4 TAHAP MENDIDIK ANAK IKUT SUNNAH RASULULLAH
4 tahap bagaimana mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. :
PERTAMA:
Umur 1-7 tahun. Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita utk memanjakan,
mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yg tidak berbatas. Biarkan
anak-anak bermandikan kasih sayang pada tahap ini.
KEDUA
Umur 7-14 tahun. Pada masa ini Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk mula
menanamkan DISIPLIN kepada anak-anak dengan mengajar dan menyuruh mereka untuk
mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah sepuluh tahun, seorang ayah
boleh memukul anaknya jika enggan mengerjakan solat.
Berdasarkan pakar-pakar jiwa anak, sememangnya pada umur 7-14 tahun ini masa
terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Pada
fasa inilah seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang muslim atau Yahudi,
Nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya
bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibulah yang
akan mencorakkannya.
KETIGA
Umur 14-21 tahun. Pada masa ini orang tua sudah MENUKAR penanaman disiplin
dengan cara yang agak KERAS kepada yang RASIONAL. Orang tua sudah semestinya
mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya
ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab
dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar anak berasa dirinya
punyai tanggungjawab mengambil berat hal-hal dalam keluarga.
KEEMPAT
Umur lebih 21 tahun. Pada masa ini, orang tua sudah boleh melepaskan anaknya
untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan
memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau
terlupa.
Dalam kehidupan kita sebagai muslim, kadang-kadang pendidikan yang diajar
oleh Rasul itu tidak benar-benar diamalkan, bahkan ramai yang tidak
mengamalkannya sama sekali.
Ada orang tua yang terlalu memanjakan anak sehingga umur 14 tahun dan baru
mula mengajar dan menyuruhnya solat pada usia mereka 15 tahun sehingga mereka
bukan sahaja enggan melakukannya malah marah kepada ibu bapanya. Jika kewajipan
yg tertinggi (iaitu solat) yang telah diperintahkan Yang Maha Agung diabaikan
apatah lagi dengan perintah dan suruhan orang lain termasuk ibu bapanya.
Kesimpulannya, masalah disiplin dan jenayah remaja dan pelajar muslim
berkemungkinan terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan cara didikan yang
salah. Sebahagian ibu bapa menafikan hal ini kerana mereka tidak sedar kekerasan
dan cara pendidikan yg mereka terapkan kepada anak-anak adalah secara membuta
tuli tanpa melihat perkembangan umur anak-anak sehingga anak terasa dizalimi
dan seterunya membesar dengan perasaan marah dan dendam kepada ibu bapa.