Saturday, August 25, 2007

Disebalik Permainan

Catatan dari e- mail

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!" Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.
Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai, dan ketika "keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..."
"Baiklah, permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan. "Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah , bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain. Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet .
"Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya... Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang...Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar. "Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..."
"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... " "Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sadar". "Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan pikiran masing-masing di kepalanya...
Renungilah sahabat semua... Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita dan keluarga. Marilah kita sama-sama sedar bahawa agama bangsa dan tanahair kita semakin terancam ! Umat Islam semakin mudah dibeli dengan wang ringgit , dilalaikan dengan keindahan dan memuja keseronokan hidup, hingga hilang maruah dan harga diri! Justeru itu marilah kita betulkan apa yang termampu bersama-sama. Usah biarkan hingga segala-galanya sudah terlambat seperti apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di negara lain, barulah kesedaran itu timbul. Mungkin masih belum terlambat tetapi kita sudah terlalu lewat untuk merubah dan memperbaiki kerosakan umat .
Y a Allah satukanlah umat Islam dengan ajaran Mu . Amiiin...
Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, tolonglah sebarkan melalui email atau cara lain ke pada sahabat2 Islam kita yang lain. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan..ALLAHU AKHBAR!!!!

Wednesday, August 22, 2007

Perasmian 3 Buah PASTI

Kemaman - Tiga buah PASTI yang ditubuhkan pada January 2007 di DUN Kemasik telah sempurna dirasmikan oleh YB Dato Seri Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang ( Presiden PAS ) pada 18 Ogos 2007. Majlis itu telah diadakan di PASTI Ar Rahman , Kg. Baru Kerteh. Turut sama dalam ceramah perasmian pada malam itu ialah Ust. Nasarudin Tantawi ( Timb. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ) dan Hj. Ismail Harun ( YDP PAS Kawasan Kemaman ) .
Pada sebelah siangnya pelbagai acara telah diadakan bagi memeriahkan majlis perasmian itu. Antaranya sukaneka , pertandingan mewarna kanak-kanak, jamuan rakyat, acara muslimat pameran & jualan dan lain-lain.
PASTI Ar Rahman Kg. Baru Kerteh, PASTI Al Munawwarah Pengkalan Ranggon dan PASTI As Syakirin Batu Putih Kerteh adalah tiga buah PASTI yang baru ditubuhkan itu. Ini menjadikan jumlah PASTI di Kawasan Kemaman sekarang adalah 26 buah.

Tuesday, August 21, 2007

Peranan Guru

Masyarakat yang berilmu meletakkan guru atau pendidik sebagai insan yang mulia dan berjasa kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik manusia bagi melahirkan generasi muslim yang beriman dan beramal soleh serta sanggup melaksanakan tugas terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru dalam sejarah hidupnya sentiasa menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup bekorban dan melakukan apa sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan orang lain. Firman Allah taala di dalam Al-Quran :


يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت

Maksudnya:“Supaya Allah taala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah Al-Mujaadalah: Ayat 11)

Peranan guru adalah luas. Guru adalah pendidik, pembimbing dan pendorong. Dia juga penyampai ilmu, penggerak dan penasihat. Ini bermaksud, guru atau pendidik mempunyai tugas dan tanggungjawab yang mencabar.

Dalam Islam terdapat 4 martabat guru atau pendidik iaitu:

1- Mudarris : yang bermaksud guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja.

2- Mu’allim : yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain.

3- Mursyid : yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar.

4- Murabbi : yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didik mereka menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Sesungguhnya peranan pendidik bukanlah terhad kepada kaum guru sahaja tetapi juga kepada ibubapa, tok guru, tok imam, tok bilal dan siapa sahaja yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka adalah pendidik. Ini bermakna kita semua adalah pendidik.

Peranan guru dalam mendidik masyarakat amatlah besar dan luas. Antaranya ialah:

1- Menyampai aqidah dan keimanan yang tulen untuk menghidupkan hati dan menghubungkan manusia dengan Allah, meyakinkan pertemuan dengan Allah, mengharapkan rahmatNya dan takutkan siksaanNya.

2- Menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardhu ain dan fardhu kifayah yang menjadi asas ubudiyah (pengabdian diri kepada Allah), hubungan harmoni sesama manusia dan alam.

3- Membentuk akhlak atau peribadi mulia supaya menjadi contoh tauladan kepada orang lain.

Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menghayati nasihat Luqman Al-Hakim sebagaimana yang digambarkan oleh Al-Quran:

يبنى أقم الصلوة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ماأصابك إن ذلك من عزم الأمور

Maksudnya:“Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)

Pada hari ini ada orang menganggap tugas mendidik tiada kaitan dengan peranan dan tanggungjawab kita. Jika tanggapan ini berterusan, kita bimbang penyakit sosial yang melanda remaja Islam hari ini semakin parah.
Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:

كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيت
Maksudnya:“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Untuk mengelakkan gejala sosial daripada merebak dan terus melanda masyarakat kita, maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab ibubapa dan mereka yang bertanggungjawab di kampung atau di bandar khususnya Wakil Rakyat, Pemerintah dan Kerajaan sama-sama mengembeleng tenaga dengan memberi perhatian utama terhadap pendidikan anak-anak dan para remaja. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum Ad-Diin menjelaskan supaya kita mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak, dengan mengajar Al-Quran, Hadis-hadis Nabi Sollallahu `alaihi wasallam, sejarah para Sahabat RA dan para Solehin, hukum-hukum agama dan termasuk juga pendidikan jasmani.

Antara perkara asas yang mesti diberi perhatian dan penekanan ialah:

1- Mendidik anak dan remaja menunaikan solat secara berterusan. Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا فى المضاجع
Maksudnya: “ Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka mencapai umur 7 tahun dan pukullah mereka apabila mereka mencapai umur 10 tahun serta pisahkan di antara mereka tempat tidur ”.( Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Berkata Sayyidina Ali Karramallahu wajhah:
علموا أولادكم وأهليكم الخير وأدبوهم

Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu dan ahli rumahtanggamu kebaikan dan perbaikilah adab sopan mereka ”.

2- Mempamerkan tingkah laku dan tauladan yang baik.
Firman Allah taala:
لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah taala dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (di dalam masa Sedih dan Senang)”. (Surah Al-Ahzab:Ayat 21)

Marilah kita sama-sama berusaha menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat yang beriman, berilmu dan berketerampilan, yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Masyarakat yang ingin kita bina ialah masyarakat yang berwawasan, bercita-cita luhur dan murni, bekerjasama, adil dan bertanggungjawab sesama insan tanpa mengira bangsa, budaya dan keturunan.
Bagi mencapai matlamat murni ini, marilah kita semua bersatu dan mengambil tanggungjawab sebagai guru bagi menyokong setiap aktiviti dan program pendidikan. Apabila ini telah dilaksanakan bermakna kita telah sama-sama menyokong serta memartabatkan profesyen keguruan, sekaligus melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar.
Oleh Mohd Azizul Hisham

Sunday, August 19, 2007

Seminar Pemikiran Islam

HOTEL RAUDHAH, KOTA BHARU
Sabtu, 11 Ogos 2007 (27 Rajab 1428)


Tabung Amanah Tok Kenali dengan kerjasama Pertubuhan Bina Insan Kelantan (PBIK) dan Pejabat Dakwah Halaqat Kelantan baru-baru ini telah menganjurkan Seminar Pemikiran Islam Semasa Melalui Penghayatan Solat yang telah di adakan di Dewan Kenanga, Hotel Raudhah, Kota Bharu.

Seminar sehari berkenaan telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peserta yang terdiri daripada guru-guru PASTI seluruh negeri Kelantan. Ianya diadakan memandang solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang perlu dihayati oleh setiap orang yang memenuhi syarat-syaratnya disamping untuk menilai semula solat yang diamalkan dan memperbetulkan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan. Program berkenaan bermula jam 9.00 pagi dengan dirasmikan oleh Ust. Wan Roslan Wan Hamat, Ketua Sektor Latihan Perguruan & Pengurusan Profesional, Jabatan PASTI Kelantan yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah PASTI Kelantan. Sementara perasmian penutup pula di sempurnakan oleh Ustaz Mohamad b. Mustafa, Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan.

Thursday, August 16, 2007

Keluarga Solat

Cerita ini saya dapati selepas saya menghadiri sebuah usrah umum baru2 ini. Ustazah menceritakan kisah ini selepas melihat sesuatu yang menakjubkan ia semasa menziarahi rumah sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah seorang guru biasa.

Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengah hari tapi belum Zohor. Kedua2 suami isteri ini masih di sekolah. Walaubagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka ( kesemuanya lelaki yang paling tua dalam tingkatan satu, yang paling muda masih bayi ) baru pulang dari sekolah.

Waktu zohor masuk. abang yang tua mengajak semua adik2nya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai Imam. Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah. Dia ikut ruku' apabila imam ruku', dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam, dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah, adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk!

Ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak2 yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana2 orang dewasa dan tanpa disuruh- disuruh.

Ceritanya tak berakhir di situ. Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak -anak kecil semuanya sedang sibuk berwudhu'. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 thn dan yang ke tujuh entah berapa tahun sibuk mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal.

Si ayah menunggu anak - anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir. Mereka solat jemaah sekeluarga ( termasuk ustazah ). Sewaktu hendak mula solat, si ibu meletakkan anak bongsu nya yang masih bayi ( yang sedang jaga ) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat.

Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ. Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, "anak - anak, hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa." Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah, bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak – anaknya, dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak -anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang2nya Al-Fatehah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu. Lagipun anak2 mereka semuanya lelaki, akan memimpin, pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak2 mereka terabai tanpa pedoman.

Cuba kita tanya diri kita sendiri, berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga, berapa ramai anak2 Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk, berapa ramai anak2 berumur 13 thn yang pandai mengimami solat memimpin adik -adik mereka, berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak2 mereka sedemikian rupa yang taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa? Subhanallah, Alhamdulillah.
Moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan i'tibar buat kita semua. Wassalam.
Khairil

Saturday, August 11, 2007

Sepohon Kayu


Sepohon kayu daunnya rimbun
Lebat bunganya serta buahnya
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya

Kami bekerja sehari-hari
Untuk belanja rumah sendiri
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya

Kami sembahyang fardhu sembahyang
Sunatpun ada bukan sebarang
Supaya Allah menjadi sayang
Kami bekerja hatilah riang

Kami sembahyang limalah waktu
Siang dan malam sudahlah tentu
Hidup di kubur yatim piatu
Tinggallah seorang dipukul dipalu

Dipukul dipalu sehari-hari
Barulah ia sedarkan diri
Hidup di dunia tiada bererti
Akhirat di sana sangatlah rugi

Lagu : Amaluddin

Thursday, August 09, 2007

Sempurnakah Solat Kita

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan supaya sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan meningkatkan lagi amal soleh dan berusaha menjauhi larangannya. Semoga kehidupan kita akan lebih cemerlang dan diberkati Allah di dunia dan di akhirat.


SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI SEKALIAN,
Solat atau sembahyang adalah rukun kedua yang menjadi asas terbinanya Islam. Solat juga merupakan tiang agama dan satu ibadah wajib ke atas setiap umat Islam melakukannya dalam apa jua keadaan selagi akalnya masih waras. Dalam al-Quran terdapat lebih daripada 25 tempat ayat “ اَقَامَ ” yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat dan terdapat lebih 70 kali perkataan “ الصلاة ” atau sembahyang diulang dan disebut dalam al-Quran, antaranya Firman Allah SWT: Yang bermaksud:
“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa’ : 103)

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Sebagai umat Islam, sama ada remaja, muda-mudi, dewasa, lelaki mahupun perempuan hendaklah memerhati, memahami dan menghalusi sehalus-halusnya perintah solat ini. Harus diingat bahawa perintah solat ini bukan khusus kepada solat Jumaat sahaja bahkan turut diwajibkan kepada solat lima waktu yang lain sehari semalam tanpa sebarang pengecualian baik yang uzur. Bahkan pada saat-saat nak mati pun kita wajib mengerjakan solat. Seperti kisah Sayidina Umar al-Khattab ketika ditikam oleh Abu Lukluk al-Majusi, beliau baru sahaja mahu memulakan solat subuh. Lalu sayidina Umar rebah di pangkuan para sahabatnya. Pada saat-saat nazaknya itu, Sayidina Umar masih lagi sempat bertanya, Apakah aku sudah mengerjakan solat, Apakah aku sudah mengerjakan solat, Apakah kamu juga sudah mengerjakan solat subuh.
Sesungguhnya membandingkan kita dengan Sayidina Umar tentulah jauh. Tidak terbanding bak langit dengan bumi. Kita, Walaupun kita tahu, kita sudah terlepasnya waktu subuh. Dari subuh gajah bertukar pula menjadi subuh Dinasor pun, kita dengan selamba membiarkan subuh terus berlalu. Apatah lagi menimbulkan rasa bersalah disebabkan terlewat bangun solat subuh.
Sebab itu, Baginda nabi SAW telah berpesan kepada umat Islam sejak 1400 tahun lalu supaya ibu bapa mengajar anak-anak bersolat. Bukan itu sahaja, menunjukkan kepemimpinan ibadah solat di hadapan anak-anak dan menyuruh anak-anak sejak umur mereka 7 tahun. Sabda Nabi pukullah mereka jika enggan solat ketika berumur 10 tahun.
Dan selepas itu kita wajib berdoa mengharapkan anak-anak dan keturunan kita sentiasa istiqamah mendirikan solat sesuai dengan Firman Allah: Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami! kurniakanlah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku serta kepada orang yang beriman, pada masa berlakunya hisab dan pembalasan.” (Surah Ibrahim : 40)
Mujur tidak ada arahan daripada Nabi supaya memukul kanak-kanak yang berumur 20 tahun, 30, tahun, 40 tahun atau 50 tahun andai sengaja meninggalkan solat.
Andai ada lah, atau andai wujudnya arahan solat itu seperti perintah solat Jumaat ini maka pastilah setiap hari surau-surau dan masjid kita akan penuh dengan makmum-makmumnya.
Surau dan masjid kosong hari ini, tidak seperti hari Jumaat ini kerana ibadah solat 5 waktu ialah ibadah yang bersifat ruhi atau qalbi, antara makhluk dengan Tuhan yang menciptanya. Kita tidak diajar menyembah Allah secara paksaan agar rasa beriman, ikhlas, tawaduk dan rasa lazatnya beribadah dapat dijelmakan dalam diri kita.
Oleh sebab itu, sidang Jumaat sekalian,
Perintah atau suruhan agar kita dan kaum keluarga kita mengerjakan solat adalah satu tanggungjawab yang besar yang bukannya datang dari khatib atau para ustaz dan ulama tetapi dari langit yang tinggi, datang dari al-Quran, wahyu Tuhan sebagaimana Firman Allah dalam surah Toha ayat 132 yang berbunyi: Maksudnya:
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun dan bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

SIDANG JUMAAT SEKALIAN,
Di sini dapat difahami betapa besarnya kepentingan solat kepada orang-orang Islam yang beriman, antaranya:

1. Solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah.
Firman Allah SWT: Yang bermaksud:
“Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku.” (Surah Toha ayat : 14)
Berdasarkan maksud ayat tersebut solat adalah jalan untuk kita sentiasa mengingati Allah SWT. Sekali gus solat juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah SWT. Atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Orang yang tidak mengerjakan solat tiada dalam ingatan Allah. Ibadahnya tertolak, solat Jumaatnya tertolak, zikir dan tilawah al-Qurannya tertolak dan doanya juga tidak akan dimakbulkan Tuhan.

2. Solat dapat menghapus dosa.
Sebagai manusia, Kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Sekecil-kecil dosa walaupun sebesar zarah, tiada balasan lain, tiada penjara, tiada kerja kemasyarakatan melainkan dibasuh dengan api neraka. solat lima kali sehari semalam itulah dapat menghapuskan dosa kita yang kita dilakukan. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis: Bermaksud:
“Dari Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)

3. Solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Para ulama ad membahaskan bahawa tanda-tanda solat itu diterima Allah, apabila timbul perasaan benci kepada umpat dan keji, hasad dengki, rasuah, riba dan segala maksiat serta jenayah. Solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukun-rukunnya boleh mencegah orang yang melakukannya dari melakukan maksiat dan kemungkaran. Firman Allah SWT: Yang bermaksud:
“…. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”(Surah al-Ankabut : 45)

4. Solat dapat memberi barakah hidup dan berbahagia kehidupan.
Kehidupan orang yang memelihara solat jauh berbeza dengan orang yang meninggalkannya. Ini Jelas kita melihat orang yang memelihara solat, kehidupannya dipenuhi dengan keberkatan dan kebahagiaan. Apa maksud berkat? Berkat bermaksud ziadah yakni bertambah. Berkatnya surau dan masjid bertambahnya jemaahnya. Berkatnya ilmu bertambahnya pengetahuan dan kefahaman, berkatnya rezeki yang kita makan, bertambah-tambahnya selera makan kita. Berkatnya tubuh badan, Allah kurnai kita kesihatan yang berpanjangan. Sebagaimana Firman Allah yang berbunyi: Maksudnya:
“Sesungguhnya berbahagia \ berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun : 1-2)
Semua para jemaah sidang Jumaat tahu,
Bila tibanya musim Israk Mikraj kita diceritakan oleh khatib dan para penceramah bahawa solat adalah ibadah yang diterima oleh Baginda nabi SAW secara langsung daripada Allah SWT, ketika nabi SAW menghadap Allah SWT di “Sidratul Muntaha” Dengan lain perkataan ibadah solat berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril AS pembawa wahyu. Ini adalah satu kenyataan bahawa ibadah solat itu terlalu istimewa di sisi Allah SWT.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Kita pun sudah tahu kelebihan solat Dari segi perubatan dan kesihatan. Kita tahu solat yang khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan perasaan dan menjadikan tubuh badan menjadi sihat serta cergas. Kita pun pernah dengar bahawa, Rasulullah SAW ketika berhadapan masalah, akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati. Kita hanya tahu namun masih belum mahu bersolat, masih belum mahu menjadikan ibadah solat sebagai sumber rujukan dan penyembuh penyakit hati yang memusnahkan kita kiri, kanan, depan belakang atas dan bawah. Muslim yang Tahu tetapi tak mahu adalah suatu nilai yang sangat bertentangan yang disebut oleh Allah sebagai golongan yang sesat. Mereka tahu solat itu wajib tetapi tak mahu mengerjakannya samalah seperti golongan Yahudi dan Nasrani yang menolak perintah Allah Dalam surah Maryam ayat 59, Allah berfirman : Maksudnya:
“Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu maka kelak mereka akan menemui kesesatan.”
Bayangkanlah Abdullah bin Abbas ketika mentafsirkan maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali tetapi golongan yang sesat ini ialah golongan yang hanya melewat-lewatkan solat dari waktunya. Masuk waktu solat pukul 1.25 tetapi solat hanya didirikan jam 3 petang atau 4 petang pun termasuk golongan yang sesat dalam ayat di atas mengikut tafsiran Abdullah bin Abbas.

Imam Said Ibni al-Musayyib pula berpendapat iaitu mereka melaksanakan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu Maghrib, solat Maghrib di dalam waktu Isyak dan solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh serta solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit, iaitu solat subuh Dinasor.
Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama “Ghaiy” di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik. Hal ini disebutkan oleh Said Hawa dalam kitab “الأَسَاسُ فِى التَفْسِيْرِ“. Jika bersolat fardu di luar waktu sudah begini hukumnya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa mereka yang tidak bersolat fardu sama sekali.

Justeru marilah kita menginsafi dan melaksanakan solat fardu setiap hari, secara berjemaah seperti Jumaat ini dan penting juga agar ia ditunaikan dalam waktu yang ditetapkan. Semuanya merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Sabda nabi SAW: Maksudnya:
“Dari Abi Amr asy-Syibani katanya, Abdullah bin Mas’ud pernah bertanya kepada nabi SAW apakah amalan yang paling Allah sukai?. Nabi menjawab: Solat tepat pada waktunya. Ia bertanya lagi kemudian apa? Baginda menjawab: Melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Ia bertanya lagi kemudian apa? Baginda menjawab: Melakukan jihad pada Agama Allah SWT.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Khutbah ini ditulis dan dibaca pada 6 Julai 2007
di Masjid Hukama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tuesday, August 07, 2007

Hukuman

Iran - Lelaki ini didapati bersalah kerana membunuh 22 orang kanak-kanak ( lelaki dan perempuan berusia antara 7 hingga 13 tahun ) dan merogol beberapa orang daripada mereka.
Setelah dibicarakan, dia dijatuhkan hukuman sebat 100 rotan dan digantung sampai mati.
Hukuman itu disaksikan oleh ribuan masyarakat setempat supaya menjadi pengajaran.



Antara hadirin ada yang membawa gambar anaknya yang menjadi mangsa lelaki ini



Ibu ini mengatakan sesuatu kepada lelaki itu sambil memegang gambar anaknya yang menjadi mangsa


Dan seliparnya pun tercabut bersama tercabutnya nyawa



Berita dan gambar-gambar ini didapati dari satu e-mail yang dikirim oleh matbrahim

Friday, August 03, 2007

Tak Sembahyang

Solat adalah ibadat terpenting dan asasi dalam syariat Islam. Ibadat pertama yang akan dihisab adalah sembahyang.
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua bersama-sama orang-orang yang rukuk.” ( Al-Baqara, 43 )
Solat juga disebut sebagai tiang agama sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.,

“Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka ia telah menruntuhkan agama.” (riwayat Al-Baihaqi)
Apa yang malangnya di akhir zaman ini ramai dikalangan umat Islam yang tidak sembahyang, samaada remaja mahupun orang dewasa. Bagi mereka, hidup beragama hanya sekadar beberapa kepercayaan dan melakukan beberapa upacara seperti berkhatan, doa selamat, akad nikah , hariraya dan lain -lain syiar sahaja. Inilah bahagian akhir matlamat gerakan secular dan Islam liberal, menjadikan umat Islam jauh dari ibadat agama nya sendiri.

Kenyataan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Dungun pada Mei 2006 , berasaskan kepada kajian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bahawa lebih 51,000 atau kira-kira 34 peratus daripada 149,000 pelajar tahun dua hingga enam di negeri ini didapati tidak tahu jumlah rakaat setiap solat lima waktu. Ini bermakna mereka tidak tahu sembahyang. Dan jika ditanya bilangan mereka yang tidak sembahyang mungkin angkanya sangat menyayat hati.

Bilangan remaja ke masjid dan surau terlalu sedikit. Mereka telah dilalaikan dan dijampi dengan hiburan melulu. Hiburan , nyanyian dan sukan telah mengheret remaja menjauhkan solat dan ilmu Islam. Segala tumpuan , hati, akal dan persaan mereka telah dikunci dari mengingati Allah.
Dalam mencari penyelesaian kepada isu ini kita tiada pilihan kecuali ibu bapa mesti memainkan peranan dalam membentuk generasi anak soleh dan solehah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,
“Setiap anak dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (bersih), ibu bapanya yang mencorakkan sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.” (riwayat Bukhari dan Muslim).
Pendidikan solat mestilah dimulakan sejak awal usia lagi. Bermula dari melihat contoh ibubapa mereka bersolat hingga kepada perintah dan larangan, sebagaimana sabda Nabi saw.,

