Tuesday, July 31, 2007

Hadis Isra' & Mi'raj

Anas bin Malik r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah. Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit.

Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan. Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya.

Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya. Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan sembahyang lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Sembahyang lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu sembahyang dari baginda. Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu sembahyang dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu sembahyang fardu sama dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya

Sahih Muslim : 234

Banyak hadis-hadis sahih yang lain yang meriwayatkan sabda Nabi saw. mengenai peristiwa Isra' & Mi'raj dari sudut peristiwa yang berlainan .

Thursday, July 26, 2007

Keutamaan Bilal bin Rabah r.a

Abu Hurairah r.a katanya:

Selepas sembahyang Subuh, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal: Wahai Bilal ceritakan padaku tentang amalan (besar pahalanya) kamu yang kamu lakukan setelah berada dalam Islam, kerana semalam aku mendengar suara hentakan seliparmu di dalam Syurga. Bilal berkata: Aku tidak pernah melakukan suatu amalan (besar pahalanya) pun dalam Islam, tetapi selagi Allah mentakdirkan aku mendirikan sembahyang, maka aku akan berwuduk dengan sempurna samada malam ataupun siang hari

Sahih Muslim: 4497

Wednesday, July 25, 2007

Permulaan Azan

Dari Abdullah bin Umar katanya:”Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a:” Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu sembahyang?” Bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.”
(Muslim)

Huraian
Ketika orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin hari semakin ramai bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka untuk menunaikan solat pada waktunya, kerana setiap orang mempunyai potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada diri masing-masing disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang dijalani mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua orang untuk solat tepat pada waktunya. Ada banyak cadangan yang diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang dari Umar r.a yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua orang, termasuk Rasulullah s.a.w. memandangkan banyak cadangan-cadangan yang lain lebih mirip kepada kaum kafir. Namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya?

Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :"Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah bertanya," Untuk apa ? Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat." Orang itu berkata lagi, "Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik ?" Dan aku menjawab " Ya !"Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang , " Allahu Akbar, Allahu Akbar.." Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda: "Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang." Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal." Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk tersebut.

Azan mula disyariatkan pada tahun pertama hijrah.
Bilal r. a. telah menambah pada azan subuh dengan lafaz "As solatu khairuminan naum." ( Sembahyang itu lebih baik daripada tidur). Dan ia dipersetujui oleh Rasulullah saw.
Apabila tiba bulan ramadhan , Rasulullah saw. telah menyuruh azan dua kali pada waktu subuh. Azan yang pertama bagi mengingatkan orang Islam supaya bersahur.
Ada pun azan pada sembahyang jumaat sekali sahaja , sehingga zaman Khalifah Saidina Osman r. a. Apabila manusia bertambah ramai dan ada yang masih leka selepas azan zuhur maka Saidina Osman r. a. memerintahkan diazankan sekali lagi apabila imam menaiki mimbar.

Friday, July 20, 2007

Bulan Sembahyang

KOTA BHARU, 1 Rejab 1428 –

Menyedari ramai anggota masyarakat tidak cakna kepada solat, bukan sahaja remaja bahkan orang dewasa turut sama maka kerajaan Negeri Kelantan telah melancarkan Kempen Bulan Sembahyang sempena bulan peristiwa Isra dan Mikraj pada bulan Rejab
Program itu diadakan sejak 13 tahun lalu bagi mendekatkan masyarakat kepada amalan agama.
Pelancarannya disempurnakan Menteri Besar di Balai Islam. Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil dan pegawai kerajaan.
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, amalan solat perlu dihayati sepenuhnya dan bukan sekadar menjadi tradisi sahaja.
“Ini kerana sebelum ini dilihat amalan solat hanya menjadi tradisi sekadar mahu melepaskan tangggungjawab fardhu ain sahaja dan bukannya untuk dihayati.
“Sedangkan solat menjadi paksi kepada agama. Semua aktiviti kehidupan manusia mesti diselaraskan dengan amalan sembahyang,” katanya.

Menurutnya bagi mereka yang tidak menghayati sepenuhnya amalan sembahyang, ia tidak mampu menjadi benteng mencegahkan daripada melakukan perkara mungkar.

Katanya, mereka tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan letih dan semakin jauh daripada Allah Taala serta bertambah dekat kepada syaitan.
Kata beliau juga amalan sembahyang yang dihayati sepenuhnya akan dapat membantu pasukan keselamatan mengurangkan kadar jenayah.
“Ini kerana amalan solat akan mencegah seseorang melakukan perkara mungkar. Sekiranya ia dihayati betul-betul, kerajaan tidak perlu lagi menambah bilangan anggota pasukan keselamatan,” katanya.

“Saya berhasrat pada sambutan Bulan Sembahyang akan datang, biarlah Orang Asli menjadi bilal dan orang Cina pula sebagai imam. Biarlah saya menjadi makmun kepada mereka,” ujarnya.

Monday, July 09, 2007

Kepimpinan

Menangislah bila anda dipilih untuk memimpin
Oleh : Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man


Muktamar PAS yang berlangsung pada 1 hingga 3 Jun lalu menyaksikan beberapa jawatan penting dipertandingkan. Ia adalah perkara lumrah dalam organisasi parti yang menerima kaedah sistem demokrasi dalam pengurusan organisasinya.
Penerimaan kaedah ini bermakna seluruh kepimpinan perlu bersedia bahawa jawatan yang dipegang akan dipertandingkan, dan bersedia untuk menerima keputusan dengan dada terbuka. Umumnya kita menyatakan bahawa kita hanya menawar diri untuk dipilih, bukan mendesak ahli untuk memilih kita. Sifat ini adalah suatu sifat yang sangat terpuji; kerana jawatan bukanlah sesuatu yang menjadi kebanggaan apatah lagi untuk merasa terhormat dengan jawatan yang disandang.

Menyedari bahawa jawatan adalah amanah besar yang terpaksa dipikul di dunia, dan ia terpaksa pula menjawab dihadapan Allah di hari akhirat, maka selayaknya seseorang itu menangis dengan jawatan yang dipegangnya. Bukan menangisi bila ia tidak dipilih; bahkan kalaulah kita menyedari betapa beratnya amanah ini, nescaya kita akan mengucapkan 'terima kasih' kepada sahabat yang tidak memilihnya, kerana mereka telah menolong meringankan kita di hadapan Allah di akhirat.
Mari kita meneliti pesanan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar al-Ghifari yang datang memohon jawatan kepada Rasulullah s.a.w.;
"Wahai Abu Zar, kamu lemah sedangkan jawatan yang kamu minta ini adalah amanah. Dan dengannya (jawatan) kelak di hari akhirat kamu akan menyesal dan dukacita; melainkan kamu ambil kerana kamu layak memikulnya, dan kamu tunaikan pula amanah itu."
Abu Zar adalah sahabat nabi yang pernah pengsan kerana takutkan Allah, jauh berbeza dengan kita hari ini.
Sabdanya lagi: "Mana-mana pemimpin yang mengkhianati rakyatnya, maka ia di dalam neraka." (Riwayat Tabrani)
Sebenarnya terlalu banyak hadis yang sangat menggerunkan bagi orang yang memikul amanah, namun dikhuatiri akan tiada orang yang sanggup menerima jawatan yang diamanahkan kepadanya, maka memadailah dengan peringatan ini, menyebabkan ia takut untuk menerima jawatan yang diberi, antara menerima dan menolak amanah memimpin

Lalu ada yang bertanya kalau demikian, apakah kita harus biarkan jawatan disandang oleh orang yang tidak layak untuk menguruskan organisasi parti kita. Kita melihat tidak timbul soal tidak layak, kerana semua pendokong kepimpinan yang ada adalah mereka yang sangat layak memikulnya.
Kita hanya memilih yang terbaik dari yang baik-baik, kerana itu sifat yang ada kepada kita adalah tidak melampau dalam mengharapkan jawatan untuk dimenangi, sehingga sekiranya kita tidak terpilih kita melakukan sesuatu diluar adab berjamaah, sehingga tindakan kita tidak menguntungkan jamaah bahkan menyusahkan jamaah.
Kalau diperingkat awal kita menyatakan 'saya hanya menawar diri', apa makna kalau kita tewas atau tidak dipilih kita rasa kecewa, melarikan diri dari jamaah, mendiamkan diri, mengharapkan dalam hati agar yang menang gagal dan kerjanya, bahkan lebih malang lagi kita mengambil sikap memusuhi pesaing kita.
Pendokong jamaah harus sedar dengan perangkap syaitan dan hawa nafsu yang sangat licik, untuk merosakkan dirinya dan menjauhkannya dari perjuangan Islam. Lantaran itu ucaplah tahniah kepada pesaing kita yang menang dan katakan kepadanya: "Tahniah atas kejayaan anta demi jamaah, dan ana akan bantu anta dalam urusan ini". Kata-kata begini dan seumpamanya akan melemahkan hawa nafsu jahat dan mengecewakan syaitan dari merosakkan kita.
jawatan bukan untuk direbut
Jawatan bukanlah sesuatu yang perlu direbut, tetapi menerima penyelesaian secara syura adalah baik. Sama ada untuk jamaah atau untuk diri penerima jawatan. Kita perlu menyedari bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita:
"Sesiapa yang menghendaki jawatan, sedang jamaah tidak meredainya, maka ia tidak akan ditolongi Allah dalam mengatasi masalahnya, dan sesiapa yang menerima jawatan sedang jamaah mengharapkannya, maka Allah akan membantunya dalam segala urusannya." (mafhum dari Hadis rasulullah s.a.w.)
Menerima kaedah syura bermakna redha dengan keputusan yang dibuat oleh jamaah ke atas diri kita, dan tidak dianggap redha seandainya kita meluahkan rasa kecewa di luar majlis itu. Demikian juga adalah malang bagi pimpinan seandainya menyatakan bangkangan kepada apa yang telah diputuskan oleh jamaah. Apa makna berada dalam jamaah seandainya kita tidak boleh redha dengan keputusan jamaah? Lebih malang lagi bilamana kita merasa bahawa kita lebih penting dari jamaah atau merasai jamaah akan lemah kerana tiadanya kita.
tidak boleh lari dari amanah

Menolak sesuatu jawatan yang diamanah juga merupakan suatu yang bertentangan dengan sifat jamaah. Seseorang pendokong jamaah hendaklah meletakkan kepentingan jamaah lebih dari kepentingan dirinya dan keluarganya, kerana itu ia tidak boleh lari dari menerima jawatan yang diamanah kepadanya.
Kita bukan berhadapan dengan budaya merebut jawatan, sebaliknya kita berhadapan dengan sikap ahli yang tidak mahu menerima jawatan. Sikap ini juga tidak membantu jamaah dalam membina kekuatan. Terkadang sikap ahli dan sebahagian pendokong jamaah yang enggan menerima jawatan diamanahkan kepadanya, menyebabkan timbul dua keadaan:
1) Jamaah kehilangan tenaga yang berwibawa, dan keadaan ini melambatkan kejayaan dalam perjuangan Islam.
2) Tindakannya mendedahkan jamaah kepada mehnah, fitnah sama ada akan ada yang menganggap jamaah membelakangkan orang yang dianggap layak; atau ia menjadi golongan yang suka komplen dan kritik kelemahan jamaah. Kerana mereka yang berada diluar padang sangat senang mengkritik pemain yang bermengah-mengah di tengah padang.
Melihat situasi muktamar kawasan, dewan-dewan, dan berakhir dengan muktamar Pusat nanti, maka sikap pendokong jamaah ialah tidak melampau dalam tindakan mengharapkan jawatan; tetapi di masa yang sama tidak melarikan diri dari jawatan seandainya jamaah mengharapkannya dan tiada yang lain darinya. Kerana zalim bukan sahaja meletakkan bebanan kepada yang tidak mampu; sebaliknya memberi kepada yang tidak layak juga adalah zalim.

Tuesday, July 03, 2007

Hasnah - Murtad?

