Sunday, March 18, 2007

Seminar PASTI

SEMINAR PENGURUSAN PASTI 2007

PASTI Pusat telah mengadakan Seminar Pengurusan pada 16 & 17 Mach 2007 di Balai Islam Lundang, Kota Bharu Kelantan. Lima kertas kerja telah dibentangkan bagi memantapkan lagi pengurusan PASTI di semua peringkat. Lebih dari enam ratus peserta dari seluruh negara telah menghadiri seminar dua hari tersebut.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Sdr Salahudin Ayub , Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau antara lain menegaskan PASTI telah meletakkan asas modal insan yang paling kukuh iaitu Tauhid dan Taqwa agar menjadi benteng daripada segala ancaman yang merosakan nilai kemanusiaan. Orang yang mempunyai pencapaian akademik yang tinggi tetapi tiada dasar tauhid dan taqwa akan menjadi perompak pintar, mengaut segala kekayaan negara dan rakyat untuk kepentingan diri.
Sdr. Azrin Abdul Majid selaku Ketua Pengarah PASTI Pusat telah membentangkan satu kertas dasar halatuju PASTI menjelang 2011. PASTI akan mengemukakan system pendidikan P3-K6 bagi menjana kecemerlangan ilmu dan pembinaan generasi Islam yang lebih berwibawa.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat , Mursyul Am PAS telah menyampaikan ucapan pada pagi 17 Mach 2007 antara lain menegaskan konsep pendidikan yang beteraskan pertimbangan dosa dan pahala. Pendidikan sebegini tidak terhenti setakat perhitungan duniawi bahkan berkekalan hingga ke hari akhirat. Tuan guru seterusnya melancarkan buku teks K4T.

Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar terbaik negeri-negeri turut diadakan pada hari kedua seminar. Turut menerima anugerah ialah pelajar generasi petama PASTI Sarawak, adik Anas Khatib b. Abdul Hadi yang ditemani oleh bapanya.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ust. Idris Ahmad selaku Timbalan Ketua DPPP.

Anas Khatib bersama bapanya Abd Hadi

No comments: