Plan Ramadhan untuk Anak- anak
Abu Hurayrah r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a. telah berkata,
“Ramadan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah swt telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta syaitan dibelenggu. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak bertemu dengannya ia sangat rugi.”
Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i
****************
Saya telah menulis mengenai Ramadan pada 6 Ogos 2008 dengan tajuknya, “Bulan Berkasih”. Ia sebuah artikel yang mengandungi manual ringkas meningkatkan pencapaian diri di bulan Ramadan. Semoga Allah membantu kita.
Kali ini saya mahu berbicara mengenai menyambut Ramadan bersama anak-anak. Menjadi kelaziman masyarakat kita melatih anak-anak berpuasa sekitar usia 6 atau 7 tahun. Mungkin ada yang berpuasa separuh hari dahulu. Kemudian baru ditambah jumlah jamnya dari sehari ke sehari.
Ar-Rabie binti Muawiz menceritakan, “Kami semua berpuasa dan kami juga melatih anak-anak kami berpuasa. Kami sediakan permainan daripada bulu untuk mereka. Apabila salah seorang daripada mereka mahu makan, kami berikan mainan itu sehingga tiba waktu berbuka puasa”.
Kisah ini direkodkan oleh Imam Bukhari.
Daripada kisah di atas, kita dapat tahu bahawa melatih anak kecil berpuasa merupakan rutin umat Islam sejak dahulu.
Kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa tetapi mereka harus dilatih membiasakan diri. Kelak bila usia mereka mencapai baligh, mereka akan dapat menunaikan kewajiban puasa tanpa alasan lagi, insya Allah.
Saya kira setiap orang mempunyai pengalaman dilatih berpuasa oleh ibubapa masing-masing semasa kecil. Tentu banyak kenangan pahit manis praktis puasa. Bermula belajar membaca niat dan meneruskan hari dengan berpuasa.
Niat Puasa- Satu Pengalaman
Malam pertama puasa, adik-beradik saya akan dikumpulkan dan Ma mula mengajar niat puasa sebulan penuh Ramadan.
“Sahaja aku berpuasa sebulan di bulan Ramadan kerana Allah ta’ala”.
Kami pun menurut beramai-ramai secara lisan.
Ma berpesan, “Niat dalam hati juga”.
Saya berkata, “Dalam hati tu kat mana?”
Pada masa itu saya belum faham apa yang dikatakan hati. Saya juga lupa bagaimana Ma menerangkan semula pertanyaan saya itu. Usia saya waktu itu mungkin antara 7 dan 8 tahun.
“Itu niat untuk sebulan. Untuk setiap hari, ada niat lain pula. Ikut Ma baca, sahaja aku puasa esok hari kerana Allah ta’ala”.
Lafaz niat di atas itu adalah bacaan orang dulu-dulu. Sebenarnya niat ialah lintasan dalam hati untuk melakukan sesuatu perkara. Tidak menyebut perkataan ‘sahaja’ di depan pun menjadi niat.
Persediaan Sambutan Ramadan Untuk Kanak-kanak
1. Membuat persiapan dengan membersih rumah dan menghiasinya dengan perkara yang digemari kanak-kanak seperti meniup belon kemudian digantung di bilik-bilik mereka atau di mana-mana ruang yang sesuai seperti di dapur.
2. Menggantung poster-poster menarik yang mengandungi hadis-hadis berkenaan puasa atau foto-foto yang boleh dikaitkan dengan puasa.
Dua perkara di atas merupakan usaha mewujudkan suasana meriah dan gembira bagi kanak-kanak. Juga makluman untuk mereka bahawa kita sedang berada di ambang Ramadan, bulan yang sangat diberkati. Moga ruh merasa gembira dengan kedatangan Ramadan itu dapat terus subur sehingga mereka dewasa.
3. Sediakan permainan yang boleh melalaikan mereka dari mengingati makan dan minum.
4. Mengadakan perjumpaan keluarga untuk diberi tazkirah dan menambah ilmu. Waktu yang baik dan sesuai ialah selepas Subuh dan selepas Maghrib. Jika tidak dapat buat setiap hari, lakukan 3 atau 4 kali seminggu dan lain-lain.
Seelok-eloknya bapa yang bercakap kepada ahli keluarga. Perlakuan ini disandarkan kepada sikap Luqman al-Hakim yang kisahnya dimasyhurkan al-Quran. Ia memberi petunjuk bahawa percakapan bapa memberi kesan yang mendalam kepada isteri dan anak-anak. Adalah salah jika si bapa hanya mengharapkan isteri yang menasihati atau mengajar anak-anak.
Teladan para nabi dan rasul juga menunjukkan bahawa sebagai pemimpin rumahtangga dan pemimpin ummah, kaum lelaki harus menyediakan ruang berbicara dengan ahli keluarga serta mengajar mereka. Kata-kata yang lahir dari jiwa suami dan bapa mempunyai kesan psikologi yang besar apabila dinyatakan secara hikmah.
Jika didapati isteri dan anak-anak sukar mendengar kata, selidik terlebih dahulu sejauh mana taqwa kita kepada Allah. Mungkin kita menderhakai Allah di belakang anak isteri seperti mata yang liar memandang perempuan lain, suka bercakap perkara lagha, tidak menjaga batas pergaulan, tidak menjaga hati ibubapa, mencari rezeki yang syubhah atau haram dan lain-lain lagi.
5. Beri perhatian kepada anak-anak perempuan yang hampir baligh. Ajar mereka fiqh berkaitan puasa.
6. Mewujudkan taman al-Quran di bulan Ramadan. Caranya ialah menganjurkan anak-anak yang sudah pandai membaca al-Quran untuk membacanya setiap hari.
Bagi anak-anak yang belum pandai, ajak mereka duduk sekali dengan kita agar mereka dapat mendengar bacaan kita atau bacaan dari adik-beradiknya yang lain.
7. Memberi sedikit huraian mengenai ayat-ayat yang telah dibaca. Pilih topik yang mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka.
8. Mengajak anak-anak menghafaz surah-surah tertentu seperti surah al-Mulk dan sebagainya. Untuk Ramadan seterusnya, boleh ditambah dengan hafazan surah-surah lain pula.
9. Meminta anak-anak menghafaz doa tertentu dan meminta mereka membaca doa. Kemudian doa itu diaminkan oleh ahli keluarga yang lain.
10. Biasakan anak-anak menderma di bulan Ramadan. Untuk itu, perbelanjaan sekolah perlu juga diberi biarpun mereka berpuasa. Kalau tidak diberi penuh seperti hari biasa, memberi separuh perbelanjaan pun dikira memadai. Latih mereka berjimat cermat. Sebahagian perbelanjaan disimpan dan sebahagian lagi didermakan. Ceritakan kepada mereka kisah-kisah motivasi tentang kelebihan orang yang suka bersedekah.
11. Sama-sama menunaikan solat terawih dan fardu Subuh berjemaah. Beri perhatian pada solat 5 waktu agar ditunaikan dengan lebih baik.
12. Beri kefahaman kepada anak lelaki dan perempuan bahawa berpuasa tidak akan sempurna tanpa diiringi akhlak yang baik.
13. Jika anak-anak suka menonton televisyen, maka pantaulah cerita yang ditontonnya. Beri garis panduan mengenai kisah-kisah yang baik ditonton dan yang tidak baik.
14. Beri perhatian lebih pada anak-anak yang meningkat remaja. Perbaiki hubungan dengan mereka. Beri penghormatan atas kelebihan mereka dan beri kepercayaan pada sikap amanah mereka. Jadikan mereka sebagai kawan. Bersikap empati dan memberi sepenuh perhatian terhadap luahan hati mereka. Zahirkan kasih sayang pada mereka dan nasihati kesilapan mereka dengan lemah lembut.
15. Akhir sekali, mohon pertolongan Allah agar memudahkan kita mendidik anak-anak serta diberikan hidayah untuk ahli keluarga.
Rujukan:
Rumah Kami di Bulan Ramadan oleh Dr Abdul Wahid al-Wakil
Ummu Abbas
20 Syaaban 1430