“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang sejak umurnya tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak sembahyang.” (riwayat at-Tirmidzi).
Membiasakan kanak–kanak bersembahyang adalah penting supaya mereka membesar menjadi remaja yang sebati dengan sembahyang. Walaupun bermula dengan mereka tidak memahai apa yang dilakukan dan dibaca, tetapi secara beransur– ansur ditanam kefahaman.
Mendidik anak kecil mendirikan solat memang meletihkan. Samalah seperti kita mengasuh dalam hal – hal lain. Mudah-mudahan setiap titik peluh dan kesabaran kita akan diberi ganjaran oleh Allah . Janganlah kita menjadi seperti sesetengah ibubapa yang amat perihatin tentang persekolahan anak mereka terapi tidak ambil peduli samaada anak mereka pandai sembahyang atau tidak. Jadikanlah mereka insan yang seimbang di dunia dan akhirat

Kisah Isra' dan Mi'raj

Isra' Mikraj Rasulullah SAW

"Maha Suci Allah yang menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Allah jualah yang amat mendengar lagi maha mengetahui." - Al Isra'

Berdasarkan banyak hadis - hadis mengenai peristiwa Isra' Mi'raj, para ulama meringkaskan peristiwa Isra' Mi'raj sebagai berikut;

RASULULLAH saw mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh Jibril, Mika`il dan satu malaikat yang lain. Hati Baginda saw. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) yaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah saw.

Selesai pembedahan, didatangkan binatang Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Isra' "
Isra' (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masdil-Aqsa):Sepanjang perjalanan (Isra') itu Rasulullah saw. diiringi (ditemani) oleh Jibril a.s dan Israfil a.s. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat- tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah diarah oleh Jibril supaya berhenti dan bersembahyang dua rakaat. Antara tempat- tempat berkenaan ialah: Madyan dan Tursina, yaitu tempat nabi Musa as berbicara (munajat) dengan Allah dan Baitul-Laham (tempat nabi 'Isa a.s dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah saw. menghadapi gangguan jin 'Ifrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya : Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah- olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Raslulullah saw dibertahu oleh Jibril : Itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.Tempat yang berbau harum. Rasulullah saw. diberitahu oleh Jibril a.s : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai tuhan).

Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril meberitahu Rasulullah : Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu neraka jahannam. Kata Jibril : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak dan elok ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril : Itulah orang yang makan riba`.

Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril : Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril : Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibril : Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah saw tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

Tiba di masjid al-Aqsa, Rasulullah saw. turun dari buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi ma`mum. Rasulullah saw terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibril: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Mi'raj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan mi'raj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah saw. dan Jibril a.s. naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Langit Pertama:Rasulullah saw. dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan nabi Adam a.s.
Langit Kedua: Nabi saw dan Jibril naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan nabi 'Isa a.s dan nabi Yahya a.s.
Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan nabi Yusuf a.s.
Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan nabi Idris a.s.
Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Langit Keenam:Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan nabi-nabi. Seterusnya dengan nabi Musa a.s. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibril) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. Langit Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul- Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah saw, nabi Ibrahim a.s. bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga yaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, nabi Irahim a.s bersabda, "Sampaikan salamku kepada umahmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanaman- ya ialah lima kalimah, yaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibril masuk ke dalam Baitul-Makmur dan sholat. (Baitul- Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Tangga Kedelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu : Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata- permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah s.a.w dapat menyaksikan pula sungai al-Kautsar yang terus masuk ke syurga.

Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan:Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, yaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh:Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul- Arbab lalu dapat bertemu Allah Subhanahu wa Taala, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul- Nya: Allah S.W.T: Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S.W.T Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji- panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah s.a.w di bawa menemui nabi Ibrahim a.s kemudian nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. menyuruh Rasulullah s.a.w merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mi'raj:Rasulullah saw. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini Baginda saw. bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peistiwa Isra'-Mi'raj yang amat ajaib itu
(Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rajab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu a'lam.