Nabi saw. dan kanak-kanak
Baginda saw. amat gemar kepada kanak-kanak yang dipanggil sebagai bunga-bunga di dalam kebun Allah. Mereka adalah pemimpin ummah pada masa akan datang.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan suatu ketika Rasulullah saw. mencium cucu Baginda saw, Hassan dan ketika itu ada duduk bersama Baginda saw. Al-Afra bin Habis At-Tamimi. Al-Afra lalu berkata: “Aku ada sepuluh orang anak tapi aku tak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Maka Rasulullah saw. pun bersabda, “ Sesiapa yang tidak menyayangi anak-anak tidak akan disayangi dan dirahmati Allah.”
Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a bermaksud: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak kasihan belas terhadap anak-anak.”Baginda saw. pernah pergi ketempat anaknya Ibrahim menyusu di rumah seorang tukang besi walaupun jauh. Ia membelai dan mencium anaknya dengan kasih sayang. Apabila Ibrahim meninggal Baginda saw. mengalirkan air mata.
Rasulullah saw. amat menyayangi cucu-cucu beliau. Pernah suatu hari, cucu beliau Saidina Hussin berada di masjid ketika Baginda saw. sedang sujud. Saidina Hussin memanjat belakang Nabi saw. Baginda saw sengaja memanjangkan sujud sehingga para sahabat menyangka bahawa ia adalah satu perintah baru dari Allah swt. untuk memanjangkan sujud . Selepas Rasulullah saw . selesai mengerjakan solat, mereka bertanyakan beliau tentang sujud yang lama itu. Rasulullah saw menjawab, Cucuku telah memanjat belakang ku , maka aku mahu memuaskan hatinya. Aku hanya bangun dari sujud apabila ia telah puas hati.
Jika seorang bayi dibawa kepadanya ia meletakkan di atas ribanya. Jika ditemui kanak-kanak di jalan dia akan mendukung kanak-kanak itu.
Apabila Nabi saw diberi buah-buahan pada musimnya untuk pertama kali, akan diberikan buah itu kepada kanak-kanak.
Sekali – sekala Baginda saw. mempunyai masa dan kesempatan bermain dengan kanak-kanak. Pernah Rasulullah saw. berjumpa sekumpulan kanak-kanak sedang bermain , lalu beliau meminta mereka berdiri sebaris mengadap beliau. Selepas itu Nabi saw. duduk di satu tempat yang agak jauh dari kanak-kanak itu. Kemudian Baginda saw. meminta mereka berlari mendapatkan beliau, siapa yang sampai dahulu akan mendapat hadiah. Maka kanak-kanak itu berlari dengan sekuat-kuatnya menuju beliau , sehingga ada yang sampai melanggar paha, perut Baginda saw . Selepas itu Nabi saw. memeluk mereka semua dengan penuh kasih saying.
Dalam satu hadis Nabi saw. bersabda: “Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku menyegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya”. (Riwayat al-Bukhari).
Rasulullah saw. pernah menziarahi seorang kanak-kanak Yahudi yang sakit dan kemudiannya budak Yahudi itu memeluk Islam .
Baginda saw. sangat prihatin dalam mendidik ummah termasuk kanak-kanak
Ibn Abbas meriwayatkan: “Rasulullah bangun bersolat malam. Aku berdiri di sebelah kiri Baginda saw. ,beliau memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda.” (Riwayat al-Bukhari)
“Daripada Anas bin Malik katanya neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w. untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagaian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah, saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan, kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w. berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.”
Seorang sahabat Nabi pernah berkata, "Semasa saya kecil, saya suka menjatuhkan buah kurma dengan membaling batu pada pohon kurma. Pada suatu hari, ada seseorang (Rasulullah s.a.w.) yang mendukung saya dan menasihati saya agar memungut buah kurma yang jatuh dari pohon dan bukan menjatuhkannya menggunakan batu. Dia kemudiannya mengusap kepala saya dan memohon rahmat untuk saya"
Rasulullah s.a.w. selalu beramah mesra dengan kanak-kanak dan tidak pernah memukul walaupun seorang kanak-kanak (mahupun wanita) di sepanjang hidupnya. Rasulullah s.a.w. banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya pemberian denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.
Baginda sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak .
Rasulullah saw. selalu memberikan salam dahulu kepada kanak-kanak . Ini mendidik mereka dan menanamkan dalam diri mereka agar bersegera memberi salam.
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah satu ketika Rasulullah saw mengutus beliau untuk melalukan satu tugas . Dalam perjalanan beliau berjumpa beberapa budak lelaki . Maka beliau duduk bersama budak –budak tersebut.. Apabila Rasulullah saw mendekati mereka, Rasulullah saw. dengan segera memberi salam kepada mereka . Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam kepada Anas bin Malik. Sehingga akhir hayat beliau selalu bersegera memberi salam.
No comments:
Post a Comment