Tuesday, April 29, 2008

Sukan PASTI Tawau Meriah, Lebih 3000 hadir

TAWAU, 23 April (Hrkh) - Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah, Kadarisman Kadiran berkata, masyarakat Sabah perlu memberi keutamaan pendidikan Islam kepada anak-anak mereka agar anak-anak ini bakal menjadi pemimpin yang baik pada masa akan datang.


"PASTI telah menyediakan sistem pembelajaran yang lengkap untuk mendidik anak-anak kita menjadi seorang anak yang baik akhlaknya dan menyemai sifat-sifat mulia yang boleh menjadikan mereka sebagai pemimpin Islam yang unggul di Sabah pada masa akan datang.

Beliau berharap ibu bapa tidak mudah terpengaruh dengan propaganda mana-mana pihak yang berfikiran sempit mengatakan jika anak-anak mereka dihantar ke PASTI, minda anak-anak ini akan dikongkong dengan sistem politik yang dibawa oleh PAS.
"Saya ingin jelaskan di sini bahawa Islam itu ada politik, ada ekonomi, ada kemasyarakatan , pendidikan, kebudayaan dan sukan. PAS merupakan satu pertubuhan gerakan dakwah untuk melahirkan manusia yang beriman dan bertakwa, dan pada masa yang sama juga merupakan suatu pertubuhan politik yang berjuang menentang kezaliman, rasuah, dan ketidakadilan pihak pemerintah.

"Jadi, anak-anak yang dihantar ke PASTI insya Allah bakal menjadi pemimpin yang baik pada masa akan datang," katanya ketika merasmikan Sukaneka Tahunan PASTI kawasan Tawau kali ke-21 di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian di hadapan lebih 3,000 orang yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak pasti dari seluruh daerah Tawau.

Sebanyak 17 buah PASTI menyertai sukaneka kali ini. Beliau juga mengajak masyarakat Sabah agar bersama dengan Pakatan Rakyat agar rakyat Sabah dapat menikmati keadilan yang sebenarnya.
Ketika diajukan soalan berkenaan penerimaan masyarakat Sabah terhadap PAS dalam PRU ke -12 baru-baru ini, beliau berpendapat bahawa masyarakat Sabah tidak menolak PAS, kerana ada pertambahan ahli PAS ketika PRU ini berlangsung.
Antaranya, di Kampung Sungai Imam, Tawau sahaja terdapat lebih 50 orang mengisytiharkan diri mereka menyertai PAS dan sebuah cawangan PAS dibentuk di Kg.tersebut.
Sebelum itu, seramai 30 orang turut menyertai PAS di Kampung Merotai.

Menurutnya lagi, bukti yang cukup jelas menunjukkan tanda protes rakyat Sabah kepada BN baru baru ini ialah terlepasnya Dun Sri Tanjung, dalam parlimen Tawau dan Parlimen Kota Kinabalu kepada Pakatan Rakyat, menerusi DAP.

Terdahulu daripada itu, Ketua Pemuda PAS Tawau, Muhammad Nasir Ali, dalam ucapan alu-aluannya berkata, Pemuda PAS Tawau akan terus berusaha untuk memberi khidmat pendidikan pra-sekolah yang terbaik kepada masyarakat. PASTI Tawau juga telah membuka tiga lagi cawangan barunya pada awal tahun ini, iaitu di Taman Seri Indah, Taman Megah Jaya dan Felda Umas.
Menurutnya lagi, pihaknya juga telah bekerjasama dengan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia , cawangan Tawau untuk mendaftarkan tujuh buah PASTI dalam Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (Kelab 3K).

Tujuan penubuhan kelab ini ialah untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang langkah-langkah pencegahan kebakaran, mengikut modul-modul yang diberikan oleh pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia.
Beliau juga mengajak rakyat agar terus menghantar anak-anak ke PASTI seterusnya memberi sokongan kepada program-program PAS di mana-mana.
"Penyertaan kita dalam pilihanraya umum di Dun Merotai, baru-baru ini merupakan satu amanah. Sebenarnya, kita tidak kalah , Cuma kita belum menang lagi," katanya yang juga Ketua Unit Amal Tawau.

Pengarah Sukaneka PASTI Tawau 2008, Ustaz Muhamad Nazri pula mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua AJK dan para penaja yang telah bersungguh-sungguh menjayakan Sukaneka PASTI dengan meriah.
Pada tahun ini, PASTI Nurul Farahain, dari Kg.Merotai Besar telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Sukaneka PASTI Tawau 2008. - mr
kiriman ; Syakir Hassan

1 comment:

Kijar said...

See Please Here