5000 Kanak-Kanak Gaza Kurang Zat
Tindakan Israel jejas mutu kehidupan Palestin
GAZA : 3 Sept 2007 . Kanak-kanak yang menderita kekurangan zat akan berdepan masalah kesihatan serius jika krisis di Gaza berterusan, kata pakar kesihatan kepada agensi berita The Media Line. Pengarah klinik perubatan Ard El-Insan di Bandar Raya Gaza, Dr Itedal Al-Khatib, berkata beribu-ribu kanak-kanak di Semenanjung Gaza menderita kekurangan zat makanan meruncing. “Kami berdepan banyak waktu sukar tetapi inilah yang terburuk dalam sejarah 23 tahun perkhidmatan kami,” katanya. Lebih 5,000 kanak-kanak didaftarkan dengan pusat itu dan dikelaskan sebagai kekurangan zat, disebabkan kurang makan, kemiskinan atau ibu kurang berpendidikan, katanya.
Pusat itu merawat kanak-kanak dengan membekalkan makanan, makanan tambahan, susu formula khas dan ubat. “Kini, disebabkan masalah penutupan sempadan, kami kekurangan ubat, tepung tanpa kaji, susu dan formula khas. Sempadan ditutup dan kami tidak menerima bahan itu dari seberang,” katanya.
Israel menutup lintasan utama dengan Gaza selepas Hamas mengambil alih Semenanjung Gaza Jun lalu. Lintasan Karni, lintasan kargo utama di antara Israel dan Semenanjung Gaza, sebahagiannya ditutup buat masa ini kerana penyelarasan keselamatan terlalu sukar. Terdapat laluan terhad untuk makanan di satu kawasan di Karni yang membabitkan risiko keselamatan. Dua lintasan lain, Sufa dan Kerem Shalom, dibuka. Jurucakap tentera Israel di Gaza berkata tentera memudahkan pengangkutan bekalan makanan dan ubat ke Semenanjung Gaza menerusi laluan itu.
Bagaimanapun, Dr Itedal berkata jumlah tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan kelewatan selalu berlaku di sempadan. Akibatnya, kanak-kanak tidak bertambah berat badan dan pusat itu semakin kehabisan stok kecemasan. Dalam sesetengah kes, ibu turut mengalami kekurangan zat, katanya. Jika keadaan berterusan, pusat itu mungkin ditutup.
Ard Al-Insan ialah pertubuhan bukan kerajaan yang tidak bermotifkan politik dan terbuka kepada sesiapa saja, kata Dr Itedal. “Kanak-kanak yang dirawat tidak akan selamat tanpa bantuan. Keluarga mereka juga mengubah jenis makanan dan mengurangkan hidangan untuk anak mereka. “Jadi, di sini kami menerima lebih ramai kanak-kanak yang kurang zat dan lebih banyak krisis di Gaza,” katanya. – Agensi
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment