Saturday, October 27, 2007

Seni dan Cabaran Aqidah

Harian Metro 12 may 2007
KUALA LUMPUR: Segelintir penggiat seni visual, teater dan pemuisi bangsa Melayu sanggup menjual maruah agama dan diri apabila secara terang-terangan mengaku tidak percayakan kewujudan Tuhan dan tidak menganut sebarang agama atau berfahaman "freethinker" dengan pelbagai aliran seperti atheis, agnostik dan rasionalis.
Golongan itu yang menggelarkan diri sebagai Melayu aliran baru mendakwa bebas menentukan jalan hidup masing-masing dan menjadikan fahaman berkenaan seperti satu trend hebat di mata kelompok mereka. Kebanyakan mereka berlagak seperti golongan intelek dengan mengusung buku-buku tulisan beberapa tokoh falsafah barat seperti Friedrich Nietzsche, Sأ¸ren Kierkegaard, Lord Byron dan Karl Marx yang terkenal dengan ideologi anti ketuhanan dan komunisme sebagai “kitab” ajaran mereka selain buku penulis berhaluan kiri dari Indonesia .

Dipercayai, golongan terbabit mendapat bantuan kewangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara yang sentiasa memberi galakan terutama untuk menghasilkan karya bertentangan dengan Islam dan budaya timur yang disalurkan melalui segelintir aktivis sosial negara ini. Malah, mereka juga berani mengambil tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan dan bersifat provokatif di kalangan masyarakat Islam negara ini. Ini termasuk menghasilkan karya seni dan penulisan artikel serta puisi di laman blog yang bertentangan dengan adat ketimuran, kononnya bagi memperjuangkan hak individu.

Selain itu, golongan freethinker terbabit sanggup melukis tatu pada anggota badan, minum arak dan mengamalkan seks bebas serta perkara lain yang bertentangan dengan Islam. Perkara berkenaan diakui oleh seorang pereka grafik hanya mahu dikenali Azfar, yang pernah menjadi pereka set untuk satu pementasan teater di utara Semenanjung, membabitkan beberapa penganut freethinker pada tahun lalu. Menurutnya, dua daripada tenaga kerja produksi itu termasuk pengarahnya mengaku berfahaman atheis dan sudah murtad. Kami (tenaga kerja teater berkenaan) cuma menyedari perkara ini apabila mereka berdua tidak turut serta ketika sesi bacaan doa sebelum persembahan dimulakan.

Malah, seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Taji dengan bangga mengaku bukan Islam dan tidak mahu berdoa. Pengarah teater terbabit pula sering mempersendakan tenaga kerja lain yang menunaikan solat dan selepas diselidiki, dia pernah bersekedudukan dengan seorang lelaki Mat Saleh dari Amerika Syarikat ketika menuntut di sebuah universiti. “Saya dengar cerita, mereka sudah berkahwin tetapi masih berfahaman freethinker”,‌ katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Wartawan Harian Metro yang menyamar penulis bebas, berjaya menjejaki dan menemubual Taji yang menjadi pemuzik jalanan di kawasan Bukit Bintang di sini. Taji berkata, dia mula dipengaruhi fahaman freethinker selepas berkenalan dengan seorang aktivis sosial ketika masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di ibu kota. ”Kerana tertarik dengan hujah serta idea yang diperkenalkan aktivis berkenaan mengenai fahaman ini, saya mula mengkaji sendiri dengan membaca beberapa buku karangan ahli falsafah dan saintis terkenal.” Akhirnya, saya terpengaruh serta yakin tuhan tidak wujud dan manusia berkuasa penuh untuk menentukan sendiri nasib masing-masing”,‌ katanya. Menurut Taji, dia banyak menulis naskhah teater dan cuba menyelitkan mesej tersirat dalam penceritaannya. ”Selain mengarang, saya aktif berlakon, mengarah atau membuat kerja belakang tabir pementasan teater terutama membabitkan karya radikal yang melawan arus”,‌ katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganut freethinker dikesan menulis artikel dan puisi yang mengenengahkan pendapatnya di laman blog kononnya untuk memperjuangkan hak kebebasan beragama. Menurutnya, orang Melayu sepatutnya diberikan hak memilih menjadi atheis, agnostik atau menganut agama lain dengan mudah tanpa campur tangan mana-mana pihak. Selain itu, dia berpendapat masyarakat Melayu diskriminasikan kerana tidak bebas memakan daging babi, minum arak dan membeli nombor ekor. Difahamkan, dia juga aktif menyertai pameran seni visual dan mempunyai lukisan tatu pada lengan.

Tuesday, October 23, 2007

Usrah di Sekolah - Penyelesaian Masaalah Disiplin

Pendedahan demi pendedahan yang dibuat tentang masalah remaja dizaman penghujung usia dunia ini jelas memperlihatkan peningkatan yang menakutkan. Semakin kita mengejar detik ketamadunan yang ingin kita julang kembali, semakin menular kemaksiatan yang dibuat oleh bakal pengemudi dunia Melayu di era akan datang. Dada akhbar harian hari ini membentangkan graf peningkatan yang sama antara kemajuan fizikal dengan kehancuran moral remaja. Sewaktu dunia disebelah barat berlumba-lumba untuk kembali kepada suatu ajaran yang mampu mengimbangi teknologi semasa (merujuk kepada nama-nama besar yang memeluk agama Islam mutakhir ini), remaja kita pula sedang sibuk belajar dan berusaha untuk menjadi 'pengikut setia' budaya negatif barat yang semakin tiada penapisannya.


Jelas sekali satu pelan bertindak perlu segera dirangka dan dilaksanakan agar tapak tamadun yang sedang dibina sekarang tidak disediakan kepada generasi yang bakal meruntuhkan nama baik bangsa dan agama. Rentetan sukarnya membendung masalah disiplin pelajar yang kini mendominasi iklim persekolahan, tumpuan sekolah sebagai pusat melahirkan intelektual dalam masyarakat tergendala. Lebih merisaukan apabila guru-guru yang ingin membentuk peribadi pelajar menjadi semakin tertekan dan terkadang melepasi had atas alasan yang sepatutnya. Semua pihak sedar bahawa lebih wajar menyalahkan pendidik yang hanya masuk ke kelas memberi ilmu tanpa menghiraukan peribadi penerima ilmu tersebut (murid). Ibarat membiarkan pisau (ilmu) berada pada tangan orang yang tidak dikenali, apakah natijah akhirnya bermanfaat atau memudharatkan.

Perkataan 'USRAH' mungkin sekali agak janggal dalam kalangan pelajar yang menuntut di sekolah harian biasa bahkan juga mungkin tidak terlalu mesra bagi sesetengah pelajar sekolah aliran agama. Apa yang pasti bagi kebanyakan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan beberapa sekolah berasrama penuh (SBP), mekanisma inilah yang telah sekian lama menjadi tunjang bahkan benteng kukuh serta jalan penyelesaian kepada kes-kes disiplin juga masalah sahsiah . Justeru, kami merasa terpanggil untuk berkongsi usaha dalam agenda mengurangkan gejala negatif khususnya dalam kalangan remaja sekolah. Proses usrah merupakan satu pertemuan yang dibuat dalam kelompok kecil sekitar tujuh hingga sepuluh orang pelajar dengan dipimpin oleh seorang ketua dipanggil naqib atau naqibah. Lazimnya satu pertemuan akan dibuat seminggu sekali dengan perbincangan aspek keimanan, ibadah dan akhlak dipandu oleh naqib/naqibah. Istimewanya, setiap naqib dan naqibah ini terlebih dahulu dipimpin oleh ustaz, ustazah dan guru-guru sebagai pembimbing (murabbi) sebelum berjalannya usrah.

Keunikan usrah ini adalah hubungan rapat (melepasi jangka waktu pertemuan) bagi setiap lapisan pembimbing samada naqib dengan ahli usrah atau naqib dan murabbi dalam berkongsi dan menyelesaikan masalah. Dengan pelaksanaan sistem usrah ini, hirarki disiplin lebih tersusun bahkan melibatkan semua pihak di sekolah. Kes bebanan kerja (khususnya terhadap warden yang berkorban seluruh masa dan tenaga kepada anak-anak pelajar) pada pandangan saya mampu diatasi. Setidak-tidaknya sumbangan yang sedikit oleh semua pihak termasuk pelajar sendiri, apabila disistemkan dan diatur dengan bentuk usrah ini, mampu membentuk persekitaran sekolah yang lebih terkawal. Keselarasan dan keberkesanan sistem usrah ini diiktiraf dengan adanya Buku Panduan Usrah yang diiktiraf penggunaannya oleh Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral (JAPIM). Kementerian Pelajaran Malaysia untuk digunakan oleh semua SMKA seluruh negara. Dengan adanya teks panduan yang seragam ditambah nilai tanggungjawab pembimbing yang berbentuk piramid ini (satu individu membimbing kelompok yang kecil), kami menanam keyakinan pada Allah s.w.t. bahawa usaha ini adalah wajar dilaksanakan secara serius dan seragam dalam memastikan nilai intelektual dan sahsiah pelajar muslim kembali kepada landasan sebenar seterusnya mampu merealisasikan agenda modal insan.

MOHD FUAD BIN OTHMAN,
ALUMNI SMKA SHEIKH HJ MOHD SAID,
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN.

Wednesday, October 17, 2007

Ubat Kecantikan

Seorang wanita tua yang di wajahnya masih dan selalu memancarkan cahaya, ketegaran dan kecantikan,

ditanya tentang alat-alat kecantikan yang dipakainya,
maka dia pun menjawab :
"Aku gunakan untuk kedua bibirku dengan berkata kebenaran (hak), dan untuk suaraku dengan membaca Al Quran
Dan untuk kedua mataku dengan rahmat dan belas kasihan
Dan untuk kecantikan kedua tanganku dengan melakukan kebaikan,
Dan untuk postur tubuhku dengan solat dan (istiqomah)
Dan untuk hatiku dengan cinta dan kasih sayang."

Akidah Dalam Bahaya

Gambar ini dirakamkan oleh seorang sahabat dan dikirimkan kepada saya. Untuk pengetahuan, gambar ini dirakam di sebuah gereja yang berhampiran dengan pekan Merlimau, Jasin Melaka, bersebelahan dengan stesen minyak BHP.

Di dalam kawasan gereja tersebut terdapat sebuah tadika dimana bangunannya bercantum dengan gereja tersebut. Satu lagi sumber yang diperolehi dari seorang 'informer', hasil tinjauan beliau, beliau mendapati hampir sepuluh orang kanak2 berbangsa Melayu dan semestinya beragama Islam belajar di tadika tersebut.
Di sini saya lampirkan dua keping gambar sebagai bukti bahawa terdapat segelintir ibubapa yang tidak faham Agama Islam menghantar anaknya ke tadika tersebut. Apa yang mengusarkan hati saya ialah sikap ibu bapa yang tidak prihatin boleh mengakibatkan si kanak2 tersebut boleh berpaling akidahnya dari ajaran Islam.

Kenapa JAIM tidak memantau perkara ini dan tidakkah maklumat ini diperolehi oleh JAIM ??. Jangan terlalu asyik handak ber'perang' dengan PASTI di Melaka. Laksanakan tanggungjawab dalam membela akidah umat Islam yang kian terhakis dalam jiwa mereka.!!!


Sumber : Mujahid 304

Tuesday, October 16, 2007

Hujan Air Batu di Kuwait

KUWAIT: Cuaca di luar jangka dengan hujan lebat diseluruh negara pada April 2007 telah menyebabkan banjir. Banyak kedai dan rumah dimasuki air, kerana system peparitan yang tidak baik.
Apa yang menarik , hujan lebat kali ini berserta dengan hujan air batu (hailstones) . Beberapa pejalan kaki lari berlindung dari terjahan air batu. Kanak-kanak kelihatan berebut-rebut mengutip ais dan setengahnya memakan ais sebesar guli.

Hujan air batu memeranjatkan ramai orang terutama pekerja asing dari negara tanpa salji. Seorang graphic designer dari India mengatakan itulah kali pertama ia melihat ais dari langit. Manakala rakannya, Ibrahim yang telah menetap di Kuwait sejak 30 tahun yang lalu pula mengatakan ia tidak pernah melihat ais hujan sebegini banyak.

Menakjubkan ! Teriak Ahmad (seorang penduduk tempatan ) sambil mengumpulkan ais bersama keluarganya di Salmiya. “ Saya tidak pernah melihat hujan ais begini di Kuwait”. Menurut pakar kaji cuaca, ia berpunca dari kesan pemanasan global. Lain pula pandangan seorang penduduk Kuwait , Farouk. Ia berpendapat ini semua rahmat dari Allah , mungkin tak lama lagi Kuwait akan terdapat salji seperti di Eropah. “Saya telah melihat banyak perubahan di Kuwait akhir-akhir ini, semua nya berlaku dengan kehendak Allah.”
Atau mungkin tanda hampir kiamat?




Salma Ganti Patung Barbie

Pereka Indonesia rancang eksport permainan bercirikan Islam

JAKARTA: Seorang wanita Indonesia menghasilkan satu alternatif kepada anak patung Barbie dinamakan Salma yang menepati ciri-ciri Islam untuk pasaran penduduk Muslim. Salma bermaksud 'damai' dalam bahasa Arab dan menampil pelbagai imej menerusi pakaian daripada tudung 'abaya' kepada pakaian solat. Semua pakaian Salma bertangan panjang dan labuh ke tumit serta bertudung kepala.

Penciptanya adalah seorang ahli perniagaan, Sukmawati Suryaman, yang memberitahu dia mendapat inspirasi mencipta anak patung itu tahun lalu selepas melihat anak saudaranya bermain Barbie. "Saya terus teringat pada masa itu bahawa alangkah baiknya jika kami ada anak patung bercirikan Muslim seperti itu kerana semua orang tahu kanak-kanak suka meniru gaya anak patung mereka," katanya.

Indonesia adalah negara Islam terbesar dunia dengan 85 peratus daripada 226 juta penduduknya adalah Muslim dan kebanyakannya berhaluan sederhana. Ramai wanitanya turut menutup kepala menjadikan gaya pakaian anak patung Salma ala konservatif memudahkan kanak-kanak mengenalinya berbanding gaya umpama bintang pop patung Barbie atau Bratz, kata Reuters. Sukmawati yang mempelajari bidang kejuruteraan, mengendalikan perniagaannya dari rumah. Dia mengimport patung plastik dari China dan mereka cipta serta menjahit pakaian serta aksesori Salma dengan bantuan dua jirannya. Anak patung itu dimasukkan dalam bungkusan dan dijual menerusi pemborong atau melalui laman web di alamat www.bonekasalma.com, lapor agensi berita itu. Di laman web berkenaan, Salma diberi gelaran anak 'patung Muslim Barbie.'

Sukmawati menjual kira-kira 200 anak patung itu sebulan dan kebiasaannya ia meningkat menjelang sambutan Aildifitri kerana ramai yang suka bertukar-tukar hadiah. Dia juga merancang mengeksport patung itu ke Malaysia dan Brunei kerana percaya akan mendapat sambutan menggalakkan. "Saya rasa Salma boleh menjadi contoh dan pilihan baru. Patung Barbie memakai pakaian yang terlalu ringkas manakala Salma lebih sederhana dan memakai tudung," kata Tina, seorang wanita yang ditemui ketika membeli patung itu untuk anaknya. – Reuters


Seorang pekerja sedang mengenakan pakaian Salma

Wednesday, October 10, 2007

Tips Elak Letih Memandu

Setiap kali menjelang hariraya , kita sering mendengar berita duka kemalangan yang meningkat. Walaupun pelbagai OPS yang telah dijalankan namun indeks kemalangan tidak menurun. Pelbagai punca kemalangan telah dikaji dan dianalisa antaranya ialah kecuaian pemandu , kondisi kenderaan, bentuk rupa jalan raya dan sebagainya.


KELETIHAN semasa memandu merupakan punca utama kemalangan jalan raya. Kemalangan sebegini boleh terjadi pada bila-bila masa, tetapi masa paling kerap ialah di antara pukul 10 malam hingga 8 pagi dan awal pagi hingga tengah hari.
Kemalangan yang berpunca dari rasa letih lazimnya menyebabkan kecederaan yang teruk berbanding kemalangan akibat punca- punca lain. Pemandu yang keletihan bertindak balas lebih lambat dan pertimbangannya mudah terganggu. Ini menyebabkan terjadinya kemalangan yang mengakibatkan beribu-ribu kecederaan dan kematian setiap tahun, yang pada hakikatnya boleh dielakkan.
Apakah yang dimaksudkan dengan keletihan semasa memandu?
Keletihan yang amat sangat lazimnya disebabkan oleh masalah-masalah psikologi seperti berasa kekurangan tenaga, kepenatan atau keletihan. Dalam kebanyakan kes, keletihan yang amat sangat dikaitkan dengan kebosanan, kesedihan, kekecewaan, kurang tidur atau teruk bekerja. Rasa letih yang keterlaluan ini tidak sama seperti rasa mengantuk, tetapi biasanya keinginan untuk tidur akan timbul seiring dengan rasa letih yang sebegini.

Punca-punca keletihan semasa memandu

* Memandu untuk jangka masa yang lama tanpa berhenti rehat
* Mengambil alkohol
* Kurang tidur dan rehat
* Ubat-ubatan seperti antihistamin, antihipertensi, sedatif atau diuretik
* Masalah kesihatan seperti penyakit Addison, anemia, AIDS, gangguan alahan yang kronik seperti demam alergi atau lelah, malignan, diabetes, kegagalan jantung
* Senaman berlebihan
* Tekanan perasaan atau stres
* Memandu lewat malam atau awal pagi, iaitu waktu yang pada kebiasaannya anda tidur.
Tanda-tanda keletihan

* Kerap menguap dan mengantuk
* Keliru dan pemikiran yang kabur
* Murung dan mudah baran
* Tindak balas dan reaksi yang lambat
* Khayal atau berangan-angan
* Sukar hendak membuka mata, terasa penat, sakit-sakit badan, mengawal stering sambil lewa
* Tidak nampak lampu isyarat atau papan tanda
* Gagal menumpukan perhatian
* Tidak dapat mengingat apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minit atau beberapa saat lalu
* Badan atau kepala bergoyang-goyang kerana tersengguk-sengguk
* Kereta terbabas atau termasuk ke lorong lain
* Tersengguk-sengguk semasa memandu
* Peningkatan sensitiviti mata terhadap cahaya (tidak dapat menahan silau cahaya).
Pengurusan sendiri

* Perlahankan kereta anda
* Berhenti dan berehat di tempat yang sesuai
* Berbual dengan penumpang jika ada
* Turunkan tingkap kereta agar udara segar dapat masuk atau pasangkan penghawa dingin pada tahap maksimum
* Keluar dari kereta dan berjalan-jalan sekejap
* Berhenti sekejap untuk minum
* Berhenti rehat untuk mandi
* Bermalam dahulu sebelum memulakan balik perjalanan yang jauh
Amalkan tabiat baru

* Berhenti sekejap untuk berehat bagi setiap satu atau dua jam memandu
* Berkongsi memandu dalam perjalanan yang jauh dan pastikan anda berehat apabila sampai giliran bertukar pemandu
* Jika anda telah penat bekerja seharian, janganlah memandu untuk perjalanan yang jauh
* Sesekali biarkan udara segar memasuki kereta anda kerana kereta yang sentiasa tertutup boleh membuatkan anda mengantuk
* Rancanglah perjalanan anda dengan mengambil kira tempat-tempat persinggahan menarik yang boleh dilawati di sepanjang perjalanan
* Awasi tanda-tanda yang menunjukkan anda mungkin letih seperti sakit-sakit badan, mata terasa penat dan tidak dapat menumpukan perhatian ketika memandu. Jika ini berlaku, berhenti dan berehatlah
* Rancanglah untuk bermalam di sesuatu tempat jika anda dalam perjalanan yang jauh
* Pastikan ubat-ubatan yang anda ambil tidak mempengaruhi keupayaan anda memandu. Dapatkan maklumat lengkap mengenainya daripada doktor atau pegawai farmasi.
(Dipetik dari Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan).

Selamat Hari Raya Aidil fitri

Beberapa amalan menghidupkan malam, pagi raya Aidilfitri

Dalam beberapa hari lagi Ramadan yang mulia akan melabuhkan tirainya yang menandakan berakhirnya kemuliaan bulan ini dan disusuli pula dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri, atau menurut bahasa Arabnya ialah Idul Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah.


Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadan, seseorang itu telah memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan bertadarus al-Quran, bersolat jamaah sama ada solat-solat fardu dan tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.
Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci bagaikan anak-anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah, selagi mana seseorang tidak memelihara fitrah selepas Ramadan, maka tidak mustahil fitrah dirinya terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.

Walau bagaimanapun kejayaan mentarbiahkan diri sebulan pada bulan Ramadan dan berakhir dengan sambutan Aidilfitri, tidak disia-siakan kerana Allah SWT memuliakan mereka dengan hari raya seperti yang diungkapkan-Nya menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."
Sesungguhnya umat Islam merayakan hari raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT, di antaranya solat Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kemuliaan Hari Raya
Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.
Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."
Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.
Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.
Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan. Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:
"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."
Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w.
Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."
Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya:
Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya:
Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.
Zaini Hashim – Harakahdaily

Cermin Diri

Catatan e - mail


Baca jika anda ada masa untuk ALLAH.
Bacalah sehingga habis.

Saya hampir membuang email ini namun saya telah diberi keberkatan untuk membaca terus hingga ke penghujung.

ALLAH , bila saya membaca e-mail ini, saya fikir saya tidak ada masa untuk ini....
Lebih lebih lagi diwaktu kerja.
Kemudian saya tersedar bahawa pemikiran semacam inilah yang ....
Sebenarnya, menimbulkan pelbagai masaalah di dunia ini.
Kita cuba menyimpan ALLAH didalam MASJID pada hari Jumaat......
Mungkin malam JUMAAT?
Dan sewaktu solat MAGHRIB SAJA ?

Kita suka ALLAH pada masa kita sakit....
Dan sudah pasti waktu ada kematian...

Walau bagaimanapun kita tidak ada masa atau ruang untuk ALLAH waktu bekerja atau bermain?
Kerana...Kita merasakan diwaktu itu kita mampu dan sewajarnya mengurus sendiri tanpa bergantung padaNYA.
Semoga ALLAH mengampuni aku kerana menyangka......
Bahawa nun di sana masih ada tempat dan waktu dimana ALLAH bukan lah yang paling utama dalam hidup ku. (nauzubillah)
Kita sepatutnya senantiasa mengenang akan segala yang telah DIA berikan kepada kita.
DIA telah memberikan segala-galanya kepada kita sebelum kita meminta.

RENUNGKANLAH
Sebarkan lah seandaianya ANDA BENAR-BENAR MENGHAYATI!!!

Zainon Othman

Monday, October 08, 2007

Lailatul Qadar

Lailatul Qadar antara kepercayaan Masyarakat Melayu Dengan tuntutan al-Sunnah

Soalan 1: Malam Lailatul Qodar itu jatuh pada hari ke berapa?

Jawab: Di dalam Al-Qur’an tidak diterangkan pada malam ke berapa malam Lailatul Qodar itu jatuh, tetapi di dalam hadits diterangkan bahwa sesungguhnya Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam beri’tikaf pada 10 hari awal di bulan Ramadhan menginginkan malam Lailatul Qodar, kemudian beliau beri’tikaf pada 10 hari pertengahannya dan mengatakan (yang
artinya):
“Sesungguhnya malam Lailatul Qodar itu jatuh pada 10 hari akhir di bulan Ramadhan”. Beliau melihatnya dan beliau sujud di waktu subuh di tempat yang berair bercampur tanah, kemudian pada malam ke-21 di saat beliau i’tikaf, turunlah hujan maka mengalirlah air hujan tersebut pada atap masjid karena masjid Nabi shallallahu alaihi wa sallam terbuat dari anjang-anjang. Beliau menjalankan solat subuh bersama para sahabatnya kemudian beliau sujud. Anas bin Malik berkata: ‘Aku melihat bekas air dan tanah dikeningnya, maka beliau sujud ditempat yang berair bercampur tanah.” (HR. Bukhori no.669 dan 2016, Muslim no.1167, dan 216 dari shohabat Abu Sa’id Al-Khudri).
Hadits di atas menunjukkan bahwa malam Lailatul-Qodar pada saat itu jatuh pada malam yang ke-21. Sedangkan para sahabat Rasulullah melihat dalam mimpi mereka bahwa malam Lailatul-Qodar jatuh pada malam ke 27. (HR. Bukhori no.2015, Muslim no.1165 dari sahabat Abdullah bin ‘Umar ).

Yang sahih dari perbedaan para ulama tentang jatuhnya malam Lailatul-Qodar pada 10 hari terakhir adalah berpindah-pindah pada setiap tahunnya, terkadang pada tahun ini jatuh pada malam yang ke 21, kemudian pada tahun berikutnya jatuh pada malam yang ke 29, 25 atau 24.
Adapun hikmah berpindah-pindahnya malam Lailatul-Qodar supaya orang-orang yang malas menjalankan ibadah, mereka bersemangat untuk menjalankan ibadah pada 10 hari terakhir di bulan Romadhan. Hikmah yang lainnya juga yaitu agar menambah amal shalih seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah.
(Syaikh Utsaimin)

Soalan 2 : Apa alamat/tanda malam Lailatul-Qodar?
Jawab: Lailatul-Qodar mempunyai beberapa alamat/tanda, baik secara langsung (yaitu pada malamnya) maupun setelah terjadi (yaitu pada pagi harinya).
Adapun alamat secara langsung (yaitu pada malamnya) di antaranya:
1. Sinar cahaya sangat kuat pada malam Lailatul-Qodar dibandingkan dengan malam-malam yang lainnya. Tanda ini pada zaman sekarang hanya boleh dirasakan oleh mereka yang tinggal ditempat yang jauh dari cahaya lampu eletrik atau sejenisnya.
2. Bertambah kuatnya cahaya pada malam itu.
3. Thuma’ninah. Yaitu ketenangan dan kelapangan hati yang dirasakan
oleh orang-orang yang beriman lebih kuat dari malam-malam yang yang
lainnya.
4. Angin dalam keadaan tenang pada malam Lailatul-Qodar, tidak berhembus kencang (tidak ada badai) dan tidak ada guntur. Hal ini berdasarkan hadits dari sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya
Rasulullah saw. bersabda (yang artinya): “Sesungguhnya Aku melihat Lailatul-Qodar kemudian dilupakannya, Lailatul-Qodar turun pada 10 akhir (bulan Romadhan) yaitu malam yang terang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak turun hujan”. (HR. Ibnu Khuzaimah no.2190 dan Ibnu Hibban no.3688 dan dishohihkan oleh keduanya).

Kemudian hadits dari sahabat ‘Ubadah bin Shomit sesungguhnya Rasulullah saw. bersabda (yang artinya) “Sesungguhnya alamat Lailatul-Qodar adalah malam yang cerah dan terang seakan-akan nampak didalamnya bulan bersinar terang, tetap dan tenang, tidak dingin dan tidak panas. Haram bagi bintang-bintang melempar pada malam itu sampai waktu subuh. Sesungguhnya termasuk dari tandanya adalah matahari terbit pada pagi harinya dalam keadaan tegak lurus, tidak tersebar sinarnya seperti bulan pada malam purnama, haram bagi syaitan keluar bersamanya (terbitnya matahari) pada hari itu”. (HR. Ahmad 5/324, Al-Haitsamy 3/175 dia berkata : perawinya tsiqoh)

5. Terkadang Allah memperlihatkan malam Lailatul-Qodar kepada seseorang dalam mimpinya. Sebagaimana hal ini terjadi pada diri para sahabat Rasulullah .
6. Kenikmatan beribadah dirasakan oleh seseorang pada malam Lailatul-Qodar lebih tinggi dari malam-malam yang lainnya. Adapun alamat setelah terjadi (yaitu pada pagi harinya) di antaranya: Matahari terbit pada pagi harinya dalam keadaan tidak tersebar sinarnya dan tidak menyilaukan, berbeda dengan hari-hari biasanya.
Hal ini berdasarkan hadits dari sahabat Ubay bin Ka’ab yang mengatakan: “Sesungguhnya Rasulullah saw. mengkhabarkan kepada kami: “Sesungguhnya Matahari terbit pada hari itu dalam keaadaan tidak tersebar sinarnya”. (HR. Muslim no.762, 2/828)

Adapun alamat yang menyebutkan bahwa tidak ada atau sedikit salakan anjing pada malam Lailatul-Qodar adalah tidak benar, karena terkadang dijumpai pada 10 malam terakhir di bulan Romadhan anjing dalam keadaan menyalak.

Berhubung dengan tanda pokok-pokok akan tunduk pada malam itu, itu adalah kepercayaan masyarakat melayu yang tidak mempunyai sandaran yang kukuh daripada al-Qur'an dan juga al-Sunnah. Ia juga bukan bukti menunjukkan berlaku lailatul qadar pada malam itu. Mungkin juga pokok-pokok itu tunduk kerana angkara ribut atau binatang ternakan manusia. Mungkin juga ia merupakan petanda lailatul qadar yanag ditunjukkan oleh Allah kepada orang-orang tertentu sahaja dan tidak kepada semua orang.
Apa yang penting ialah seseorang bersungguh untuk beribadah pada 10 malam terakhir Ramadhan dan Insya' Allah dia pasti akan menemui lailatul qadar itu, walaupun dalam keadaan tidak menyedarinya. Sebenarnya apa yang disebutkan di dalam al-sunnah di atas, lebih wajar diikuti.

article oleh : Syakir Hassan

Monday, October 01, 2007

Hazaimudi Dalam Kenangan Ramadhan


Pihak warga PASTI Kawasan Dungun mengucapkan takziah kepada keluarga terdekat Ustaz Hazaimudi Mat Hassan, AJK PASTI qaryah Kuala Dungun yang terbunuh di tempat kejadian dalam kemalangan ngeri di selekoh Kelulut Marang. Semoga roh beliau diletakkan bersama orang yang soleh.

Kereta yang dipandu beliau telah dirempuh oleh sebuah kereta yang terbabas akibat tidak sempat memotong di selekoh berkenaan.
Jenazah beliau, ibu dan dua anak saudaranya telah sampai ke Surau Taman Rakyat, Gong Pasir Dungun kira-kira jam 2.10 pagi dari Hopital Sultanah Nur Zahirah K. Terengganu. Keluarga dan kenalan serta orang ramai berhimpun di Surau Taman Rakyat sejak jam 10.00 malam menunggu jenazah . Solat jenazah diadakan pada jam 2.40 pagi diimamkan oleh Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, YDP PAS Kawasan Dungun. Kira-kira 250 orang mengerjakan solat Jenazah termasuk Ustaz Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat. Jenazah dikebumikan di Kubur Gong Pasir dan semuanya selesai pada pukul 3.20 pagi.

Terima kasih kepada Jawatankuasa Tabung Khairat Kematian Taman Rakyat yang mengurus Jenazah 2 anak saudaranya dan Pemuda PAS Kawasan Dungun yang mengurus semua perbelajaan untuk pengkebumian beliau dan ibunya.

Hazaimudi Mat Hassan atau lebih dikenali sebagai Mudi di kalangan kawan-kawan rapatnya adalah seorang tenaga pengajar di Sekolah Rendah Bersepadu (Islam) Zainal Abidin. Beliau telah mula mengajar di sekolah berkenaan sejak mula ditubuhkan ( tiga tahun lalu ). Mudi adalah lulusan Diploma Kaunseling dari Kolej Jaipetra Kota Bharu.

Sebelum itu beliau aktif mengajar fardhu ain bagi kanak-kanak di beberapa buah surau antaranya : Surau Padang Jambu, Surau Bunga Raya dan Surau Kubur Kg. Molek. Mudi juga aktif bersama Pemuda PAS sebagai AJK Pemuda PAS Cawangan Padang Jambu dan AJK Pemuda DUN Sura ( Ketua Lajnah Tarbiyyah ) .

Kali terakhir saya sempat bertemu beliau ialah pada hari rabu ( dua hari sebelum kemalangan ) . Mudi datang ke pejabat PASTI bagi mengedarkan pamphlet kemasukan pelajar Sek. Ren. Zainal Abidin sesi 2008. Tiada apa - apa yang luar biasa pada wajahnya. Seperti biasa dengan joke nya yang sedikit mengena. Itu kebiasaan beliau. Saya merasa sedikit terkilan selepas kejadian malang itu kerana semasa beliau datang saya tidak banyak melayan nya kerana sedang asyik melakukan kerja-kerja lain. Menurut sahabat yang sempat bersama beliau pada pagi jumaat, tiada apa yang ganjil pada Mudi. Beliau solat jumaat di masjid Pulau Serai sebelum bertolak ke Manir, K. Terengganu. Namun begitu menurut cerita rakan –rakan guru di Sek Ren Zainal Abidin, pada hari rabu, Mudi pernah mencadangkan untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajarnya pada hari khamis (esoknya). Tetapi guru-guru lain mencadangkan pada hari isnin kerana tidak sempat membuat persiapan. “ Kalau hari isnin dok dang ( tak sempat )”, jawab Mudi. Guru-guru lain tidak faham apa yang di maksudkan . Mungkin Mudi sendiri pun tidak tahu mengapa dia menjawab begitu.
Mudi adalah seorang yang peramah, tetapi tidaklah talkative. Antara hobinya memelihara binatang. Kucing dan burung adalah kegemaranya yang dipelihara di rumahnya di Kg. Binjai Stesen
Semoga roh beliau diletakkan bersama orang yang soleh.



Dalam kenangan, Hazaimudi sedang membuat balingan dalam acara pentonque semasa Sambutan 20 tahun PASTI Kawasan Dungun pada 11 Mei 2007


Empat sekeluarga, satu lain maut nahas tiga kereta

Oleh: IRMAN HASHIM (UM)
MARANG 28 Sept
. – Lima orang termasuk empat sekeluarga dan seorang pengantin baru terbunuh manakala lima yang lain cedera parah dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kereta di Kilometer 24, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berdekatan Kampung Alur Tuman di sini.
Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3.50 petang ketika sebuah kereta Honda Ferio yang dinaiki tiga lelaki yang dikatakan dipandu laju dari arah Kuala Terengganu ke Dungun terbabas ketika melalui satu selekoh.
Kereta itu kemudiannya memasuki laluan bertentangan dan menghentam sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki tujuh sekeluarga sebelum terhenti di tengah-tengah laluan. Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey yang dinaiki enam sekeluarga yang mengekori kereta Proton Wira berkenaan tidak sempat mengelak lalu merempuh Honda Ferio berkenaan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob berkata, mangsa yang terbunuh ialah empat orang yang menaiki kereta Proton Wira iaitu pemandunya, Hazaimudi Mat Hassan, 28, bersama ibunya, Siti Fatimah @ Zainun Yusop, 53, dan dua beradik yang merupakan anak saudaranya iaitu Nurul Nabila Azmi, 10, dan Rabiatul Adawiyah, 3.
Seorang lagi yang meninggal dunia, kata beliau, ialah penumpang belakang kereta Honda Ferio, Mohd. Izzy Akmal, 25, dari Taman Purnama, Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang baru sebulan melangsungkan perkahwinan.
Menurutnya, ketika kejadian Hazaimudi dan anggota keluarganya sedang dalam perjalanan dari Kampung Binjai Stesen, Dungun ke Manir, Kuala Terengganu untuk berbuka puasa di rumah kakak Hazaimudi, Sabrina Mat Hassan, 36, di Kampung Kesom.
Beliau memberitahu, mereka yang cedera parah pula adalah kakak Nurul Nabila, Nurul Shafikah, 12, sepupunya, Zulhilmi Zulkifli, 21, dan bapa saudaranya, Husnu Tajudin, 17. Turut cedera parah ialah pemandu Honda Ferio, Idris Husin, 29, dari Taman Bukit Mentok, Kemaman dan penumpang kereta itu, Fadil Mohd. Nor, 26, dari Manir, Kuala Terengganu manakala enam sekeluarga yang menaiki Honda Odyssey terselamat.
Kesemua jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.
Sementara itu, seorang saksi, Mohd. Shahril Ismail, 24, yang menunggang motosikal di belakang kereta Honda Ferio itu berkata, dia melihat kereta itu memandu dengan laju dan kelihatan sedang berlumba dengan sebuah kereta BMW berwarna perak sebelum kemalangan itu berlaku.
Katanya, apabila tiba di selekoh jalan sebelum tempat kejadian, kereta Honda Ferio terbabas lalu melanggar kereta Proton Wira menyebabkan ia melambung sebelum tersadai di tepi jalan raya. “Kereta Honda Odyssey yang berada di belakang kereta Proton Wira cuba membrek tetapi gagal lalu merempuh kereta Honda Ferio itu,” katanya.