Monday, January 08, 2007

GAZA YANG DILUPAKAN



BERITA hukuman bunuh ke atas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang digulingkan oleh tentera pakatan penceroboh diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) berjaya mengalihkan perhatian dunia terhadap gerakan pembunuhan beramai-ramai penduduk awam Palestin di Semenanjung Gaza.
Dunia seolah-olah lupa bahawa dalam masa yang sama Israel terus mengganas, membunuh penduduk awam Gaza yang tidak berdosa dan tidak bersenjata.

Dengan kelengkapan senjata tercanggih termasuklah penggunaan gas Napalm (seperti yang digunakan di Vietnam) dan peluru berpandu tercanggih, NIMROD (peluru berpandu antikereta kebal berpandukan laser yang mencapai jarak 26 kilometer dengan kadar ketepatan tinggi), penduduk Palestin terus diburu dan dibunuh tanpa belas kasihan.

Berbanding 148 penduduk Syiah, lebih 5,506 penduduk awam Palestin di Gaza dibunuh kejam sejak intifada kedua September 2000.
Pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza pada September 2005 bukanlah satu pembebasan bagi Gaza yang telah ditakluki oleh Israel lebih 38 tahun lalu. Sebaliknya pengunduran tersebut adalah perubahan strategi Israel untuk melancarkan penghapusan rakyat Palestin dengan lebih sistematik lagi. Israel kemudian menempatkan bala tenteranya dengan kekuatan lebih 5,000 anggota pembunuh di sempadan Gaza, menunggu masa untuk membunuh rakyat Palestin di situ.

Kemuncak keganasan besar-besaran Israel yang terkini bermula dengan serangan pada Jun lalu ke atas infrastruktur Gaza termasuklah pusat jana kuasa elektrik utama, jambatan, sekolah dan Universiti Islam. Serangan ganas yang kemudiannya dikenali sebagai Operasi Autum Clouds berterusan sehingga kini dengan lebih 200 penduduk awam dibunuh termasuklah wanita, orang tua dan kanak-kanak. Antara yang menyayat hati ialah operasi di kawasan Beit Hanum, utara Gaza yang menyaksikan 48 penduduk awam Palestin terbunuh.

Dalam keghairahan dunia memfokuskan kes Saddam, kezaliman ke atas penduduk Palestin diselindungi oleh pihak media khususnya di Barat. Penduduk Gaza bersendirian berjuang menentang kezaliman Israel. Dengan hanya bersenjatakan keazaman, penduduk Gaza terus bermandi darah menentang kekejaman Israel yang disokong oleh Amerika dan Eropah. Bagi penduduk Gaza, maruah dan keadilan akan diperjuangkan hingga ke titisan darah terakhir. Antara yang mengagumkan ialah keberanian lebih 200 wanita Palestin yang tidak bersenjata membina jaringan manusia mempertahankan kesucian masjid Al-Nasr di utara Gaza daripada bedilan peluru berpandu Israel pada Jumaat, 3 November lepas . Wanita-wanita ini mungkin sedar bahawa dunia kini tiada siapa yang bersimpati dengan mereka. Lantas wanita-wanita yang berjiwa ‘singa’ ini mempertaruhkan nyawa mereka dengan 24 orang yang dibunuh oleh Israel. Segala-galanya demi mempertahankan keadilan dan maruah pejuang Palestin.

Masyarakat antarabangsa lantas seperti biasa cuma berdiam diri tanpa sebarang tindakan konkrit seperti mana sejak 60 tahun lalu apabila British menjajah bumi Palestin dan menubuhkan Israel. Bagi AS reaksi White House adalah sesuatu yang dijangkakan seperti mana hukuman mati terhadap Saddam. Bagi Washington, retorik lama diulang semula dengan kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika, Sean MacCormack pada Sabtu lepas yang menyalahkan rakyat Palestin khususnya di Gaza sebagai punca segala kemelut. Malah MacCormack mempertahankan keganasan Israel dengan alasan basi sejak 60 tahun lalu iaitu Israel berhak membunuh penduduk Gaza atas prinsip ‘mempertahankan diri daripada serangan pengganas’.

Nada Washington ini sememangnya selari dengan perisytiharan ‘perang yang panjang’ oleh Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert pada 4 Julai lepas atas alasan yang sama iaitu Israel berhak mempertahankan diri. Hujah Tel Aviv bahawa serangan Israel adalah untuk membebaskan askarnya, Koperal Gilat Shalit yang diculik adalah alasan yang sangat lemah.
Seorang askar biasa Israel yang ditahan menceroboh di wilayah Palestin tidak ‘menghalalkan’ Israel melancarkan ‘hukuman menyeluruh’ yang terang-terangan bercanggah dengan prinsip Konvensyen Geneva berhubung Hak Asasi Manusia. Malah alasan yang sama digunakan Israel dalam serangan terhadap selatan Lebanon baru-baru ini, pembunuhan beramai-ramai di Shabra dan Shatila dan ketika Israel menakluki Tebing Barat serta Bukit Golan pada 1967.
Ironinya dalam masa yang sama Israel memenjara tanpa bicara beribu penduduk Palestin di Israel seperti mana yang dilakukan oleh AS di Guantanamo Bay. Malahan Israel menculik ahli parlimen dan menteri menteri Palestin yang dipilih secara demokrasi.

Mereka ini adalah sebahagian yang diculik oleh Israel daripada 74 ahli parlimen Hamas (48 di Tebing Barat dan 26 di Semenanjung Gaza). Persoalannya sekarang dalam pembunuhan di Gaza, siapakah yang menjadi mangsa dan siapa pula yang menjadi pemangsa?
Apakah bala tentera Israel yang canggih itu boleh dianggap ‘mempertahankan diri’ ataupun penduduk awam Gaza yang tidak bersenjata termasuklah 200 wanita di utara wilayah itu?

Dan yang lebih mendukacitakan dunia Islam khususnya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebagaimana tahun-tahun sebelumnya tidak mampu berbuat apa-apa. OIC hanya mampu melihat penduduk Palestin di Gaza dikepung oleh bala tentera Israel untuk dibunuh satu persatu umpama “kambing yang dikurung di dalam kandang menunggu masa untuk disembelih”.
Sesungguhnya dari segi sejarah Semenanjung Gaza (Ghazza dalam bahasa Arab) adalah kota tua Palestin yang terkenal suatu waktu dulu. Kota yang terletak bersempadan dengan Laut Mediterranean di sebelah baratnya dan sempadan antarabangsa dengan Mesir di utara berhampiran Rafah.
Wilayah-wilayah di semenanjung ini yang terdiri dari Gaza, Dair el-Balah, Khan Yunis dan Rafah menjadi saksi kepada segala bentuk penjajahan dan keganasan terhadap rakyat Palestin.
Bermula dengan penjajahan Assyria pada 734 Sebelum Masihi (SM) penaklukan Alexander pada 332 SM, penjajahan Rom pada 57 SM, Napoleon pada 1799, Israel (1955 dan 1967) dan sehinggalah kini November 2006, wilayah Gaza terus bermandi darah.
Sejarah akan mencatatkan bahawa sejak Januari 1949 sehinggalah November 2006, penduduk wilayah Gaza seperti pelarian di kem Jabaliyah dan Rafah akan terus menjadi ‘haiwan sembelihan’ Israel.

Hakikatnya secara fizikal agak sukar untuk kita menentang paksi ‘kejahatan’ Israel, Amerika dan sekutunya yang mengganas di Gaza, (seperti mana kejayaan Khalifah Umar pada 634 Masihi). Namun percayalah langkah pertama yang boleh dilakukan ialah dengan terus-terusan tanpa henti, kita menyebar dan mendedahkan ke seluruh dunia tentang kezaliman Israel dan konco-konconya.
Sesungguhnya perpaduan kepimpinan rakyat Palestin akan menjadi halangan paling besar yang mampu menyekat gerakan pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas penduduk Palestin khususnya di Semenanjung Gaza.
Kematian Saddam akan tercatat dalam tinta sejarah di Asia Barat tetapi mampukah umat Islam menanggung beban sejarah hitam membiarkan penduduk Palestin dibunuh sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembelaan?

- DR. MUHAMAD HASRUL ZAKARIAH ialah Pensyarah Sejarah Asia Barat Moden,

No comments: