahur, makan tamar serta susu ketika sahur dan makanan tinggi serat, berehat tengah hari dan memastikan berbuka dengan makanan yang memberi tenaga segera.
Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar An Nur, Dr Norshinah Kamarudin meminta penghidap kencing manis bersahur, jangan melewatkan berbuka dan tidak makan berlebihan. Pesakit boleh mengubah dos ubat. Jika dos biasa diambil waktu pagi boleh ditukar kepada berbuka sementara dos diambil sebelum makan malam ditukar kepada waktu bersahur.
“Pengubahsuaian dos insulin perlu dilakukan dengan bimbingan doktor selain melakukan ujian tahap gula dalam darah pada waktu tertentu seperti sebelum bersahur, tiga hingga empat jam kemudian atau sebelum berbuka dan tiga hingga empat jam selepas itu.
“Minum cukup air, menggantikan air selepas buang air dan elak minuman manis,” katanya.
No comments:
Post a Comment