Monday, August 31, 2009

Plan Ramadhan untuk Anak- anak

Plan Ramadan untuk Anak-anak

Abu Hurayrah r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a. telah berkata,

“Ramadan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah swt telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta syaitan dibelenggu. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak bertemu dengannya ia sangat rugi.”

Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i

****************
Saya telah menulis mengenai Ramadan pada 6 Ogos 2008 dengan tajuknya, “Bulan Berkasih”. Ia sebuah artikel yang mengandungi manual ringkas meningkatkan pencapaian diri di bulan Ramadan. Semoga Allah membantu kita.

Kali ini saya mahu berbicara mengenai menyambut Ramadan bersama anak-anak. Menjadi kelaziman masyarakat kita melatih anak-anak berpuasa sekitar usia 6 atau 7 tahun. Mungkin ada yang berpuasa separuh hari dahulu. Kemudian baru ditambah jumlah jamnya dari sehari ke sehari.

Ar-Rabie binti Muawiz menceritakan, “Kami semua berpuasa dan kami juga melatih anak-anak kami berpuasa. Kami sediakan permainan daripada bulu untuk mereka. Apabila salah seorang daripada mereka mahu makan, kami berikan mainan itu sehingga tiba waktu berbuka puasa”.

Kisah ini direkodkan oleh Imam Bukhari.

Daripada kisah di atas, kita dapat tahu bahawa melatih anak kecil berpuasa merupakan rutin umat Islam sejak dahulu.

Kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa tetapi mereka harus dilatih membiasakan diri. Kelak bila usia mereka mencapai baligh, mereka akan dapat menunaikan kewajiban puasa tanpa alasan lagi, insya Allah.

Saya kira setiap orang mempunyai pengalaman dilatih berpuasa oleh ibubapa masing-masing semasa kecil. Tentu banyak kenangan pahit manis praktis puasa. Bermula belajar membaca niat dan meneruskan hari dengan berpuasa.

Niat Puasa- Satu Pengalaman

Malam pertama puasa, adik-beradik saya akan dikumpulkan dan Ma mula mengajar niat puasa sebulan penuh Ramadan.

“Sahaja aku berpuasa sebulan di bulan Ramadan kerana Allah ta’ala”.

Kami pun menurut beramai-ramai secara lisan.

Ma berpesan, “Niat dalam hati juga”.

Saya berkata, “Dalam hati tu kat mana?”

Pada masa itu saya belum faham apa yang dikatakan hati. Saya juga lupa bagaimana Ma menerangkan semula pertanyaan saya itu. Usia saya waktu itu mungkin antara 7 dan 8 tahun.

“Itu niat untuk sebulan. Untuk setiap hari, ada niat lain pula. Ikut Ma baca, sahaja aku puasa esok hari kerana Allah ta’ala”.

Lafaz niat di atas itu adalah bacaan orang dulu-dulu. Sebenarnya niat ialah lintasan dalam hati untuk melakukan sesuatu perkara. Tidak menyebut perkataan ‘sahaja’ di depan pun menjadi niat.

Belon begini boleh ditulis 'Happy Ramadan'

Persediaan Sambutan Ramadan Untuk Kanak-kanak

1. Membuat persiapan dengan membersih rumah dan menghiasinya dengan perkara yang digemari kanak-kanak seperti meniup belon kemudian digantung di bilik-bilik mereka atau di mana-mana ruang yang sesuai seperti di dapur.

2. Menggantung poster-poster menarik yang mengandungi hadis-hadis berkenaan puasa atau foto-foto yang boleh dikaitkan dengan puasa.

Dua perkara di atas merupakan usaha mewujudkan suasana meriah dan gembira bagi kanak-kanak. Juga makluman untuk mereka bahawa kita sedang berada di ambang Ramadan, bulan yang sangat diberkati. Moga ruh merasa gembira dengan kedatangan Ramadan itu dapat terus subur sehingga mereka dewasa.

3. Sediakan permainan yang boleh melalaikan mereka dari mengingati makan dan minum.

4. Mengadakan perjumpaan keluarga untuk diberi tazkirah dan menambah ilmu. Waktu yang baik dan sesuai ialah selepas Subuh dan selepas Maghrib. Jika tidak dapat buat setiap hari, lakukan 3 atau 4 kali seminggu dan lain-lain.

Seelok-eloknya bapa yang bercakap kepada ahli keluarga. Perlakuan ini disandarkan kepada sikap Luqman al-Hakim yang kisahnya dimasyhurkan al-Quran. Ia memberi petunjuk bahawa percakapan bapa memberi kesan yang mendalam kepada isteri dan anak-anak. Adalah salah jika si bapa hanya mengharapkan isteri yang menasihati atau mengajar anak-anak.

Teladan para nabi dan rasul juga menunjukkan bahawa sebagai pemimpin rumahtangga dan pemimpin ummah, kaum lelaki harus menyediakan ruang berbicara dengan ahli keluarga serta mengajar mereka. Kata-kata yang lahir dari jiwa suami dan bapa mempunyai kesan psikologi yang besar apabila dinyatakan secara hikmah.

Jika didapati isteri dan anak-anak sukar mendengar kata, selidik terlebih dahulu sejauh mana taqwa kita kepada Allah. Mungkin kita menderhakai Allah di belakang anak isteri seperti mata yang liar memandang perempuan lain, suka bercakap perkara lagha, tidak menjaga batas pergaulan, tidak menjaga hati ibubapa, mencari rezeki yang syubhah atau haram dan lain-lain lagi.

5. Beri perhatian kepada anak-anak perempuan yang hampir baligh. Ajar mereka fiqh berkaitan puasa.

6. Mewujudkan taman al-Quran di bulan Ramadan. Caranya ialah menganjurkan anak-anak yang sudah pandai membaca al-Quran untuk membacanya setiap hari.

Bagi anak-anak yang belum pandai, ajak mereka duduk sekali dengan kita agar mereka dapat mendengar bacaan kita atau bacaan dari adik-beradiknya yang lain.

7. Memberi sedikit huraian mengenai ayat-ayat yang telah dibaca. Pilih topik yang mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka.

8. Mengajak anak-anak menghafaz surah-surah tertentu seperti surah al-Mulk dan sebagainya. Untuk Ramadan seterusnya, boleh ditambah dengan hafazan surah-surah lain pula.

9. Meminta anak-anak menghafaz doa tertentu dan meminta mereka membaca doa. Kemudian doa itu diaminkan oleh ahli keluarga yang lain.

10. Biasakan anak-anak menderma di bulan Ramadan. Untuk itu, perbelanjaan sekolah perlu juga diberi biarpun mereka berpuasa. Kalau tidak diberi penuh seperti hari biasa, memberi separuh perbelanjaan pun dikira memadai. Latih mereka berjimat cermat. Sebahagian perbelanjaan disimpan dan sebahagian lagi didermakan. Ceritakan kepada mereka kisah-kisah motivasi tentang kelebihan orang yang suka bersedekah.

11. Sama-sama menunaikan solat terawih dan fardu Subuh berjemaah. Beri perhatian pada solat 5 waktu agar ditunaikan dengan lebih baik.

12. Beri kefahaman kepada anak lelaki dan perempuan bahawa berpuasa tidak akan sempurna tanpa diiringi akhlak yang baik.

13. Jika anak-anak suka menonton televisyen, maka pantaulah cerita yang ditontonnya. Beri garis panduan mengenai kisah-kisah yang baik ditonton dan yang tidak baik.

14. Beri perhatian lebih pada anak-anak yang meningkat remaja. Perbaiki hubungan dengan mereka. Beri penghormatan atas kelebihan mereka dan beri kepercayaan pada sikap amanah mereka. Jadikan mereka sebagai kawan. Bersikap empati dan memberi sepenuh perhatian terhadap luahan hati mereka. Zahirkan kasih sayang pada mereka dan nasihati kesilapan mereka dengan lemah lembut.

15. Akhir sekali, mohon pertolongan Allah agar memudahkan kita mendidik anak-anak serta diberikan hidayah untuk ahli keluarga.

Rujukan:
Rumah Kami di Bulan Ramadan oleh Dr Abdul Wahid al-Wakil

Ummu Abbas
20 Syaaban 1430

MERDEKA
MERDEKA
MERDEKA


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 52

Sunday, August 30, 2009

Perutusan Dari PASTI Pusat

Berikutan penularan wabak Selsema Babi (Influenza H1N1) yang telah mengorbankan 62 nyawa sehingga tarikh hari ini, Jabatan PASTI Pusat telahpun mengeluarkan pekeliling bertarikh 4 Ogos 2009 dengan arahan PASTI di semua peringkat untuk mengambil langkah-langkah berikut :

1. Mendapatkan maklumat daripada media massa dan memberikan taklimat tentang bahaya wabak ini kepada semua guru dan murid-murid PASTI.

2. Mematuhi langkah-langkah yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan berkenaan penjagaan kebersihan di semua premis PASTI.

3. Menasihati penjaga-penjaga supaya mengambil tindakan segera menghantar anak-anak menjalani pemeriksaan di pusat kesihatan jika dijangkiti demam.


4. Memasukkan slot doa mohon dihindarkan oleh ALLah swt. daripada wabak ini pada setiap perhimpunan pagi .

5. Tindakan menutup PASTI selama seminggu boleh diambil oleh pengurusan PASTI di peringkat cawangan jika terdapat murid-murid yang disahkan telah dijangkiti Influenza H1 N1 ( selesema babi ) ini.


Semoga tunas-tunas Islam dan guru-guru PASTI penggerak tarbiyyah terhindar dari wabak yang diturunkan Allah swt ini. Amin ya rabb..



rujukan: PASTI Negeri Terengganu

Saturday, August 29, 2009

Puasa Kanak-kanak


Diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ r.a katanya: Pada hari Asyura, Rasulullah s.a.w telah mengirimkan surat ke perkampungan-perkampungan Ansar di sekitar Madinah yang berbunyi: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat dari bulu biri-biri. Jika ada di antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan tersebut sehingga tiba waktu berbuka [Riwayat Bukhari dan Muslim]


Begitulah hadis Rasulullah yang menunjukkan kepada kita suasana pada zaman Rasulullah, menitikberatkan pendidikan puasa semenjak kecil lagi.


Kalau mereka merengek, terlalu lapar,berilah mereka makanan untuk berbuka. Itu pendidikan permulaan pelajaran Puasa. Bukannya memaksa mereka tetapi melatih mereka melakukan ketaatan kepada Allah.


Ibn Hajar ada menyebut didalam kitabnya tentang pendapat pelbagai ulama akan hukum-hakam puasa seorang budak kecil. Pendapat jumhur ialah tidak diwajibkan (untuk berpuasa) melainkan kanak-kanak tersebut mencapai umur baligh. Imam asSyafi’ie mengatakan ianya digalakkan untuk dijadikan latihan jika mereka mampu. [Fathul Bari, Bab Puasa Kanak-Kanak 6/224]


Selepas tajuk bab “puasa kanak-kanak”, Imam Bukhari (w256h) membawakan satu athar bahawa Umar alKhattab berkata kepada seorang pemabuk didalam bulan Ramadhan “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa”. Lalu beliau menyebatnya.


Ceritanya bermula apabila seorang pemabuk arak mendekati Umar alKhattab, lalu Umar menyatakan “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa”. Lalu beliau menyebatnya dengan 80 sebatan [Fathul Bari, Bab Puasa Kanak-Kanak 6/224]


Imam Nawawi (w766h) pula menyatakan “Hadith ini menceritakan kepada kita akan latihan kepada anak-anak melakukan ketaatan, membiasakan dirinya melakukan ibadat tetapi mereka masih belum ditaklifkan” [Syarh Imam Muslim 4/125]


Hadith diatas ada kesinambungan dengan hadith berikut yang menerangkan akan cara dakwah kepada golongan kanak-kanak iaitu:


Daripada Abi Musa berkata, bahawa Nabi Muhammad Sallahu’alaihiwasallam apabila menghantar utusan daripada sahabat-sahabatnya didalam urusan dengan bersabda : “Berilah berita gembira dan bukan mempertakut-takutkan, dan permudah-mudahkanlah dan jangan menyusahkan mereka” [Riwayat Muslim, No hadith 3262 didalam bab “Mempermudahkan dan Meninggalkan Perkara yang Menyusahkan]


Imam Nawawi memperincikan hadith diatas dengan berkata “Begitu juga keadaan kanak-kanak yang hampir mencecah usia baligh, mereka perlu diberikan pelajaran segala bentuk ketaatan (ibadat -pent) secara berperingkat-peringkat. Ini kerana urusan Islam juga masuk secara berperingkat-peringkat. Selagimana ada kemudahan bagi mereka, mereka akan melakukannya malah menambahnya, dan selagimana terdapat kepayahan, mereka belum mampu melakukannya, dan jika mereka menyusahkan diri juga, maka mereka mustahil melakukannya” [Syarh Sahih Muslim 6/170]


Begitulah seorang kanak-kanak samada dia mulai mempelajari solat atau puasa, hendaklah secara beransur-ansur. Sebagai permulaan kanak-kanak yang berusia 6 tahun hanya mampu berpuasa 3 hari secara berturut-turut. Ada yang mampu sehari. Ada yang mampu selang sehari dan sebagainya mengikut kemampuan kanak-kanak tersebut serta tarikan ibu bapa untuk membawa anak-anaknya didalam program ketaatan.


Akhir sekali sebagai penutup, saya bawakan persoalan yang pernah dijawab oleh Fatwa Lajnah Daimah lil Buhuth Ilmiah wal Ifta. Soalannya bagaimanakah cara untuk melatih kanak-kanak yang berumur 10 tahun untuk menjadi dia sebagai multazimin (orang-orang yang berpegang teguh dengan agama) dan apakah metodologi dakwah kepada mereka? Lalu dijawab:


“Kami menasihatkan agar kamu mengajarnya membaca alQuran, mengenali sunnah nabi yang sahih, adab-adab Islam, bersifat benar, bersifat amanah dan sebagainya. Diajar pula kewajipan menjaga solat jemaah, adab-adab ketika makan, minum dan sebagainya Dan jika dia telah dibesarkan didalam keadaan sekeliling yang beradab, berakhlak dan dengan izin Allah maka mereka pasti akan istiqomah melakukannya (amalan kebaikan tersebut)}”.
[Soalan 9 dari Fatwa No 184 52 - 14/2397]

Tuesday, August 25, 2009

Dana Infak Ramadhan PASTI Kawasan Dungun 1430H

Sahabat PASTI yang dirahmati Allah swt.

Dengan rasa rendah diri, PASTI Kawasan Dungun ingin melancarkan Dana Infak Ramadhan PASTI Kawasan Dungun. Dana ini adalah bertujuan seperti berikut :
  • Sumbangan Aidilfitri guru-guru PASTI Dungun
  • Dana kebajikan guru & pelajar PASTI Kawasan Dungun
  • Dana pengurusan & pejabat PASTI Kawasan Dungun
Infak para dermawan boleh dibuat terus ke akaun PASTI Kawasan Dungun :

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
No akaun : 13044010024773


Terlebih dahulu kami ucapkan Jazakumullahu khairan kathiran. Semoga amal jariah ini mendapat keberkatan daripada Allah swt.

Min mustad'afin,
Pengerusi PASTI Kawasan Dungun

Sunday, August 23, 2009

Selamat Menyambut Ramadan 1430H



PASTI Kawasan Dungun mengucapkan..
Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!!.. Inilah bulan yang kami rindui.. Bulan rahmah, maghfirah dan kemenangan bagi semua umat Islam yang berpuasa..