Wednesday, June 13, 2007

Eksplorasi

Eksplorasi : Kaedah mempercepat
perkembangan kemahiran manipulatif

Oleh : Rosnah Ahmad

Persoalan yang sering diajukan ibu bapa apabila menghantar anak ke taman asuhan kanak-kanak ialah : “Bila anak saya boleh mula belajar menulis?”. Semua ibu bapa sedar bahawa setiap anak mesti mempunyai kemahiran menulis kerana ia adalah faktor penentu kejayaan anak di sekolah, universiti dan kerjaya mereka. Mengajar anak menulis adalah amanah sebagaimana sabda Rasulullah : “Hak anak atas ibu bapanya adalah diajarnya menulis, berenang dan memanah serta diberikan makanan yang halal.” – (Hadis Riwayat At-Tarmizi).

Cara yang digunakan oleh kebanyakan ibu bapa untuk mengajar anak mereka menulis ialah dengan memegang tangan anak dan menunjukkan cara menulis A,B,C atau 1,2,3. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan kemahiran yang banyak untuk menulis dan kemahiran itu sudah ada sejak awal lagi kerana bayi dilahirkan dengan tindak balas genggaman sangat kuat hingga boleh menampung berat badan sendiri.

Jika bayi diganggu dengan bunyi yang kuat atau pergerakan kasar secara tiba-tiba, tindak balas terkejut akan menyebabkan bayi membuka jarinya seperti bintang dan kejutan itu perlu hilang sebelum bayi memperoleh kemahiran manipulatif. Perkembangan memanipulasi tangan seperti memegang sesuatu berlaku dengan pesat pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya peka terhadap perkembangan ini supaya mereka dapat menyediakan persekitaran dan rangsangan yang sesuai untuk menyokong setiap perkembangan anak.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh menolong mempercepatkan tindak balas genggaman dengan membuka jari anak satu persatu dengan lagu atau nasyid kerana suasana gembira memudahkan bayi membuka genggaman secara perlahan-lahan. Seterusnya rasakan tapak tangan anak dengan benda-benda yang mempunyai tekstur berlainan seperti kain, kertas dan plastik pelbagai jenis bagi menolong menguatkan otot jari tangan selain membiasakan mereka dengan pelbagai objek.

Ada ibu bapa yang sering memarahi anak kerana suka mengutip dan memasukkan ape saja yang mereka jumpa ke dalam mulut sedangkan perilaku itu adalah penunjuk anak sudah boleh menggunakan ibu jari serta jari telunjuk untuk mengambil sesuatu. Pencapaian kemahiran manipulatif yang hebat ini boleh dilatih dengan memberi anak makan sendiri makanan seperti kismis dan sayuran yang dipotong kecil.

Ada kalanya anak dilihat seperti sengaja melepaskan barang yang dipegang, sedangkan hakikatnya anak itu belajar menggenggam serta melepaskan barang sebagai merangsang tahap perkembangan kebolehan yang baru dipelajari. Anak-anak yang bebas meneroka dan diajar berdikari lebih awal akan cepat memperoleh kemahiran manipulatif kerana mereka berpeluang menggunakan tangan dan jari untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti makan, memakai pakaian dan bermain. Hal ini akan mempercepatkan lagi kesediaan mereka untuk aktiviti menulis yang terbahagi tiga peringkat utama iaitu pra tulis, awal menulis dan pandai menulis.

Peringkat pra tulis bermula apabila kanak-kanak sudah boleh membuat garisan dengan pensil dan menconteng. Berilah latihan yang banyak menggunakan pergerakan halus jari mereka dengan aktiviti mengoyak, meramas, menggetel, melipat, memusing, memutar, memulas, mencantum dan melarik di atas pasir atau udara. Kanak-kanak disekitar umur satu atau dua tahun yang didedahkan kepada aktiviti begini lebih cepat menguatkan koordinasi tangan dan mata mereka untuk persediaan menulis.

Peringkat awal menulis biasanya bermula disekitar umur tiga tahun apabila kanak-kanak sudah boleh melukis imej yang boleh dikenali, menulis dengan sokongan dan menulis mengikut garis putus. Sekitar umur empat tahun pula, kanak-kanak biasanya sudah boleh menulis tanpa sokongan dan pada peringkat itu, ibu bapa mestilah lebih kreatif untuk menjadikan aktiviti menulis menarik. Antara cara menggalakkan anak menulis ialah sebelum keluar membeli belah kita boleh menyuruh anak-anak menyediakan senarai serta kuantiti barang yang hendak dibeli seperti dua buku roti, sebatang pensil dan empat biji limau.
Anak-anak akan sibuk bertanya ejaan barang yang hendak ditulis dan secara tidak langsung mereka turut belajar mengeja pada masa yang sama. Kebiasaan itu boleh dipraktikkan sebelum pergi berkelah, bercuti atau bali kampong. Anak-anak digalakkan menyiapkan barang keperluan sendiri seawal usia empat tahun. Aktiviti begini banyak memberi kebaikan dan memudahkan dalam usaha memupuk sifat bertanggungjawab, berdisiplin serta berdikari dalam diri anak di peringkat lebih awal.

Kanak-kanak sememangnya berpotensi untuk melahirkan penulisan kreatif, kritis dan inovatif. Untuk itu kita perlu menyediakan pelbagai jenis kertas, peralatan menulis dan mewarna bagi memupuk minat anak untuk menulis. Pada peringkat awal, kita janganlah terlampau memberi perhatian kepada cara anak menulis atau mengeja dengan salah sebaliknya beri kata-kata galakan dan pujian harus diberi sebelum menegur kesilapan mereka. Kanak-kanak banyak belajar melalui kesilapan dan sewajarnya aktiviti yang dijalani oleh anak-anak secara eksplorasi menggembirakan mereka dan seisi keluarga.

Sumber : Buletin PASTI 2007

No comments: