Teknologi Senjata Rasulullah saw.
Teknologi Senjata dan Peperangan Rasulullah saw.
Nabi Muhammad saw. adalah seorang Rasul yang memimipin negara (Madinah). Maka sudah tentu ia menghadapi ancaman musuh dari negeri dan negara yang bencikan agama Tauhid. Peperangan adalah satu perkara yang dibenci oleh semua manusia apatah lagi oleh seorang Nabi, tetapi ia adalah perkara yang tidak dapat dielakkan disepanjang zaman selagi ada manusia dan syaitan.
Rasulullah saw. sangat mengambil berat terhadap persediaan ketenteraan umat Islam pada setiap masa. Persediaan ini merangkumi kekuatan aqidah, kekuatan peralatan senjata serta kekuatan ilmu (kemahiran) melalui latihan. Sesuai dengan perintah Allah :
“Dan bersiap sedialah sekuasa kamu daripada segala kekuatan dari pasukan berkuda yang bersedia bagi menakutkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh –musuh lain yang kamu tidak ketahui sedang Allah mengetahui. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasan bagi kamu, dan kamu tidak akan dizalimi.” - Al Anfal 60
Kekuatan aqidah
Sebelum terjun ke medan peperangan, Rasulullah saw. telah mendidik para sahabat dengan aqidah yang kukuh. Keimanan yang sungguh kepada Allah sehingga menjadikan sahabat - sahabat sanggup menanggung apa sahaja perintah dan berkorban samaada menang atau syahid. Rasulullah saw. juga memerintahkan sahabat supaya ikhlas berjuang kerana Allah. Baginda sering kali berpesan apabila menghantar pasukan yang berangkat , “ Berperanglah dengan nama Allah dan di jalan Allah” ( HR Ahmad, Muslim dan lain-lain – daripada sebuah hadis yang panjang )
Di samping itu Rasulullah saw. juga memotivasi para sahabat, antara katanya “ Ketahuilah kamu sekalian, bahawa syurga itu di bawah kilatan mata pedang." ( HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud )
Kekuatan teknologi
Kekuatan teknologi peperangan merujuk kepada semua kelengkapan ketenteraan; senjata , pengangkutan , komunikasi kemahiran strategi dan sebagainya.
Langkah-langkah Rasulullah saw. dalam meningkatkan teknologi ketenteraan
Teknologi Asing
Peralatan tentera yang lebih canggih pada masa itu dimiliki oleh Rom dan Parsi ( kuasa besar ). Rasulullah saw telah menghantar utusan dua orang sahabat , Urwah bin Masud dan Ghailan bin Salamah ke Jarashy , Damshik ( di bawah kuasa Rom ) bagi mempelajari cara membuat Manjanik dan Dabbabah ( kereta perisai )
Belanjawan perang
Rasulullah saw. juga memperuntukkan belanjawan khusus untuk kelengkapan perang. Imam Tarmizi menyatakan dari Omar Al Khattab bahwa harta-harta Bani Nadhir ( Yahudi ) yang dirampas ( harta fai ) telah diserah kepada Rasulullah saw. Lalu Nabi saw mengambil sebahagian daripadanya dan selebihnya untuk membeli kuda dan senjata sebagai persediaan perang fisabilillah. Ibnu Ishak menceritakan dalam perang bani Quraizah, bahawa Rasulullah saw telah mengutuskan Saad bin Zaid Al Ansari membawa tawanan perang Bani Quraizah ke Najd, lalu ia membeli dengan orang tawanan itu kuda dan senjata untuk Baginda saw.
Rasulullah saw. menggalakkan para sahabat memberi infaq fisabilillah untuk membiayai persiapan peperangan. Diriwayatkan bahwa dalam peperangan Tabuk , Saidina Othman menginfaqkan 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. Saidina Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya 4000 dirham . Saidina Umar membelanjakan separuh daripada hartanya. Disamping itu ramai lagi sahabat-sahabat menginfaqkan harta mereka termasuk muslimat yang datang kepada Rasulullah saw. menginfaqkan harta perhiasan mereka berupa gelang , rantai dan sebagainya.
Pengangkutan tentera
Rasululllah saw. sangat menggalakkan sahabat memaksimakan penggunaan binatang kenderaan dalam medan jihad. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “ Barang siapa berperang pada jalan Allah dengan menunggang unta , maka dipastikan ia masuk syurga. ( Nailul authar ) . Dalam satu hadis yang lain Rasululah saw. bersabda, “ Mengikat kuda sehari untuk berperang pada jalan Allah , lebih baik daripada dunia dan isinya” ( Nailul Authar )
Rasulullah saw. sentiasa meningkatkan pengunaan kuda dalam angkatan tentera . Bermula dari 2 ekor kuda dalam peperangan Badar , 50 ekor kuda dalam perang Uhud hinggalah 10,000 ekor kuda dalam perang Tabuk.
