Makanan Rasulullah saw.
Selera makan dan minum Rasulullah saw. sangat halus. Baginda saw. sangat gemar makan daging tulang, daging leher, daging pinggang dan rusuk. Masakan istimewa orang Arab , sop dimakan bersama roti juga disukai. Madu, cuka, tembikai, timun, labu, mentega dan beras dimasak bersama kacang juga disukai. Nabi saw. juga menggemari memasukkan kurma bersama susu dan mentega. Baginda saw. tidak suka makanan pedas. Makanan manis adalah kegemaran Baginda saw. Nabi saw. tidak makan makanan yang menyebabkan nafas berbau seperti bawang.
Ketika minum ia tidak bersuara dan mengangkat gelas tiga kali dari bibirnya . Setiap kali gelas diangkat ia mengucapkan syukur kepada Allah. Selepas makan Nabi saw. akan membersihkan tangannya dengan membasuh.
Baginda saw. menyukai orang -orang duduk bersamanya makan. Apabila dibuatkan sup Nabi saw menyuruh ditambahkan kuah supaya lebih ramai orang dapat merasainya.
Nabi saw. melarang makan dalam bekas daripada emas dan perak .
Ia menggunakan bekas yang diperbuat daripada kaca , kayu, tanah dan zink.
Sebelum duduk untuk makan di atas alas, beliau membuka kasut dan membasuh tangan. Baginda saw hanya makan dengan menggunakan tangan kanan dan mula mengambil makanan yang paling hampir dengannya. Biasanya Nabi saw. duduk bersila atau bertimpuh, dia tidak suka makan sambil bersandar. Rasululllah saw. tidak duduk makan menggunakan kerusi dan meja kerana ia lambang kemewahan. Baginda saw juga tidak makan makanan yang dianggap mewah, pernah Nabi saw menolak makanan yang dibuat dari tepung badam kerana ia makanan orang kaya-kaya.
Jika ia tidak suka sesuatu makanan, ia diam sahaja dan meninggalkan makanan itu serta tidak mengatakan sesuatu terhadap makanan itu.
Jika terdapat tetamu ia akan menyungguhi supaya makan hingga kenyang. Nabi saw. tidak menolak undangan makan dan jika bersamanya ada sahabat lain beliau akan meminta izin supaya dapat bersama. Nabi saw. bangun apabila orang lain berbuat demikian setelah makan. Jika orang lain telah selesai , Nabi saw akan berhenti dan bangun bersama mereka. Selesai makan Nabi saw berdoa keberkatan untuk tuan rumah..
Jika Baginda saw. menerima hadiah makanan ia akan mengajak sahabat –sahabat makan bersama dan menyimpan sebahagian untuk yang tidak hadir.
Selepas adanya usaha orang Yahudi meracunnya melalui makanan, Nabi saw. selalu bertanya nama makanan yang dibawa dari tempat lain dan meminta orang yang membawanya merasa terlebih dahulu.
Sungguhpun Nabi saw. mempunyai ketajaman selera, tetapi makanannya sangat sederhana. Pernah beliau bersabda ” Aku makan dan minum sebagaimana sepatutnya seorang hamba Allah”. Pada kebanyakan hari, Nabi saw. hanya makan buah kurma dan air sahaja. Bahkan sebahagian besar kehidupan Nabi saw . adalah kekurangan makanan. Baihaqi meriwayatkan, telah berkata Aisyah ra.: “Rasulullah SAW tidak pernah kenyang tiga hari berturut-turut, dan sebenarnya jika kita mau, kita boleh kenyang, akan tetapi beliau selalu mengutamakan orang lain yang lapar dari dirinya sendiri. (At-Targhib Wat-Tarhib )
No comments:
Post a Comment