Cari Sharlinie Sampai Jumpa
Pendahuluan :
Hari ini sekali lagi Negara kita gempar dengan kehilangan adik Sharlinie Mohd Nashar . Suatu tragedi yang meletakkan rakyat kembali resah dengan tahap keselamatan mereka dewasa kini . Tragedi yang menimpa adik Nurin Jazlin masih menjadi trauma yang sukar dilenyapkan dari masyarakat kita terutama kepada ibu bapanya , kini terpaksa berhadapan sekali lagi dengan peristiwa yang sangat menakutkan .
Sebelum ini adik Nur Fatiha Zaidi juga diculik namun alhamdulillah ia dikembalikan , kini tragedy penculikan berlaku lagi dan entah berapa kali lagi rakyat akan terus menghadapi tragedy seumpama ini sementara tahap keselamatan rakyat kian dipertikai dan dipersoalkan .
Gesaan Terhadap Pihak Kerajaan.
Berurutan dengan peristiwa ini , Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa dan mendesak supaya pihak kerajaan lebih serius dalam menangani kes yang berkait dengan keselamatan rakyat khasnya kanak – kanak .
Melahirkan rasa sedih dan simpati dari pimpinan Negara terhadap keluarga mangsa dan meratapi tragedi yang berakhir dengan kekejaman adalah suatu yang tidak memadai tanpa tindakan tegas dan berkesan diambil untuk mengatasinya.
Satu Suruhanjaya Khas mesti segera dibentuk bagi meneliti dan mengemukakan langkah serta tindakan berkesan guna mengekang jenayah serupa dari terus berlaku dan berleluasa disamping memburu dan menghukum penjenayah terbabit .
Dewan Pemuda PAS Pusat secara konsisten , tetap menegaskan bahawa kerajaan perlu segera melaksanakan syariat Islam sebagai peraturan dan undang – undang Negara yang berdaulat demi membendung Negara ini dari terus dicengkam ketakutan atau kebimbangan melampau akibat jenayah yang terus marak dan subur dalam negara ini.
Setelah peraturan dan undang – undang yang sedia ada jelas kelihatan gagal menangani pelbagai isu terutamanya berkait dengan soal jenayah yang dilihat mutaakhir ini berkembang pesat tanpa kawalan yang efektif. Penjenayah pula bagaikan “selamat” berada dalam system ini untuk terus memburu mangsa tanpa simpati.
Kerajaan selayaknya melunturkan keegoan mereka untuk sedia mengakui perlunya syariat Islam dalam menyelesaikan persoalan seperti ini setelah “mata kepala” mereka sendiri melihat dan menyaksikan kegagalan system ciptaan manusia yang mereka agongkan selama ini. Kenapa tidak kembali kepada qanun Ilahi ?
Sekali lagi kerajaan digesa supaya mereka menggunakan polis secara all out untuk memerangi jenayah dan mengekang tragedi seperti ini agar ianya tidak lagi berlaku. Janganlah kerajaan hanya mengerahkan kekuatan polis ini habis - habisan untuk memerangi dan membelasah parti pembangkang dan mereka yang tidak sealirang dengan mereka sebagaimana yang mereka tunjukkan sebelum ini dalam banyak insiden seperti isu BERSIH dan lainnya .
Squad Penyelamat Unit AMAL
Dewan Pemuda PAS Pusat turut terpanggil dengan penuh rasa tanggungjawab dan berkewajipan untuk bantu mencari dan menjejaki adik Sharlinie Mohd Nashar dengan mengarahkan Jabatan AMAL Pusat dan Negeri – negeri agar mengambil langkah pro aktif dalam menggerakkan jentera mereka . Squad Penyelamat UNIT AMAL dilancarkan dengan misi “ Cari Sharlinie Sampai Jumpa ” .
Semua jentera Dewan Pemuda PAS Pusat dikerahkan untuk mengedar risalah “ Di Mana Sharlinie ” dengan segala kesungguhan dan keupayaan yang ada. Dalam masa yang sama , solat hajat dan munajat hendaklah diadakan di seluruh Negara terutama di masjid – masjid dan juga di Pusat Tarbiyyah masing – masing .
Bersabar dan bertawakkal
Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan ibu bapa Sharlinie bersabar menghadapi ujian getir ini dan bertawakkal kepada Allah Azza wa Jalla . Semoga adik Sharlinie kembali kepangkuan keluarga dalam keadaan selamat . Amin Ya Rabbal A’lamin .
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat .
1 comment:
Terima kasih kerana komen di Blog saya, saya tak kisah kalau maklumat berikut di gunakan dimana2 blog lain.
Post a Comment