* Kuda pada masa itu adalah binatang yang mahal dan hanya mampu dimiliki oleh orang kaya sahaja.
Latihan Ketenteraan
Latihan Disipilin
Rasulullah saw. adalah pemimpin tentera yang pertama dalam sejarah bangsa Arab melatih anggotanya dengan disiplin dan peraturan. Solat lima waktu dan berjemaah serta puasa menjadikan sahabat-sahabat sebagai anggota yang berdisiplin, mudah disusun atur, sedia mendengar perintah serta tabah menghadapi kesengsaraan perang. Baginda saw adalah pemimpin ketenteraan pertama yang menyusun saf ketika memulakan peperangan. Pasukan tentera tidak dibenarkan menyerang sehinggalah diarahkan oleh Rasulullah saw. Semasa perang berkecamuk Rasulullah saw sentiasa memberi arahan serangan kepada pasukan-pasukan tertentu.
Latihan Fizikal dan senjata
Rasulullah saw sentiasa menekan latihan kekuatan dan kemahiran bersenjata. Baginda saw. pernah mengatakan ,” Seorang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah daripada seorang mukmin yang lemah. “ Uqbah bin Amir meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. pernah berkhutbah , “ Bersiaplah untuk menghadapi mereka dengan sekuat tenaga yang kamu boleh. Kekuatan adalah memanah, kekuatan adalah memanah, kekuatan adalah memanah. “ (HR Imam Ahmad ).
Pada satu peristiwa yang lain ketika melihat pertandingan memanah, baginda saw. bersabda “Panahlah wahai anak –anak Ismail kerana datuk mu adalah pemanah. “ ( HR Imam Bukhari dan Ahmad)
Diriwayatkan bahawa Baginda saw pernah berkata, “ Jika seseorang kamu pandai memanah kemudian ia meninggalkannya , dia bukan dari golongan kami”. ( HR Imam Ahmad)
Latihan kepimpinan , Strategi dan Taktik
Rasulullah saw. bukan sahaja memimpin sendiri operasi ketenteran bahkan beliau saw. menyediakan latihan dan persiapan kepada sahabat –sahabat mengenai kemahiran memimpin peperangan .
Bermula dengan Rasululah saw. sendiri menunjukkan contoh kepimpinan mengawasi strategi peperangan, dan perang saikologi. Baginda saw. melatih mereka bagaimana menyusn pasukan tempur dan bagaimana membuat keputusan dengan bermesyuarat . Rasululah saw juga mengajar sahabat mengenai operasi sulit ketenteraan, membuat serangan mengejut bagi mengelakkan perlawanan sengit serta megurangkan jumlah kematian
Selain melatih, Rasulullah saw. juga memberi tugasan praktikal. Sahabat-sahabat diarah memimpin sendiri sariyah –sariyah kecil dan besar. Proses ini membina keyakinan diri kepada sahabat-sahabat .
* Sariyah adalah peperangan yang tidak disertai oleh Rasulullah saw.
Kesungguhan Rasulullah saw. dalam mempertingkatkan kekuatan
Pertama kali menghadapi tentera Kafir Quraish di Badar, tentera Islam sangat lemah, iaitu seramai 313 orang dan 2 ekor kuda serta senjata tidak lengkap. Dalam perangan Uhud Rasulullah saw. telah meningkat kekuatan dengan 700 tentera , 100 orang daripadanya memakai baju besi dan 50 tentera berkuda serta sepasukan pemanah yang kuat. Kekuatan tentera ditingkatkan lagi hingga 3000 orang dalam perang Ahzab, sepasukan pemanah yang lebih kuat serta peralatan senjata yang lebih lengkap.
Semuanya ini dilakukan oleh Rasulullah saw. kerana memahami kepentingan kekuatan tenteran dalam persiapan perperangan.
Ketika Ghazwah Fathul Makkah, Rasululah saw. Menyusun 10,000 tentera serta lengkap bersenjata. Selepas itu mara ke Hunain dengan 12000 tentera hasil tambahan orang-orang Makkah yang baru memeluk Islam.
Perang Tabuk yang menuntut persiapan awal dan besar kerana jauh dan menghadapi tentera kuasa besar Rum. Rasulullash saw. mengerahkan 30,000 anggota dengan 10,000 pasukan berkuda serta bersenjata lengkap.
Walaupun Rasulullah saw sentiasa mempertingkatkan kekuatan tetapi kekuatan tentera musuh sentiasa lebih besar terutama ketika berhadapan dengan Rum dan tentera Quraish kecuali dalam Fath Makkah. Ini adalah kerana kekuatan Islam adalah baru muncul pada masa itu. Namun begitu dalam banyak perperangan Rasulullah saw mencapai kejayaan kerana kekuatan keimanan serta kepandaian menggunakan senjata dan strategi yang baik.
No comments:
Post a Comment