Tujuh kaedah mendidik anak cemerlang - Dr. Fadzillah Kamsah.
Menurut Dr. Fadzillah Kamsah didalam bukunya yang
bertajuk 21 kaedah mendidik anak cemerlang, kemahiran dalam mendidik anak-anak
adalah berlainan antara ibubapa-ibubapa lain. Ini kerana ilmu keibubapaan
merupakan ilmu yang tiada sukatan pelajaran. Ianya merupakan salah satu ilmu
kemahioran yang patut dimiliki oleh ibubapa seperti ilmu kewangan, ilmu
rumahtangga atau ilmu keagamaan.
Namun demikian, Dr. Fadzillah ada menggariskan
tujuh kaedah dalam mendidik anak-anak menjadi anak yang berjaya dan cemerlang
dalam hidup.
Tujuh kaedah tersebut adalah seperti berikut :
1. Kaedah pesanan dan arahan
Kaedah ini merupakan salah satu daripada kaedah
yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Biasakan mendidik anak-anak dengan
dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Selepas itu boleh dilihat bagaimana reaksi
mereka. Apakah dengan sekali pesanan atau arahan mereka boleh melakukannya atau
perlu dipesan berkali-kali barulah pesanan dan arahan itu dapat diikuti. Sudah
pastinya ibubapa hendaklah memberi arahan dan pesanan berulang kali tanpa
merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak
yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka
benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk
pesanan dan arahan kepada anak-anak :
- Mengenai solat di awal waktu
- Adab dengan orang tua-tua
- Adab dengan guru
- Adab dengan kawan-kawan
- Tugas harian di rumah
- Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
- Tatacara makan mengikut sunnah nabi
- Cara belajar yang berkesan
- Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
- Keselamatan jalan raya
- Tanggungjawab melindungi adik-adik.
2. Kaedah bercerita
Kaedah
bercerita boleh menguatkan lagi hubungan anak-anak dengan ibu bapa. Ibubapa
boleh bercerita tentang pelbagai kisah motivasi terutamanya kisah-kisah teladan
daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah supaya
anak-anak secara tidak langsung dapat dididik melalui pemahamam minda bawah
sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh
dicungkil daripada cerita tersebut, Selain daripada itu, ianya dapat mengerat
dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, yang mana anak-anak boleh
menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas tentang apa yang diceritakan
dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.
3. Kaedah soal jawab
Kaedah ke-3 dalam mendidik anak cemerlang ialah
dengan bersoal jawab. Bersoaljawab dengan anak dapat menggerakkan minda mereka.
Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu
mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah
ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan
tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.
Ibu bapa seboleh-bolehnya hendaklah berusaha
menjawab semua persoalan yang diutarakan oleh anak-anak. Seandainya ibu bapa
tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak
atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan
atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir
dalam bidangnya.
Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang
bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini.
Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak
yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anak yang
cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi
untuk menjadi anak cemerlang.
4. Kaedah merujuk kenangan lalu
Kaedah ini bermaksud samada kenangan suka duka,
pahit manis yang di perolehi sepanjang kehidupan ini. Pengalaman yang positif
diambil sebagai teladan, manakala pengalaman yang negatif pula dijadikan
sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan
peninggalan yang terlibat supaya ianya lebih mudah untuk menjelaskan mesej yang
ingin kita sampaikan. Sekiranya mesej yang ingin disampaikan itu dapat difahami
maka mudah pula dijadikan iktibar oleh anak-anak. Selain itu pengalaman dari
anak-anak itu sendiri juga penting. Ibubapa boleh mengaitkan apa pengajaran dan
mengapa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit yang telah mereka
alami atau teladan dari peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.
5. Kaedah nasihat dan teguran
Kaedah ini tidak boleh dilakukan setiap hari atau
masa untuk mengelakkan rasa jemu dan bosan pada anak-anak. Nasihat dan teguran
kepada anak-anak hendaklah diberi dalam hal yang berkaitan dengan akidah,
ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Ketika
mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak-anak hendaklah dilatih
supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.Kaedah ini sangat penting dan
ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan yang mana pesanan dan arahan perlu
dibuat setiap hari.
6. Kaedah bermain dan bergurau
Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda
bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah
untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun
bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati
mereka.
Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira
dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang
baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau
berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.
Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan
anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain
dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika
tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan
berlakunya sumbang mahram.
7. Kaedah latihan yang berterusan
Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal
dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita
memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah
latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-
a. Jantina
Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak
sesuai dengan jantinanya seperti tuga yang berat dan kasar diagihkan kepada
anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih
ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah
jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan
oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian,
melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.
b. Usia
Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut
usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab
yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka
meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.
Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada
anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan
berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.
Semoga perkongsian ini dapat memanfaatkan semua ibubapa dan semoga anak-anak yang dididik menjadi anak yang soleh dan cemerlang dunia dan akhirat. InsyaAllah...
Semoga perkongsian ini dapat memanfaatkan semua ibubapa dan semoga anak-anak yang dididik menjadi anak yang soleh dan cemerlang dunia dan akhirat. InsyaAllah...
Sumber: Majalah Wanita November 2005 - 7 Kaedah
Mendidik Anak Cemerlang oleh Noraishah Ismail
Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google
Gambar : Carian Google