Thursday, January 25, 2007

LARANG ANAK-ANAK KE PASTI, SB UGUT IBU BAPA


KUALA LUMPUR, 13 Jan (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar surat rasmi kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan atas perbuatan anggota cawangan khas (SB) yang mengugut ibu bapa berbangsa Cina di Klang kerana menghantar anak mereka ke Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI).
Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam sidang medianya hari ini memberitahu SB bertindak mengugut ibu bapa murid-murid dengan menyekat subsidi diesel mereka.
"Ugutan itu menyebabkan semua ibu bapa yang mana anak mereka belajar di PASTI takut untuk menghantar anak mereka ke PASTI," katanya.
Ketika ini, seramai 18 kanak-kanak berbangsa Cina yang belajar di PASTI Klang dan ternyata mereka boleh menguasai bahasa Arab dengan baik.
Sementara itu, Salahuddin mempersoalkan perbuatan SB berkenaan yang dianggap tidak bertamadun kerana tidak ada laporan yang mengesahkan sekolah-sekolah PASTI mendoktrinasi murid berkenaan untuk membenci kerajaan mana-mana pihak.
"Kita akan menghantar surat rasmi kepada Musa Hassan dan melaporkan insiden berkenaan dan meminta beliau menjelaskan kenapa SB perlu kacau keluarga murid berkenaan," katanya. - mks.

sumber : Harakahdaily.net

No comments: