Monday, October 01, 2007

Hazaimudi Dalam Kenangan Ramadhan


Pihak warga PASTI Kawasan Dungun mengucapkan takziah kepada keluarga terdekat Ustaz Hazaimudi Mat Hassan, AJK PASTI qaryah Kuala Dungun yang terbunuh di tempat kejadian dalam kemalangan ngeri di selekoh Kelulut Marang. Semoga roh beliau diletakkan bersama orang yang soleh.

Kereta yang dipandu beliau telah dirempuh oleh sebuah kereta yang terbabas akibat tidak sempat memotong di selekoh berkenaan.
Jenazah beliau, ibu dan dua anak saudaranya telah sampai ke Surau Taman Rakyat, Gong Pasir Dungun kira-kira jam 2.10 pagi dari Hopital Sultanah Nur Zahirah K. Terengganu. Keluarga dan kenalan serta orang ramai berhimpun di Surau Taman Rakyat sejak jam 10.00 malam menunggu jenazah . Solat jenazah diadakan pada jam 2.40 pagi diimamkan oleh Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, YDP PAS Kawasan Dungun. Kira-kira 250 orang mengerjakan solat Jenazah termasuk Ustaz Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat. Jenazah dikebumikan di Kubur Gong Pasir dan semuanya selesai pada pukul 3.20 pagi.

Terima kasih kepada Jawatankuasa Tabung Khairat Kematian Taman Rakyat yang mengurus Jenazah 2 anak saudaranya dan Pemuda PAS Kawasan Dungun yang mengurus semua perbelajaan untuk pengkebumian beliau dan ibunya.

Hazaimudi Mat Hassan atau lebih dikenali sebagai Mudi di kalangan kawan-kawan rapatnya adalah seorang tenaga pengajar di Sekolah Rendah Bersepadu (Islam) Zainal Abidin. Beliau telah mula mengajar di sekolah berkenaan sejak mula ditubuhkan ( tiga tahun lalu ). Mudi adalah lulusan Diploma Kaunseling dari Kolej Jaipetra Kota Bharu.

Sebelum itu beliau aktif mengajar fardhu ain bagi kanak-kanak di beberapa buah surau antaranya : Surau Padang Jambu, Surau Bunga Raya dan Surau Kubur Kg. Molek. Mudi juga aktif bersama Pemuda PAS sebagai AJK Pemuda PAS Cawangan Padang Jambu dan AJK Pemuda DUN Sura ( Ketua Lajnah Tarbiyyah ) .

Kali terakhir saya sempat bertemu beliau ialah pada hari rabu ( dua hari sebelum kemalangan ) . Mudi datang ke pejabat PASTI bagi mengedarkan pamphlet kemasukan pelajar Sek. Ren. Zainal Abidin sesi 2008. Tiada apa - apa yang luar biasa pada wajahnya. Seperti biasa dengan joke nya yang sedikit mengena. Itu kebiasaan beliau. Saya merasa sedikit terkilan selepas kejadian malang itu kerana semasa beliau datang saya tidak banyak melayan nya kerana sedang asyik melakukan kerja-kerja lain. Menurut sahabat yang sempat bersama beliau pada pagi jumaat, tiada apa yang ganjil pada Mudi. Beliau solat jumaat di masjid Pulau Serai sebelum bertolak ke Manir, K. Terengganu. Namun begitu menurut cerita rakan –rakan guru di Sek Ren Zainal Abidin, pada hari rabu, Mudi pernah mencadangkan untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajarnya pada hari khamis (esoknya). Tetapi guru-guru lain mencadangkan pada hari isnin kerana tidak sempat membuat persiapan. “ Kalau hari isnin dok dang ( tak sempat )”, jawab Mudi. Guru-guru lain tidak faham apa yang di maksudkan . Mungkin Mudi sendiri pun tidak tahu mengapa dia menjawab begitu.
Mudi adalah seorang yang peramah, tetapi tidaklah talkative. Antara hobinya memelihara binatang. Kucing dan burung adalah kegemaranya yang dipelihara di rumahnya di Kg. Binjai Stesen
Semoga roh beliau diletakkan bersama orang yang soleh.



Dalam kenangan, Hazaimudi sedang membuat balingan dalam acara pentonque semasa Sambutan 20 tahun PASTI Kawasan Dungun pada 11 Mei 2007


Empat sekeluarga, satu lain maut nahas tiga kereta

Oleh: IRMAN HASHIM (UM)
MARANG 28 Sept
. – Lima orang termasuk empat sekeluarga dan seorang pengantin baru terbunuh manakala lima yang lain cedera parah dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kereta di Kilometer 24, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berdekatan Kampung Alur Tuman di sini.
Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3.50 petang ketika sebuah kereta Honda Ferio yang dinaiki tiga lelaki yang dikatakan dipandu laju dari arah Kuala Terengganu ke Dungun terbabas ketika melalui satu selekoh.
Kereta itu kemudiannya memasuki laluan bertentangan dan menghentam sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki tujuh sekeluarga sebelum terhenti di tengah-tengah laluan. Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey yang dinaiki enam sekeluarga yang mengekori kereta Proton Wira berkenaan tidak sempat mengelak lalu merempuh Honda Ferio berkenaan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob berkata, mangsa yang terbunuh ialah empat orang yang menaiki kereta Proton Wira iaitu pemandunya, Hazaimudi Mat Hassan, 28, bersama ibunya, Siti Fatimah @ Zainun Yusop, 53, dan dua beradik yang merupakan anak saudaranya iaitu Nurul Nabila Azmi, 10, dan Rabiatul Adawiyah, 3.
Seorang lagi yang meninggal dunia, kata beliau, ialah penumpang belakang kereta Honda Ferio, Mohd. Izzy Akmal, 25, dari Taman Purnama, Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang baru sebulan melangsungkan perkahwinan.
Menurutnya, ketika kejadian Hazaimudi dan anggota keluarganya sedang dalam perjalanan dari Kampung Binjai Stesen, Dungun ke Manir, Kuala Terengganu untuk berbuka puasa di rumah kakak Hazaimudi, Sabrina Mat Hassan, 36, di Kampung Kesom.
Beliau memberitahu, mereka yang cedera parah pula adalah kakak Nurul Nabila, Nurul Shafikah, 12, sepupunya, Zulhilmi Zulkifli, 21, dan bapa saudaranya, Husnu Tajudin, 17. Turut cedera parah ialah pemandu Honda Ferio, Idris Husin, 29, dari Taman Bukit Mentok, Kemaman dan penumpang kereta itu, Fadil Mohd. Nor, 26, dari Manir, Kuala Terengganu manakala enam sekeluarga yang menaiki Honda Odyssey terselamat.
Kesemua jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd. Shahril Ismail, 24, yang menunggang motosikal di belakang kereta Honda Ferio itu berkata, dia melihat kereta itu memandu dengan laju dan kelihatan sedang berlumba dengan sebuah kereta BMW berwarna perak sebelum kemalangan itu berlaku.
Katanya, apabila tiba di selekoh jalan sebelum tempat kejadian, kereta Honda Ferio terbabas lalu melanggar kereta Proton Wira menyebabkan ia melambung sebelum tersadai di tepi jalan raya. “Kereta Honda Odyssey yang berada di belakang kereta Proton Wira cuba membrek tetapi gagal lalu merempuh kereta Honda Ferio itu,” katanya.

2 comments:

fiena said...

asalamualaikum
terlebih dahulu ucapan takziah untuk keluarga abg mudi..
eina adalah bekas pelajar sama intake dgn abg mudi dan kami sama cos dalam dipl psikologi..
sepanjang pengajian eina kenal arwah abg mudi adalah seorang yang baik dan peramah..
hari nie tiba rasa nak ari kawan2 sama2 belajar dulu tapi tiba2
terkejut eina bila dapat tahu berita ni walau pun dah lama..
apapun arwah adalah seorang yang baik kerana eina perna bersama dalam kumpulan sewaktu belajar dahulu..
doa eina moga roh nya senantiasa dirah mati..
kepda sesiapa yang kenal eina boleh terus mail eina..

nor salbarina asyiken bt abu bakar

Unknown said...

Waalaikumussalam..terima kasih mendoakan arwah.. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang²beriman.. Mohon ampun salah dan silap masa. hayatnya..beliau seorang ank dan adik yg tak menyusahkan keluarga.. Dia seorang yg berdikari..