Mungkin sudah ramai yang pernah mendengar tentang kisah Hasnah ( Melayu ) yang murtad ini tapi saya still nak paparkan tentang kisah dia.. agar dapat kita jadikan teladan...speech dia I dah dengar( ucapan Hasnah di sebuah university di Amerika), rasa nak nangis .I tak dengar habis sebab tak sanggup dengar dia perlecehkan Islam..meremang bulu roma I..marah..hanya Allah Yang Maha Tahu. Saya terasa untuk berkongsi pandangan saya tentang perkara ini setelah berulang kali mendengar rakaman ucapan Hasnah. Mungkin boleh kita jadikan pedoman dan iktibar. Sebelum ni, saya pernah dengar atau baca tentang org Islam Malaysia murtad, saya rasa dah beberapa kali berlaku. Tapi tidak pernah saya mendengar pengakuan sebegini. Bukan setakat satu pengakuan bahawa dia sudah masuk Christian, malah memperleceh dan mempersoalkan kebenaran Allah dan Islam, dan sebaliknya mengagung2kan kristian.

Sebagai seorang Muslim, saya rasa amat marah, kecewa dan sedih, dan saya pasti anda juga akan rasa begitu. Terfikir saya bagaimana dia sanggup berbuat demikian. Hasnah memberi alasannya didalam rakaman ini. Bagaimana kesempitan hidup, kesusahan , kesedihan dan kesengsaraan membuat dia hilang kepercayaan terhadap tuhan dan agamanya. Salah siapa? Dirinya sendiri, keluarganya yg porak peranda atau masyarakat? Mungkin sudah tidak perlu lagi dijawab kerana mungkin sudah terlambat bagi Hasnah. Bagaimanapun, saya ambil kisah ini sebagi satu iktibar. Hasnah menyalahkan Allah terhadap kesengsaraan yg dia alami. Baginya, Allah tidak menyayanginya. Tidak menolongnya. Walau apapun,alasan yg diberikannya tidak boleh saya terima. Sebagai org Islam, saya percaya, apa yg berlaku dlm hidup ini adalah ketentuan tuhan, qada dan qadar. Jika hidup kita diberikan kesenangan, kita patutlah bersyukur. Dan sekiranya bala dan kesusahan kita alami, kita haruslah redha, bersabar, tabah berusaha mengatasi dan bertawakkal. Itu adalah dugaan Allah terhadap hambanya. Kadangkala, disebalik setiap kesusahan itu ada hikmahnya. Sesungguhnya Allah sayang terhadap hambanya. Sayang sekali, bukan itu yg Hasnah nampak.

Membuat saya terfikir, mungkin ada orang disekeliling kita, mungkin orang yg kita kenali melalui apa yg Hasnah telah lalui. Dan saya rasa kita boleh melalukan sesuatu utk mengelakkan ini berlaku lagi. Janganlah dibiarkan mereka bersendirian sehingga mereka mula mempersoalkan takdir tuhan. Kenapa tuhan tidak berlaku adil? Kenapa Tuhan memberikan kesusahan dan kesengsaraan? Kenapa tuhan tidak menolongnya? Mungkin kita boleh menolong mereka sedaya yang mampu. Dan saya rasa yang penting ialah mengingatkan mereka supaya redha, tabah menghadapi dan bertawakkal. Jika tidak, pasti musuh Islam akan mengambil kesempatan untuk memesongkan fikiran dan jiwa mereka, sebagaimana yg telah berlaku terhadap Hasnah. Saya harap kisah ini dapat di kongsi bersama saudara Islam kita yg lain utk dijadikan iktibar. Semoga kita berwaspada terhadap kesempatan yg di ambil oleh musuh islam untuk memesongkan kita. Tulisan saya ini adalah pandangan saya, seorang yang masih banyak kelemahan. Sekiranya ada salah dan silap, sudilah kiranya ada yg menegur. Dan buat Hasnah, semoga Allah memberi petunjuk untuknya bertaubat dan kembali kepangkuan Islam. Insyallah.Wassalam,

Adil