Monday, April 28, 2008

Pelajar PASTI, Pemimpin Masa Depan Islam

KUALA TERENGGANU, 28 April (Hrkh) - PAS menaruh keyakinan bahawa pendidikan asas Islam yang diterapkan melalui Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) sejak dua dekad lalu mampu melahirkan generasi kepimpinan yang berjaya.

Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata pendidikan Pasti yang diwujudkan oleh PAS mampu melahirkan generasi kepimpinan Islam yang hebat.
Ini kerana, katanya telah ramai di kalangan bekas pelajar Pasti tersebut berjaya dalam pelajaran serta melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di Universiti-universiti tempatan dan luar negara.
"Kita (PAS) yakin dengan mutu dan taraf pendidikan di pusat-pusat Pasti yang diwujudkan sejak 20 tahun lalu kerana telah ramai di kalangan lepasan pelajar Pasti yang berjaya dalam pelajaran masing-masing.
"Ramai yang pernah mendapat didikan di Pasti dapat melanjutkan pengajian di Universiti tempatan dan luar negara.

"Saya yakin ada yang boleh menjadi pemimpin Islam yang berjaya demi masa depan negara," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Pasti Peringkat Kuala Nerus, di perkarangan Markas Tarbiyah PAS Wakaf Tengah, semalam.

Menurutnya, aktiviti bersukan bukan perkara baru dalam Islam kerana pernah dilakukan sejak di zaman Rasulullah s.a.w. lagi.
Katanya, aktiviti sukan yang digalakkan dalam ajaran Islam adalah berkuda, memanah dan berenang.
Bahkan, katanya Rasulullah s.a.w. sendiri pernah melakukan aktiviti bersukan dengan berlumba lari bersama Aisyah r.a sebagai garis panduan kepada umat Islam hari ini.
"Aktiviti bersukan ini untuk melahirkan para pelajar Pasti yang cergas, tangkas dan sihat tubuh badan termasuk jiwa, emosi dan mental kerana semakin maju dunia semakin banyak penyakit, dan kesihatan jiwa (emosi) yang kita utama.
"Nabi SAW pun pernah main lumba lari dengan Aisyah r.a dan kadang-kala Nabi s.a.w. menang, kadang-kala Aisyah r.a yang menang termasuk juga aktiviti memanah dan berenang digalakkan oleh Islam," jelasnya.

Apa yang penting, katanya melahirkan generasi umat Islam yang berjaya serta bakal menerajui perjuangan Islam di negara ini.
Beliau mahukan agar pemerintahan Islam dikembalikan serta dapat didaulatkan semula di negeri Terengganu Darul Iman. - mks.




No comments: