Wajah Nabi saw.
Sebagai seorang Nabi yang menjadi pembimbing manusia dan membawa satu risalah agung, Baginda saw. dikurniakan rupa paras yang menarik dan berkarisma. Penampilannya sederhana tetapi menarik dan penuh wibawa. Rupa paras dan perawakan seseorang mengambarkan akal budi dan akhlaqnya. Kita tidak memiliki gambar wajah Rasulullah saw. Lantaran Baginda saw. sendiri melarang rupa parasnya dilukis kerana ditakuti akan dipuja dan disembah sebagaimana yang telah berlaku pada umat –umat yang terdahulu. Andainya ini berlaku maka musnahlah inti ajaran Islam yang diwahyukan. Apa yang dapat digambarkan mengenai susuk tubuh peribadi agung ini hanya gambaran riwayat para sahabat .
Abdullah bin Salam (seorang pendita Yahudi yang memeluk Islam ) mengatakan, “ Sebaik sahaja aku melihat Rasulullah saw. , aku sedar bahawa wajah ini bukan wajah seorang penipu.”
Seorang sahabat lain Abu Ramsa Taimi berkata, “ Aku pergi kepada Rasulullah saw. bersama anak lelakiku dan orang ramai menunjukkan Baginda saw. kepada ku. Bila sahaja aku memandangnya lantas aku yakin ia sebenarnya seorang rasul.”
Sebuah kafilah pedagang telah datang ke Madinah dan berkhemah di luar kota. Secara kebetulan Rasulullah saw. lalu di situ dan membeli seekor unta, dan Baginda saw. berjanji akan mengirim bayaran dari rumahnya. Pemilik unta itu kemudiannya bimbang kerana mempercayai seorang yang tidak dikenalinya. Tetapi ibunya berkata, “Jangan bimbang , aku telah melihat wajah seorang lelaki yang bersinar seperti purnama. Orang yang memiliki wajah seperti itu tidak akan menipu. Jika ia tidak membayarnya aku sendiri akan menjelaskannya. “ Kemudiannya Rasulullah saw. menghantar kurma yang bernilai lebih daripada harga unta.
Telah berkata ibu Qarsafa dan ibu saudara Qarsafa , “ Aku belum pernah melihat seorang lelaki yag lebih kacak dari Rasulullah saw. Aku melihat cahaya memancar dari lidah nya. “
Abu Hurairah pernah menyebut, ” Rasulullah saw. umpama matahari yang bersinar. Aku belum pernah melihat lelaki yang lebih tampan daripada Rasulullah saw.”
Rab’ee anak perempuan Mu’aawaz telah berkata, “Andainya kamu melihat Rasulullah saw. ,kamu merasakan seolah-olah melihat matahari terbit.”
Saidina Ali ra. mengatakan, “Kali pertama memandangnya , kamu akan terpesona.”
Saidina Jabir Samra mengatakan, “ Aku pernah melihat wajah Rasulullah saw. di bawah sinaran bulan dan aku membandingkan wajahnya dengan bulan, akhirnya aku sedari wajah Rasulullah saw. jauh lebih cantik dari bulan”.
Kaab bin Malik mengatakan , “Apabila Rasulullah saw. merasa gembira wajahnya akan bercahaya seperti purnama. Dari situ kami mengetahui Rasulluah saw. merasa gembira “.
No comments:
Post a Comment