Monday, September 10, 2007

Solat dan Khilafah

Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya akan runtuhlah (putus) tali simpulan Islam satu demi satu. Maka setiap kali putus tali yang satu, manusia akan bergantung (berpegang) dengan tali berikutnya. Maka yang pertama runtuh ialah hukum Islam (perundangan Islam) dan terakhir ialah solat.(HR Ahmad)

Sesungguhnya, benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. itu jelas kita rasai sekarang. Permulaanya dengan keruntuhan hukum Islam ataupun perundangan Islam pada 23 Disember 1876,Turki didalang oleh Midhat Pasha ( Perdana Menteri Turki ), kemudian sistem pemerintahan Islam ( Khilafah ) pada 3 Mac 1924 oleh Kamal Atartuk . Dan sekarang ini kita menuju keruntuhan hukum-hukum syarak yang lainnya, selangkah demi selangkah dan yang terakhirnya ialah SOLAT.

Umat Islam sekarang sedang merungkai ikatan Islam yang terakhir iaitu solat. Fenomena tidak bersembahyang bukan lagi sesuatu yang asing. Bukan sahaja golongan muda dan remaja yang tidak bersembahyang bahkan orang dewasa juga ramai yang tidak solat.
Mendirikan sembahyang berhubung kait dengan biah ( persekitaran ), masyarakat dan negara. Suasana yang ada pada hari ini tidak mendorong rakyat mendirikan sembahyang. Seruan dan ajakan kepada bersembahyang terlalu lemah berbanding godaan dan bisikkan supaya mengabaikan sembahyang. Walau pun seruan azan berkumandang di mana-mana di seluruh pelusuk negara, tetapi umat Islam yang menyahut dan ke masjid terlalu sedikit. Bilangan yang solat di rumah juga tidak ramai. Ini adalah kerana panggilan duniawi terlalu kuat dan magnetik.
Gejala tidak sembahyang ini betambah parah apabila kerajaan sendiri menganjurkan dan membenarkan pelbagai program yang menjauhkan masyarakat daripada sembahyang.
Hiburan yang terlalu banyak dan diberi tempat yang istimewa sehingga menusuk ke jantung hati rakyat. Kerajaan juga begitu bersungguh – sungguh dengan program sukan tanpa solat. Mereka yang menjadi juara, diangap wira negara tonggak kecemerlangan dan terbilang berbanding seorang guru yang mendidik anak bangsa mengenal jatidiri serta kebenaran dan kebatilan. Maka lahirlah golongan remaja yang hatinya kosong daripada solat. Program pendidikan , pembnaguna dan ekonimoi serta sosila yang dibangunkan tanpa solat.

Masyarakat sentiasa disogokkan oleh kerajaan dengan pembangunan , kemajuan dan kehidupan serba mewah. Media massa menggambarkan seolah-olah negara serba maju dan gemilang. Semua kemajuan dan kemewahan perlu dibayar oleh rakyat. Cukai , kenaikan harga minyak dan barangan keperluan benar-benar mendesak rakyat supaya memaksimakan masa mereka dengan berkerja bagi mencukupkan keperluan. Masa yang sepatutnya diluang untuk ibadat, keluarga dan pendidikan telah diragut oleh pekerjaan bagi memenuhi keperluan hidup. Realiti masyarakat bandar keluar ke tempat kerja sebelum subuh dan pulang selepas isya adalah lumrah. Manakala masyarakat kampung dan pekan kecil terpaksa mempunyai dua pekerjaan bagi kecukupan hidup. Pelajar –pelajar juga menghambat waktu. Pagi ke sekolah, waktu petang pula kelas tambahan dan malamnya bergelut dengan tution kerana memenuhi keinginan ibubapa dan pihak sekolah untuk mencapai kelulusan cemerlang dalam peperiksaan.
Walaupun masa mendirikan solat sangat pendek, lebih kurang lima hingga sepuluh minit sahaja, tetapi apabila seluruh perhatian, akal, hati dan perasaan ditumpukan kepada perkara lain maka umat Islam akan lalai daripada solat.
Firman Allah bemaksud.
Orang-orang yang kami berikan kuasa ( pemerintah ) di atas muka bumi, mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan bagi Allah sahajalah kembali segala urusan ( Al Haj - 41 )

Pemerintah bukan sahaja mendirikan sembahyang secara peribadi bahkan hendaklah menyuruh rakyatnya bersembahyang dengan kuasanya. Kerajaan sepatutnya mengawal tumpuan rakyat supaya seimbang antara duniawi dan ukhrawi. Segala sistem , perundangan, dan nilai sosial mestilah menjurus kepada keharmonian dan keseimbangan jasadiah dan ruhiyyah. Konsep menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran hendaklah disuburkan. Diantaranya ialah menyediakan suasana masyarakat yang kondusif terhadap solat.
Bukan sahaja sekadar menyediakan tempat sembahyang yang selesa bahkan rakyat perlu sentiasa disuburkan dengan jiwa cintakan solat. Pendidikan dan pelaksanaan sembahyang hendaklah diberi keutamaam dalam kurikulum sekolah. Masyarakat perlu dipupuk supaya mencintai ilmu. Peranan institusi pendidikan samaada formal atau tidak perlu dilebarkan. Konsep menjadi pelajar sepanjang hayat mesti dijana oleh kerajaan. Masyarakat yang madani yang maju adala masyarakat berilmu.
Kempen mendirikan solat perlu dilebarkan melalui media massa utama. Ini akan memberi kesedaran Islam kepada yang lalai. Peranan mengajak rakyat mendirrikan sembahyang tidak harus tertentu kepada ustaz, imam dan bilal sahaja, bahkan merata kepada setiap anggota masyarakat. Peniaga dan pedagang berperanan di pasar dan kedai. Pemimpin masyarakat perlu menyeru setiap anggota masyarakat kampung dan bandar. Pegawai mengerahkan setiap kakitanganya dan mereka yang dibawah pengaruhnya bersama-sama mendirikan solat. Ibubapa pula sentiasa menyuruh keluarganya mendirikan solat sebagaimana firman Allah:
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya dia adalah benar menepati janji dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. Dan adalah dia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan dia pula adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya! - S. Maryam ( 54 & 55 )

Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. - S. Taha 132

Jika semuanya berperanan maka akan lahirlah kerajaan dan rakyat yang mendirikan solat sebagaimana yang diperintahkan Allah.
Segala perkara mungkar dan elemen yang melalaikan umat daripada solat dan kebajikan hendaklah dilenyapkan. Kerajaan hendaklah mengawal dan menghalang program hiburan melulu dan lain-lain agenda yang tidak menjurus kepada pembangunan modal insan soleh. Semua puast-pusat maksiat yang menjauhkan umat daripada solat hendaklah ditutup. Media massa dan internet perlu ditapis dan dikawal dari bahan-bahan yang merosakkan aqidah, akhlaq dan minda. Dadah, arak dan yang seumpamanya perlu dibasmi ke akar umbi. Budaya ‘tidak apa’ dengan kejahilan perlu diperbetulkan semula.

Dalam hukum perundangan Islam, apabila seseorang individu muslim yang meninggalkan solat, kerajaan hendaklah mengenakan hukum takzir dan disuruh mendirikan solat. Jika ia masih enggan, dipenjara sehingga satu tempoh yang ditetapkan oleh hakim dan jika ia masih enggan maka dihukum bunuh. Demikian menurut perundangan mazhab Shafie. Manakala mazhab –mazhab lain sependapat dihukum bunuh dan sebahagiannya dihukum bunuh kerana dianggap telah murtad ( selepas disuruh bertaubat ).

Maka, individu muslim tentu saja tidak berani meninggalkan solat. Bahkan masyarakat juga akan menjaga anggota ahlinya agar tidak meninggalkan solat.
Sedangkan perundangan Islam hanya akan terlaksana dengan tertegaknya sistem pemerintahan Islam-KHILAFAH. Tanpa Sistem Khilafah, semua hukum –hukum Islam menjadi sia-sia dan tali ikatan ajaran Islam akan terputus satu demi satu. Akhirnya tali solat pun terputus…

Tuesday, September 04, 2007

Hari Komuniti PASTI Al Mawaddah

PASTI Al Mawaddah qaryah Alor Tembesu, Dungun telah mengadakan Hari Komuniti pada 10 Ogos 2007 yang lalu. Program ini dianjurkan bersama dengan PAS Cawangan Alor Tembesu dan Pemuda DUN Sura. Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Dungun turut memeriahkan progam tersebut dengan mengadakan demonstrasi memadam kebakaran. Agensi Dadah Kebangsaan ( ADK ) turut mengadakan pameran pencegahan salah guna dadah kepada para pengunjung. Manakala pihak Pejabat Kesihatan Daerah Dungun mengadakan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk setempat. Majlis perasmian Hari Komuniti telah disempurnakan oleh Ust. Wan Hassan Mohd Ramli selaku YDP PAS Kawasan Dungun.
Program Hari Komuniti mendapat sambutan meriah penduduk Alor Tembesu dengan kehadiran semua golongan dan lapisan masyarakat. Lebih dari 20 acara sukaneka dan pertandingan telah dijalankan. Selain itu, acara cabutan bertuah dan teka bilangan kacang turut menarik perhatian pengunjung dengan hadiah utama, sebuah basikal. Wartawan Sinar Harian kawasan timur telah hadir sama membuat liputan.



Seorang pengunjung mencuba memadamkan api dengan pengawasan anggota Bomba


Pameran Agensi Dadah Kebangsaan



Acara kanak-kanak


Pemenang acara masakan kuih berasaskan ubi


Wooooo...banyak nye hadiah. Mintak satu!


Tarik!!!... Erg... Teh tarik satu!

Monday, September 03, 2007

5000 Kanak-Kanak Gaza Kurang Zat

Tindakan Israel jejas mutu kehidupan Palestin

GAZA : 3 Sept 2007 . Kanak-kanak yang menderita kekurangan zat akan berdepan masalah kesihatan serius jika krisis di Gaza berterusan, kata pakar kesihatan kepada agensi berita The Media Line. Pengarah klinik perubatan Ard El-Insan di Bandar Raya Gaza, Dr Itedal Al-Khatib, berkata beribu-ribu kanak-kanak di Semenanjung Gaza menderita kekurangan zat makanan meruncing. “Kami berdepan banyak waktu sukar tetapi inilah yang terburuk dalam sejarah 23 tahun perkhidmatan kami,” katanya. Lebih 5,000 kanak-kanak didaftarkan dengan pusat itu dan dikelaskan sebagai kekurangan zat, disebabkan kurang makan, kemiskinan atau ibu kurang berpendidikan, katanya.

Pusat itu merawat kanak-kanak dengan membekalkan makanan, makanan tambahan, susu formula khas dan ubat. “Kini, disebabkan masalah penutupan sempadan, kami kekurangan ubat, tepung tanpa kaji, susu dan formula khas. Sempadan ditutup dan kami tidak menerima bahan itu dari seberang,” katanya.

Israel menutup lintasan utama dengan Gaza selepas Hamas mengambil alih Semenanjung Gaza Jun lalu. Lintasan Karni, lintasan kargo utama di antara Israel dan Semenanjung Gaza, sebahagiannya ditutup buat masa ini kerana penyelarasan keselamatan terlalu sukar. Terdapat laluan terhad untuk makanan di satu kawasan di Karni yang membabitkan risiko keselamatan. Dua lintasan lain, Sufa dan Kerem Shalom, dibuka. Jurucakap tentera Israel di Gaza berkata tentera memudahkan pengangkutan bekalan makanan dan ubat ke Semenanjung Gaza menerusi laluan itu.

Bagaimanapun, Dr Itedal berkata jumlah tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan kelewatan selalu berlaku di sempadan. Akibatnya, kanak-kanak tidak bertambah berat badan dan pusat itu semakin kehabisan stok kecemasan. Dalam sesetengah kes, ibu turut mengalami kekurangan zat, katanya. Jika keadaan berterusan, pusat itu mungkin ditutup.
Ard Al-Insan ialah pertubuhan bukan kerajaan yang tidak bermotifkan politik dan terbuka kepada sesiapa saja, kata Dr Itedal. “Kanak-kanak yang dirawat tidak akan selamat tanpa bantuan. Keluarga mereka juga mengubah jenis makanan dan mengurangkan hidangan untuk anak mereka. “Jadi, di sini kami menerima lebih ramai kanak-kanak yang kurang zat dan lebih banyak krisis di Gaza,” katanya. – Agensi

Sumber : Berita Harian Online

Sunday, September 02, 2007

Sukan PASTI Rembau

Buat julung-julung kalinya PASTI di kawasan Rembau Selatan telah mengadakan Kejohanan Sukan Tahunan pada 1 September 2007 yang lalu di padang Kg Pulau Hanyut, Chengkau, Negeri Sembilan.Kejohanan yang pertama kali diadakan di Rembau Selatan ini telah disertai oleh PASTI Al Amin dari Chengkau dan PASTI As Sobirin dari Chembong telah dirasmikan oleh Tn Hj Mohd Taufek bin Hj Abd Ghani, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan.

Dalam ucapan perasmiannya Hj Taufek mengucapkan setinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sukan tahunan tersebut. Beliau menegaskan betapa pentingnya anak-anak diberi pendedahan awal pendidikan Islam dalam menghadapi dunia yang penuh mencabar sekarang ini. Masalah gejala sosial yang teruk melanda umat Islam terutamanya orang Melayu sekarang ini menurut beliau menunjukkan walaupun negara sudah 50 tahun merdeka ianya menunjukkan kegagalan sistem pembangunan insan yang sedia ada yang hanya mementingkan pembangunan infrastruktur.
Lebih daripada 10 acara telah dipertandingkan dalam sukan tahunan pada kali ini. Kejohanan pada kali ini turut dimeriahkan dengan acara untuk ibu bapa dan orang ramai.Dalam pada itu Sdr Hussaini Pengurus PASTI Kawasan Rembau mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan tersebut antara En Nordin Pengurus PASTI As Sobirin, Tn Hj Ahmad Ariffin Pengurus PASTI Al Amin, En Sufian Ibrahim Pengarah Unit Amal Negeri Sembilan serta guru-guru, ibu bapa, ahli Unit Amal serta penduduk Kg Pulau Hanyut.

Saturday, August 25, 2007

Disebalik Permainan

Catatan dari e- mail

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!" Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.
Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai, dan ketika "keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..."
"Baiklah, permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan. "Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah , bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain. Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet .
"Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya... Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang...Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar. "Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..."
"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... " "Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sadar". "Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan pikiran masing-masing di kepalanya...
Renungilah sahabat semua... Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita dan keluarga. Marilah kita sama-sama sedar bahawa agama bangsa dan tanahair kita semakin terancam ! Umat Islam semakin mudah dibeli dengan wang ringgit , dilalaikan dengan keindahan dan memuja keseronokan hidup, hingga hilang maruah dan harga diri! Justeru itu marilah kita betulkan apa yang termampu bersama-sama. Usah biarkan hingga segala-galanya sudah terlambat seperti apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di negara lain, barulah kesedaran itu timbul. Mungkin masih belum terlambat tetapi kita sudah terlalu lewat untuk merubah dan memperbaiki kerosakan umat .
Y a Allah satukanlah umat Islam dengan ajaran Mu . Amiiin...
Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, tolonglah sebarkan melalui email atau cara lain ke pada sahabat2 Islam kita yang lain. Semoga yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan..ALLAHU AKHBAR!!!!

Wednesday, August 22, 2007

Perasmian 3 Buah PASTI

Kemaman - Tiga buah PASTI yang ditubuhkan pada January 2007 di DUN Kemasik telah sempurna dirasmikan oleh YB Dato Seri Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang ( Presiden PAS ) pada 18 Ogos 2007. Majlis itu telah diadakan di PASTI Ar Rahman , Kg. Baru Kerteh. Turut sama dalam ceramah perasmian pada malam itu ialah Ust. Nasarudin Tantawi ( Timb. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ) dan Hj. Ismail Harun ( YDP PAS Kawasan Kemaman ) .
Pada sebelah siangnya pelbagai acara telah diadakan bagi memeriahkan majlis perasmian itu. Antaranya sukaneka , pertandingan mewarna kanak-kanak, jamuan rakyat, acara muslimat pameran & jualan dan lain-lain.
PASTI Ar Rahman Kg. Baru Kerteh, PASTI Al Munawwarah Pengkalan Ranggon dan PASTI As Syakirin Batu Putih Kerteh adalah tiga buah PASTI yang baru ditubuhkan itu. Ini menjadikan jumlah PASTI di Kawasan Kemaman sekarang adalah 26 buah.

Tuesday, August 21, 2007

Peranan Guru

Masyarakat yang berilmu meletakkan guru atau pendidik sebagai insan yang mulia dan berjasa kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik manusia bagi melahirkan generasi muslim yang beriman dan beramal soleh serta sanggup melaksanakan tugas terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru dalam sejarah hidupnya sentiasa menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup bekorban dan melakukan apa sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan orang lain. Firman Allah taala di dalam Al-Quran :


يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت

Maksudnya:“Supaya Allah taala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah Al-Mujaadalah: Ayat 11)

Peranan guru adalah luas. Guru adalah pendidik, pembimbing dan pendorong. Dia juga penyampai ilmu, penggerak dan penasihat. Ini bermaksud, guru atau pendidik mempunyai tugas dan tanggungjawab yang mencabar.

Dalam Islam terdapat 4 martabat guru atau pendidik iaitu:

1- Mudarris : yang bermaksud guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja.

2- Mu’allim : yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain.

3- Mursyid : yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar.

4- Murabbi : yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didik mereka menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Sesungguhnya peranan pendidik bukanlah terhad kepada kaum guru sahaja tetapi juga kepada ibubapa, tok guru, tok imam, tok bilal dan siapa sahaja yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka adalah pendidik. Ini bermakna kita semua adalah pendidik.

Peranan guru dalam mendidik masyarakat amatlah besar dan luas. Antaranya ialah:

1- Menyampai aqidah dan keimanan yang tulen untuk menghidupkan hati dan menghubungkan manusia dengan Allah, meyakinkan pertemuan dengan Allah, mengharapkan rahmatNya dan takutkan siksaanNya.

2- Menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardhu ain dan fardhu kifayah yang menjadi asas ubudiyah (pengabdian diri kepada Allah), hubungan harmoni sesama manusia dan alam.

3- Membentuk akhlak atau peribadi mulia supaya menjadi contoh tauladan kepada orang lain.

Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menghayati nasihat Luqman Al-Hakim sebagaimana yang digambarkan oleh Al-Quran:

يبنى أقم الصلوة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ماأصابك إن ذلك من عزم الأمور

Maksudnya:“Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)

Pada hari ini ada orang menganggap tugas mendidik tiada kaitan dengan peranan dan tanggungjawab kita. Jika tanggapan ini berterusan, kita bimbang penyakit sosial yang melanda remaja Islam hari ini semakin parah.
Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:

كلكم راع وكلكم مسؤل عن رعيت
Maksudnya:“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Untuk mengelakkan gejala sosial daripada merebak dan terus melanda masyarakat kita, maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab ibubapa dan mereka yang bertanggungjawab di kampung atau di bandar khususnya Wakil Rakyat, Pemerintah dan Kerajaan sama-sama mengembeleng tenaga dengan memberi perhatian utama terhadap pendidikan anak-anak dan para remaja. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum Ad-Diin menjelaskan supaya kita mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak, dengan mengajar Al-Quran, Hadis-hadis Nabi Sollallahu `alaihi wasallam, sejarah para Sahabat RA dan para Solehin, hukum-hukum agama dan termasuk juga pendidikan jasmani.

Antara perkara asas yang mesti diberi perhatian dan penekanan ialah:

1- Mendidik anak dan remaja menunaikan solat secara berterusan. Sabda Rasulullah Sollallahu `alaihi wasallam:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا فى المضاجع
Maksudnya: “ Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka mencapai umur 7 tahun dan pukullah mereka apabila mereka mencapai umur 10 tahun serta pisahkan di antara mereka tempat tidur ”.( Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Berkata Sayyidina Ali Karramallahu wajhah:
علموا أولادكم وأهليكم الخير وأدبوهم

Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu dan ahli rumahtanggamu kebaikan dan perbaikilah adab sopan mereka ”.

2- Mempamerkan tingkah laku dan tauladan yang baik.
Firman Allah taala:
لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah taala dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (di dalam masa Sedih dan Senang)”. (Surah Al-Ahzab:Ayat 21)

Marilah kita sama-sama berusaha menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat yang beriman, berilmu dan berketerampilan, yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Masyarakat yang ingin kita bina ialah masyarakat yang berwawasan, bercita-cita luhur dan murni, bekerjasama, adil dan bertanggungjawab sesama insan tanpa mengira bangsa, budaya dan keturunan.
Bagi mencapai matlamat murni ini, marilah kita semua bersatu dan mengambil tanggungjawab sebagai guru bagi menyokong setiap aktiviti dan program pendidikan. Apabila ini telah dilaksanakan bermakna kita telah sama-sama menyokong serta memartabatkan profesyen keguruan, sekaligus melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar.
Oleh Mohd Azizul Hisham