Wednesday, January 17, 2007

Perutusan 2007 Pengarah PASTI Pusat

PASTI “KHAZANAH TAMADUN PENDIDIKAN NEGARA”

Alhamdulillah, segala pujian dan kesyukuran dirafakkan kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah rahmat dan berkat-Nya, kami dapat meneruskan khidmat bakti kepada warga Malaysia menerusi wadah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pada sesi persekolahan tahun ini. Terima kasih kepada para ibu bapa kerana memberi kepercayaan kepada kami mendidik anak-anak kalian. Keyakinan dan sokongan tuan-tuan amat dihargai dan amanah yang diberi akan kami laksanakan sedaya upaya kami.

Penghargaan juga ditujukan kepada pasukan pengurusan PASTI di setiap peringkat dan para guru yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam menjayakan persiapan sesi baru ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada para ibu bapa dan dermawan yang telah menghulurkan sumbangan untuk pembelian bangunan pentadbiran PASTI. Sumbangan berterusan daripada tuan-tuan masih kami harapkan untuk membiayai kos pembelian barangan PASTI Pusat yang bernilai RM 790,000.00 serta kos pengubahsuaian, perabot dan peralatan.

Sesi persekolahan 2007 dibuka ketika umat Islam masih berada pada hari Tasyriq dalam bulan Zulhijjah yang mulia. Semangat berkorban untuk Islam adalah pengajaran terbaik daripada peristiwa penting ini. Semoga kehadiran murid ke institusi PASTI merupakan manifestasi niat untuk melahirkan insan rabbani, seperti pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s dalam peristiwa bersejarah itu.

Khazanah
Sejak ditubuhkan pada tahun 1984 lalu, PASTI dapat dianggap sebagai khazanah tamadun pendidikan prasekolah umat Islam di Malaysia. PASTI bertanggungjawab memberi pendidikan akidah, syariah, sirah, akhlak, Al-Quran dan akademik kepada anak-anak kita. Kurikulum dan modul pendidikan kanak-kanak berusia 4 tahun (K4T), lima dan enam tahun yang dilaksanakan bermatlamat mencapai prinsip 5M, iaitu membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Program tersebut menyumbang peningkatan kadar celik huruf, celik Al-Quran, celik jawi dan pembangunan modal insan di Negara ini. Keberkesanannya turut menarik minat golongan bukan Islam menghantar anak-anak mereka ke PASTI.

Struktur Organisasi
PASTI telah menstruktur semula organisasinya di semua peringkat. Perubahan ini bertujuan membuat penambahbaikan dalam sistem pengurusan agar PASTI dapat mempertingkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatan. PASTI juga mewujudkan jaringan dan perkongsian bijak dalam kalangan komuniti yang pelbagai latar kehidupan. Hubungan erat antara pihak pengurusan, guru dan ibu bapa menerusi Jemaah Ibu Bapa Guru (JIBG) mesti dipertingkatkan supaya pelbagai program integrasi komuniti setempat untuk memupuk persaudaraan dan perpaduan umat dapat dilestarikan.

Rancangan 2007
Pada tahun ini, PASTI telah merancang beberapa program yang melibatkan penyertaan murid, guru, pihak pengurusan dan ibu bapa. Antara program yang telah dirancang ialah Hari Kokurikulum, Sambutan Hari Guru, Seminar Pengurus PASTI Se-Malaysia dan Seminar Prasekolah Peringkat Kebangsaan. Program latihan bagi guru dan jawatankuasa pengurusan akan diteruskan demi meningkatkan kualiti perkhidmatan. PASTI akan memperkenalkan anugerah khas kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun (berpusat 2006). Semua ini bertujuan untuk meningkatkan pembangunan pendidikan dan modal insan.

Saya yakin bahawa perancangan tersebut dapat direalisasikan dengan kerjasama dan komitmen tinggi semua pihak. Benih yang kita semai, tunas yang baik yang dibela dan dibajai, pasti akan membuahkan hasil yang bermutu tinggi. Anak-anak ibarat kain putih; ibu bapa, guru dan dasar pendidikan yang baik dan mendapat keampunan Allah sahajalah yang bakal mencorak kehidupan mereka.

Akhir kata, selamat datang dan selamat belajar kepada anak-anak PASTI sekalian. Semoga Allah Taala sentiasa memberi perlindungan, rahmat dan berkat kepada kalian. SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA 1427H

Azrin Abdul Majid

No comments: