Sunday, August 10, 2008

Peguam Islam perlu terajui Majlis Peguam - Zulkifli Nordin

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Hrkh) -"Sudah sampai masanya peguam yang beragama Islam mengambilalih teraju kepimpinan Majlis Peguam," kata ahli exco Persatuan Peguam Islam, Zulkifli Nordin.

Beliau berkata, ini bagi mengelakkan Majlis Peguam menganjurkan forum yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam.
Malaysiakini melaporkan, Zulkifli yang juga ahli Parlimen KeADILan Kulim-Bandar Baharu memberitahu pemberita demikian selepas menyertai perhimpunan membantah penganjuran forum awam 'memeluk Islam' anjuran majlis tersebut di ibu negara hari ini.

Beliau mendakwa, Majlis Peguam menganjurkan forum tersebut kerana hendak membuat provokasi terhadap orang Islam.
"Tetapi saya mewakili Persatuan Peguam Islam memberi amaran supaya tidak mencabar umat Islam kerana kesabaran mereka ada hadnya," katanya.

Forum awam tersebut akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut. Seramai 500 orang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi, sambil melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum". Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Zulkifli berkata, forum anjuran Majlis Peguam hari ini sebenarnya bukan dialog tetapi sebaliknya, satu program untuk memprovokasi terhadap umat Islam. "Semasa saya berunding dengan presiden dan timbalan presiden Majlis Peguam, saya katakan kepada mereka bahawa forum ini tidak wajar diadakan. "Saya katakan forum ini menguji kesabaran orang Islam," katanya yang gembira kerana umat Islam bersatu menyatakan suara mempertahankan hak mereka.

Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu, Jais Abdul Karim berkata, beliau mendapat tahu 110 peserta telah menghadiri forum tersebut. Katanya, 95 peratus daripada mereka adalah terdiri daripada orang bukan Islam.
"Semasa kami naik ke tempat forum, saya mendapati ia sedang berjalan dan kami memaksa mereka memberhentikannya. "Ketika itu ada peserta mengeluarkan perkataan yang menghina kami," katanya sambil menambah "inilah perjuangan yang terpaksa kami lalui untuk menegakkan Islam".

Jais berkata, beliau berharap program seperti ini tidak lagi diadakan pada masa depan.
Katanya, sebanyak 29 penyokong NGO Islam datang untuk menyatakan sokongan membantah forum tersebut. - mks._

Tuesday, August 05, 2008

Katil Maut

Seorang ibu mendapati anak tercintanya telah maut terbujur kaku dengan kepala tersepit ditempat tidur, bayi tersebut didapati maut saat berusaha turun dari tempat tidurnya ketika baru bangun. Melihat tanda di tempat kejadian, diyakini bayi tersebut maut akibat kekurangan oksigen (lemas), dia tidak dapat membebaskan kepalanya dari sepitan kayu, mulut dan hidungnya tertutup cadar sehingga teriakannya tidak dapat didengar siapapun sementara kakinya menjuntai kebawah tidak dapat menyentuh lantai. Melihat carikkan pada kain cadar, dapat dibayangkan penderitaan bayi tersebut saat menghembuskan nafasnya yang terakhir.



Awas !!! Pilih tempat tidor yang selamat untuk anak anda.
Kanak-kanak biasa melakukan tindakkan yang tidak dapat diduga.

Sunday, August 03, 2008

Perutusan Ketua Pengarah PASTI Pusat


Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah perkenan serta izin-Nya maka PASTI Malaysia dapat meneruskan usaha murni memacu kegemilangan PASTI sebagai entiti pendidikan prasekolah yang disegani di negara ini. Sejurus tirai 2008 dibuka, takwim pendidikan PASTI Malaysia telah disusun dengan lengkap sepanjang tahun ini dengan pelbagai program pendidikan di sana sini. Pengurusan PASTI Malaysia bertambah sistematik dan efisyen dengan operasinya berpusat di sebuah bangunan empat tingkat yang dibeli dengan harga RM900 ribu. Buku-buku teks dan latihan untuk anak-anak PASTI berumur 5 tahun kini berwajah baru dan bertambah bilangannya walaupun mengalami masalah kelewatan dan teknikal.

Tahun 2008 ini merupakan tahun yang penuh mencabar dengan komitmen dan keazaman warga PASTI dituntut kerana PASTI tidak lagi boleh berperanan dalam lokaliti dan lingkungannya. Sebaliknya, dalam tempoh lebih dua darsawarsa ini (lebih 20 tahun) kewujudan PASTI sewajarnya telah mula menonjolkan diri di pentas nasional dan antarabangsa sesuai dengan kekuatan organisasinya yang telah menghimpunkan lebih 60,000 murid seluruh negara dengan bilangan institusi PASTI yang hampir mencecah 1600 buah. Jika dikaitkan pula dengan produk PASTI dalam vakum pembangunan modal insan yang dilahirkan sejak tahun 1984, hampir sejuta murid-murid PASTI telah mendapatkan pendidikan awal di institusi ini. Kini, sebahagian daripada murid-murid PASTI ini telah melanjutkan pelajaran di IPTA dan IPTS luar dan dalam negara. Saya percaya ramai juga yang telah menamatkan pelajaran dan telah pun berkerjaya sesuai dengan kelayakan masing-masing. Lebih membanggakan kita, sebahagian daripada anak-anak PASTI ini telah mula menggerakkan ALUMNI PASTI dan mencari ruang dan peluang untuk menyumbang tenaga bersama-sama dengan Komuniti PASTI.

Sesuai dengan pengalaman dan peranan PASTI dalam arus kemajuan pendidikan prasekolah negara, PASTI Malaysia bertekad dan berazam akan bergerak dalam kontinum dan keupayaannya sendiri dengan mengukuhkan struktur pentadbiran, meningkatkan kualiti dan profesionalisme guru dan pengurus PASTI, mengupayakan pengurusan dan menubuhkan koperasi demi menjaga kebajikan guru, pengurus dan murid-murid PASTI. Selain itu, PASTI Malaysia mula mengorak langkah dengan bersedia menganjurkan Seminar Pendidikan Prasekolah Islam Kebangsaan yang bakal diadakan di Selangor pada oktober ini. Program-program rutin pendidikan PASTI seperti Peperiksaan Akhir Tahun Berselaras akan terus diperkasakan selain Sambutan Hari Guru dan Kejohanan Sukan PASTI 2008 yang diadakan di Kota Bharu Kelantan. Ijtimak Guru-Guru PASTI Malaysia di Langkawi, Kedah dan Ihtifal PASTI Kebangsaan di Alor Star Kedah juga akan diadakan sebaik-baik sahaja cuti sekolah akhir tahun bermula. Untuk menawarkan pendidikan alternatif kepada masayarakat Islam negara ini, PASTI Malaysia sedang dalam membuat persiapan akhir untuk melancarkan produk terbaharu PASTI iaitu kelas PraTahfiz PASTI dan KAFFAH yang bakal mengisi keperluan fardu ain untuk anak-anak masyarakat Islam di premis PASTI pada sebelah petang dan hujung minggu di seluruh negara.

Akhir kata, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas komitmen dan sumbangan semua pihak dalam menjayakan pendidikan PASTI ini. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha ini sebagaimana firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu” (Surah Muhammad : Ayat 7). Mudah-mudahan Allah melindungi kita semua dan menjaga keselamatan anak-anak kita selama mana mereka mendapat pendidikan di PASTI. Amin Ya Robbal A’lamin.
AZRIN ABDUL MAJID