LARANG ANAK-ANAK KE PASTI, SB UGUT IBU BAPA
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar surat rasmi kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan atas perbuatan anggota cawangan khas (SB) yang mengugut ibu bapa berbangsa Cina di Klang kerana menghantar anak mereka ke Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI).
Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam sidang medianya hari ini memberitahu SB bertindak mengugut ibu bapa murid-murid dengan menyekat subsidi diesel mereka.
"Ugutan itu menyebabkan semua ibu bapa yang mana anak mereka belajar di PASTI takut untuk menghantar anak mereka ke PASTI," katanya.
Ketika ini, seramai 18 kanak-kanak berbangsa Cina yang belajar di PASTI Klang dan ternyata mereka boleh menguasai bahasa Arab dengan baik.
Sementara itu, Salahuddin mempersoalkan perbuatan SB berkenaan yang dianggap tidak bertamadun kerana tidak ada laporan yang mengesahkan sekolah-sekolah PASTI mendoktrinasi murid berkenaan untuk membenci kerajaan mana-mana pihak.
"Kita akan menghantar surat rasmi kepada Musa Hassan dan melaporkan insiden berkenaan dan meminta beliau menjelaskan kenapa SB perlu kacau keluarga murid berkenaan," katanya. - mks.
sumber : Harakahdaily.net
Thursday, January 25, 2007
PASTI NEGERI SEMBILAN BANTU MANGSA BANJIR JOHOR
SEREMBAN, 15 Jan (Hrkh) - Malapetaka banjir yang menimpa rakyat di Johor sejak lebih sebulan lalu semakin 'kronik' malah terkini lebih 100,000 mangsa banjir telah dipindahkan ke 335 buah pusat pemindahan.
Rakyat di Johor kini menghadapi kehidupan yang paling sukar kerana banjir yang dialami adalah yang terburuk bagi negeri itu dan sejarah 'tragedi besar' yang menuntut pembabitan bantuan banyak pihak.
Menyedari permasalah yang dihadapi rakyat negeri itu, mesyuarat Pemuda PAS Negeri Sembilan dan Unit Amal Negeri Sembilan pada 14 Januari (semalam) di Seremban telah memutuskan agar semua jentera pemuda bersiap sedia untuk membantu mangsa banjir di Johor.
Bantuan
"Terdapat dua fasa bantuan, pertama ialah bantuan kewangan, makanan, selimut dan sebagainya dan kedua ialah bantuan pemulihan sekiranya banjir surut untuk membersihkan rumah-rumah mangsa banjir, masjid dan surau yang terlibat," kata satu kenyataan Pemuda PAS Negeri Sembilan yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.
Justeru itu semua jentera pemuda, PASTI, muslimat, kawasan, Nisa diarahkan mengumpulkan kewangan, logistik, perbekalan dan sebagainya.
Setakat ini Dewan Muslimat Negeri Sembilan telah berjaya mengumpulkan beberapa bekalan makanan dan keperluan serta sebuah bot digunakan untuk tugas membantu mangsa banjir.
Seluruh PASTI Kawasan dan Unit di Negeri Sembilan telah ditetapkan sebagai tempat pengumpulan keperluan mangsa-mangsa banjir.
Sehari sebelum mesyuarat itu diadakan Setiausaha Badan perhubungan PAS Negeri Sembilan, Shamsul Kamal Ali telah menghantar bantuan makanan ke daerah Segamat yang terjejas teruk.
Keperluan
Bagi merealisasikan misi bantuan itu Pemuda PAS Negeri Sembilan menyeru kepada orang ramai agar menghulur bantuan berupa barangan keperluan harian, makanan, selimut, dan kewangan kepada pusat pengumpulan yang disediakan.
Pemuda PAS Negeri Sembilan juga mahu bekalan makanan yang dihantar ke pusat pengumpulan hendaklah dibungkus dengan kemas dan dilabel bantuanmangsa banjir serta sumbangan dari pihak mana.
Untuk maklumat lanjut mengenai misi bantuan Pemuda PAS Negeri Sembilan hubungi Sufian ditalian (013-3589328), Ustaz Nazri (016-9551158) , Zulkarnain (013-6341990) Shazwan (019-6619156), Maznah (013-2718054)
Sumber : Harakahdaily.net
Posted by tunas at 2:52 AM 0 comments
PASTI Nurul Hidayah di Parit Sulong masih ditenggelami air sejak banjir besar melanda negeri Johor. Saya difahamkan bahawa setakat ini murid hanya berkesempatan untuk menghadiri kelas selama seminggu setelah banjir yang pertama surut tetapi kelas terpaksa ditunda semula setelah banjir ke 2 melanda.
sumber : generasigemilang.blogspot
Posted by tunas at 1:57 AM 0 comments
Monday, January 22, 2007
- Dengar pengumuman radio atau arahan pihak berkuasa sebelum pulang ke rumah.
- Periksa keadaan rumah dan persekitaran serta catat sebarang kerusakan.
- Jangan terus ( berhati-hati ) masuk ke dalam rumah yang masih digenangi air kerana banyak bahaya tersembunyi.
- Periksa suis utama, barangan eletrik, serta system pendawaiannya sebelum memasangnya.
- Periksa bahan-bahan mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk ke dalam rumah semasa banjir.
- Periksa kerosakan pembentungan , paip air dan tangki septik.
- Periksa saluran gas yang mungkin bocor.
- Gunakan air mendidih untuk diminum dan memasak sehingga dimaklumkan oleh pihak berkuasa.
- Buang semua minuman dan makanan yang tercemar oleh air banjir.
- Buka semua tingkap dan pintu.
- Periksa kehadiran binatang, serangga berbisa dan merbahaya.
- Lapor kerusakan awam kepada pihak berkuasa.
Posted by tunas at 7:52 PM 0 comments
Wednesday, January 17, 2007
Perutusan 2007 Pengarah PASTI Pusat
PASTI “KHAZANAH TAMADUN PENDIDIKAN NEGARA”
Alhamdulillah, segala pujian dan kesyukuran dirafakkan kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah rahmat dan berkat-Nya, kami dapat meneruskan khidmat bakti kepada warga Malaysia menerusi wadah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pada sesi persekolahan tahun ini. Terima kasih kepada para ibu bapa kerana memberi kepercayaan kepada kami mendidik anak-anak kalian. Keyakinan dan sokongan tuan-tuan amat dihargai dan amanah yang diberi akan kami laksanakan sedaya upaya kami.
Penghargaan juga ditujukan kepada pasukan pengurusan PASTI di setiap peringkat dan para guru yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam menjayakan persiapan sesi baru ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada para ibu bapa dan dermawan yang telah menghulurkan sumbangan untuk pembelian bangunan pentadbiran PASTI. Sumbangan berterusan daripada tuan-tuan masih kami harapkan untuk membiayai kos pembelian barangan PASTI Pusat yang bernilai RM 790,000.00 serta kos pengubahsuaian, perabot dan peralatan.
Sesi persekolahan 2007 dibuka ketika umat Islam masih berada pada hari Tasyriq dalam bulan Zulhijjah yang mulia. Semangat berkorban untuk Islam adalah pengajaran terbaik daripada peristiwa penting ini. Semoga kehadiran murid ke institusi PASTI merupakan manifestasi niat untuk melahirkan insan rabbani, seperti pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s dalam peristiwa bersejarah itu.
Khazanah
Sejak ditubuhkan pada tahun 1984 lalu, PASTI dapat dianggap sebagai khazanah tamadun pendidikan prasekolah umat Islam di Malaysia. PASTI bertanggungjawab memberi pendidikan akidah, syariah, sirah, akhlak, Al-Quran dan akademik kepada anak-anak kita. Kurikulum dan modul pendidikan kanak-kanak berusia 4 tahun (K4T), lima dan enam tahun yang dilaksanakan bermatlamat mencapai prinsip 5M, iaitu membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Program tersebut menyumbang peningkatan kadar celik huruf, celik Al-Quran, celik jawi dan pembangunan modal insan di Negara ini. Keberkesanannya turut menarik minat golongan bukan Islam menghantar anak-anak mereka ke PASTI.
Struktur Organisasi
PASTI telah menstruktur semula organisasinya di semua peringkat. Perubahan ini bertujuan membuat penambahbaikan dalam sistem pengurusan agar PASTI dapat mempertingkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatan. PASTI juga mewujudkan jaringan dan perkongsian bijak dalam kalangan komuniti yang pelbagai latar kehidupan. Hubungan erat antara pihak pengurusan, guru dan ibu bapa menerusi Jemaah Ibu Bapa Guru (JIBG) mesti dipertingkatkan supaya pelbagai program integrasi komuniti setempat untuk memupuk persaudaraan dan perpaduan umat dapat dilestarikan.
Rancangan 2007
Pada tahun ini, PASTI telah merancang beberapa program yang melibatkan penyertaan murid, guru, pihak pengurusan dan ibu bapa. Antara program yang telah dirancang ialah Hari Kokurikulum, Sambutan Hari Guru, Seminar Pengurus PASTI Se-Malaysia dan Seminar Prasekolah Peringkat Kebangsaan. Program latihan bagi guru dan jawatankuasa pengurusan akan diteruskan demi meningkatkan kualiti perkhidmatan. PASTI akan memperkenalkan anugerah khas kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun (berpusat 2006). Semua ini bertujuan untuk meningkatkan pembangunan pendidikan dan modal insan.
Saya yakin bahawa perancangan tersebut dapat direalisasikan dengan kerjasama dan komitmen tinggi semua pihak. Benih yang kita semai, tunas yang baik yang dibela dan dibajai, pasti akan membuahkan hasil yang bermutu tinggi. Anak-anak ibarat kain putih; ibu bapa, guru dan dasar pendidikan yang baik dan mendapat keampunan Allah sahajalah yang bakal mencorak kehidupan mereka.
Akhir kata, selamat datang dan selamat belajar kepada anak-anak PASTI sekalian. Semoga Allah Taala sentiasa memberi perlindungan, rahmat dan berkat kepada kalian. SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA 1427H
Azrin Abdul Majid
Posted by tunas at 1:08 AM 0 comments
Saturday, January 13, 2007
وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيد
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
12. Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.
Kebijaksanaan ( hikmah ) perlu dimiliki oleh ibu bapa dan para pendidik dalam mentarbiyyah keluarga. Luqman telah dikurniakan hikmah oleh Allah, lantaran dengan itu ia menjadi orang yang bersyukur. Tidak dinyatakan dengan jelas samaada Luqman dikurniakan hikmah melalui belajar atau kurniaan langsung dari Allah sebagaimana Nabi Khaidir. Namun kita sebagai manusia biasa perlu mendapatkan ilmu dengan belajar.
Ilmu hendaklah dicari dengan bersungguh-sungguh oleh ibubapa sebagaimana bersungguhnya kita dalam mencari nafkah hidup. Ramai yang beranggapan, setelah tamat persekolahan atau universiti maka tamatlah dunia pendidikan kita. Apa yang perlu sekarang ialah menumpukan comitment kepada kerja mencari nafkah.
Tanpa ilmu keibubapaan (parentship ) yang baik , kita mungkin gagal dalam membentuk permata hati menjadi anak yang pintar soleh
Kasih sayang
Dengan kebijaksanaan kurniaan Allah, Luqman menasihati anaknya. Perhatikan bagaimana bahasa yang digunakan oleh Luqman terhadap anaknya Ya bunaiya (wahai anak kesayangan ku ) . Satu bahasa yang lembut dan penuh dengan rasa kasih sayang kerana Allah. Luqman tidak mahu anaknya mendapat kemurkaan Allah yang mungkin akan menghumbankanya ke dalam seksaan api neraka.
Sungguhpun begitu bukan bererti ibubapa tidak boleh memarahi anak-anaknya apabila mereka melakukan kesalahan. Marah juga adalah satu kemahiran mendidik.
Apa yang dinasihatkan oleh Luqman.
Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.
Inilah perkara besar , iaitu dosa syirik. Disinilah pentingnya ibu bapa mempunyai ilmu untuk menerangkan syirik dan bentuk-bentuk syirik akhir zaman ini bagi menyelamatkan anaknya dari seksa neraka. Luqman tidak menasihatkan anaknya dengan perkara- perkara kecil hal keduniaan . Oleh itu nasihatkanlah anak remaja kita supaya menjaga dirinya daripada perkara yang boleh merosakkan agamanya. Nasihat tentang gejala murtad hendaklah sentiasa diberi penekanan. Masaalah sosial yang melanda umat Islam yang semakin parah , serangan dan penghinaan terhadap umat Islam perlu diberi peringatan supaya membangkitkan rasa cinta mereka kepada Islam.
Posted by tunas at 10:17 PM 0 comments
Thursday, January 11, 2007
Monday, January 08, 2007
ANAK YATIM ( 2 )
Adab Terhadap Anak Yatim
Menunaikan hak-haknya, antaranya :
- Menjamin makanan yang cukup bagi mereka sebagaimana kebiasaan makanan masyarakat setempat . Pastikan mereka diberi makanan yang halal dan baik (berzat)
- Menyediakan pakaian yang baik, Perlu diberi perhatian supaya mereka berpakaian sopan dan menutup aurat.
- Memberi mereka tempat tinggal yang sepatutnya sebagaimana yang biasa dimiliki masyarakat setempat, termasuk peralatan-peralatan asas di dalam sesebuah rumah
- Menjaga, mengembangkan, dan mengembalikan harta mereka apabila mereka mencapai umur “rasyid” iaitu pandai menguruskan harta. Wali patut mendidik dan menguji mereka untuk mempastikan mereka mampu menjaga harta.
- Selain memperhatikan makanan, pakaian, dan tempat tinggal mereka, kita juga harus mengambil berat tentang kesehatan mereka. Segera membawa mereka ke hospital apabila terdapat tanda sakit.
- Berikan kasih sayang terhadap mereka sebagai ganti ibubapa mereka sebagai tempat mengadu. Selalulah mengusap rambut dan kepala mereka dengan kasih sayang .
- Latihlah mereka dengan adab-adab Islam dalam kehidupan harian .
- Menjauhkan mereka dari lingkungan yang kotor dan penyakit.
- Latihlah mereka membina jasmani yang cergas dengan aktiviti sukan, relah megembara dan lain-lain
- Mendidik mereka dengan sebaik-baiknya
- Hantarlah mereka ke tempat pendidikan yang berdasarkan pendidikan Islam, yang bertujuan membina ketaqwaan, mencintai Al-Qur'an dan membina akhlaq yang mulia.
- Penuhi keperluan peralatan pendidikan mereka,
- Jauhkan mereka dari tempat, teman dan benda-benda yang menyebabkan mereka berakhlaq buruk. Seperti kaset, CD, film, majalah yang merusakan akhlaq mereka.
- Tunjukkan contoh teladan yang baik bagi mereka.
Tempat Pendidikan Anak Yatim
Oleh kerana mulianya kedudukan mereka di kalangan umat Islam, maka syariat menganjurkan agar mereka dididik di tempat yang penuh tanggung jawab, seperti berikut:
- Rumah tangga keluarganya sendiri, keluarga terdekat.
- Rumah tangga keluarganya sendiri, keluarga jauh.
- Pusat penjagaan anak yatim berteraskan Islam.
- Individu yang memiliki kemampuan dan amanah.
Sesungguhnya niat baik orang beriman yang bersungguh-sungguh pasti akan mendapat balasan dan pertolongan dari Allah subhanahu wata’ala. Insya Allah.
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan ANAK-ANAK YATIM dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya). ( سورة البقرة , Al-Baqara, Chapter #2, Verse #215)
Posted by tunas at 8:26 PM 0 comments
BERITA hukuman bunuh ke atas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang digulingkan oleh tentera pakatan penceroboh diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) berjaya mengalihkan perhatian dunia terhadap gerakan pembunuhan beramai-ramai penduduk awam Palestin di Semenanjung Gaza.
Dunia seolah-olah lupa bahawa dalam masa yang sama Israel terus mengganas, membunuh penduduk awam Gaza yang tidak berdosa dan tidak bersenjata.
Dengan kelengkapan senjata tercanggih termasuklah penggunaan gas Napalm (seperti yang digunakan di Vietnam) dan peluru berpandu tercanggih, NIMROD (peluru berpandu antikereta kebal berpandukan laser yang mencapai jarak 26 kilometer dengan kadar ketepatan tinggi), penduduk Palestin terus diburu dan dibunuh tanpa belas kasihan.
Berbanding 148 penduduk Syiah, lebih 5,506 penduduk awam Palestin di Gaza dibunuh kejam sejak intifada kedua September 2000.
Pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza pada September 2005 bukanlah satu pembebasan bagi Gaza yang telah ditakluki oleh Israel lebih 38 tahun lalu. Sebaliknya pengunduran tersebut adalah perubahan strategi Israel untuk melancarkan penghapusan rakyat Palestin dengan lebih sistematik lagi. Israel kemudian menempatkan bala tenteranya dengan kekuatan lebih 5,000 anggota pembunuh di sempadan Gaza, menunggu masa untuk membunuh rakyat Palestin di situ.
Kemuncak keganasan besar-besaran Israel yang terkini bermula dengan serangan pada Jun lalu ke atas infrastruktur Gaza termasuklah pusat jana kuasa elektrik utama, jambatan, sekolah dan Universiti Islam. Serangan ganas yang kemudiannya dikenali sebagai Operasi Autum Clouds berterusan sehingga kini dengan lebih 200 penduduk awam dibunuh termasuklah wanita, orang tua dan kanak-kanak. Antara yang menyayat hati ialah operasi di kawasan Beit Hanum, utara Gaza yang menyaksikan 48 penduduk awam Palestin terbunuh.
Dalam keghairahan dunia memfokuskan kes Saddam, kezaliman ke atas penduduk Palestin diselindungi oleh pihak media khususnya di Barat. Penduduk Gaza bersendirian berjuang menentang kezaliman Israel. Dengan hanya bersenjatakan keazaman, penduduk Gaza terus bermandi darah menentang kekejaman Israel yang disokong oleh Amerika dan Eropah. Bagi penduduk Gaza, maruah dan keadilan akan diperjuangkan hingga ke titisan darah terakhir. Antara yang mengagumkan ialah keberanian lebih 200 wanita Palestin yang tidak bersenjata membina jaringan manusia mempertahankan kesucian masjid Al-Nasr di utara Gaza daripada bedilan peluru berpandu Israel pada Jumaat, 3 November lepas . Wanita-wanita ini mungkin sedar bahawa dunia kini tiada siapa yang bersimpati dengan mereka. Lantas wanita-wanita yang berjiwa ‘singa’ ini mempertaruhkan nyawa mereka dengan 24 orang yang dibunuh oleh Israel. Segala-galanya demi mempertahankan keadilan dan maruah pejuang Palestin.
Masyarakat antarabangsa lantas seperti biasa cuma berdiam diri tanpa sebarang tindakan konkrit seperti mana sejak 60 tahun lalu apabila British menjajah bumi Palestin dan menubuhkan Israel. Bagi AS reaksi White House adalah sesuatu yang dijangkakan seperti mana hukuman mati terhadap Saddam. Bagi Washington, retorik lama diulang semula dengan kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika, Sean MacCormack pada Sabtu lepas yang menyalahkan rakyat Palestin khususnya di Gaza sebagai punca segala kemelut. Malah MacCormack mempertahankan keganasan Israel dengan alasan basi sejak 60 tahun lalu iaitu Israel berhak membunuh penduduk Gaza atas prinsip ‘mempertahankan diri daripada serangan pengganas’.
Nada Washington ini sememangnya selari dengan perisytiharan ‘perang yang panjang’ oleh Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert pada 4 Julai lepas atas alasan yang sama iaitu Israel berhak mempertahankan diri. Hujah Tel Aviv bahawa serangan Israel adalah untuk membebaskan askarnya, Koperal Gilat Shalit yang diculik adalah alasan yang sangat lemah.
Seorang askar biasa Israel yang ditahan menceroboh di wilayah Palestin tidak ‘menghalalkan’ Israel melancarkan ‘hukuman menyeluruh’ yang terang-terangan bercanggah dengan prinsip Konvensyen Geneva berhubung Hak Asasi Manusia. Malah alasan yang sama digunakan Israel dalam serangan terhadap selatan Lebanon baru-baru ini, pembunuhan beramai-ramai di Shabra dan Shatila dan ketika Israel menakluki Tebing Barat serta Bukit Golan pada 1967.
Ironinya dalam masa yang sama Israel memenjara tanpa bicara beribu penduduk Palestin di Israel seperti mana yang dilakukan oleh AS di Guantanamo Bay. Malahan Israel menculik ahli parlimen dan menteri menteri Palestin yang dipilih secara demokrasi.
Mereka ini adalah sebahagian yang diculik oleh Israel daripada 74 ahli parlimen Hamas (48 di Tebing Barat dan 26 di Semenanjung Gaza). Persoalannya sekarang dalam pembunuhan di Gaza, siapakah yang menjadi mangsa dan siapa pula yang menjadi pemangsa?
Apakah bala tentera Israel yang canggih itu boleh dianggap ‘mempertahankan diri’ ataupun penduduk awam Gaza yang tidak bersenjata termasuklah 200 wanita di utara wilayah itu?
Dan yang lebih mendukacitakan dunia Islam khususnya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebagaimana tahun-tahun sebelumnya tidak mampu berbuat apa-apa. OIC hanya mampu melihat penduduk Palestin di Gaza dikepung oleh bala tentera Israel untuk dibunuh satu persatu umpama “kambing yang dikurung di dalam kandang menunggu masa untuk disembelih”.
Sesungguhnya dari segi sejarah Semenanjung Gaza (Ghazza dalam bahasa Arab) adalah kota tua Palestin yang terkenal suatu waktu dulu. Kota yang terletak bersempadan dengan Laut Mediterranean di sebelah baratnya dan sempadan antarabangsa dengan Mesir di utara berhampiran Rafah.
Wilayah-wilayah di semenanjung ini yang terdiri dari Gaza, Dair el-Balah, Khan Yunis dan Rafah menjadi saksi kepada segala bentuk penjajahan dan keganasan terhadap rakyat Palestin.
Bermula dengan penjajahan Assyria pada 734 Sebelum Masihi (SM) penaklukan Alexander pada 332 SM, penjajahan Rom pada 57 SM, Napoleon pada 1799, Israel (1955 dan 1967) dan sehinggalah kini November 2006, wilayah Gaza terus bermandi darah.
Sejarah akan mencatatkan bahawa sejak Januari 1949 sehinggalah November 2006, penduduk wilayah Gaza seperti pelarian di kem Jabaliyah dan Rafah akan terus menjadi ‘haiwan sembelihan’ Israel.
Hakikatnya secara fizikal agak sukar untuk kita menentang paksi ‘kejahatan’ Israel, Amerika dan sekutunya yang mengganas di Gaza, (seperti mana kejayaan Khalifah Umar pada 634 Masihi). Namun percayalah langkah pertama yang boleh dilakukan ialah dengan terus-terusan tanpa henti, kita menyebar dan mendedahkan ke seluruh dunia tentang kezaliman Israel dan konco-konconya.
Sesungguhnya perpaduan kepimpinan rakyat Palestin akan menjadi halangan paling besar yang mampu menyekat gerakan pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas penduduk Palestin khususnya di Semenanjung Gaza.
Kematian Saddam akan tercatat dalam tinta sejarah di Asia Barat tetapi mampukah umat Islam menanggung beban sejarah hitam membiarkan penduduk Palestin dibunuh sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembelaan?
- DR. MUHAMAD HASRUL ZAKARIAH ialah Pensyarah Sejarah Asia Barat Moden,
Posted by tunas at 1:47 AM 0 comments