Friday, December 15, 2006

STESEN TV INDONESIA HENTIKAN RANCANGAN SMACK DOWN


JAKARTA: Siaran program gusti popular ’Smackdown’ dihentikan sebuah stesen televisyen Indonesia selepas timbul kontroversi ekoran kematian dua kanak-kanak dan tujuh lagi cedera, yang dikatakan akibat tindakan rakan sebaya mangsa meniru aksi ahli gusti profesional.Keputusan itu diambil berikutan tekanan selama berminggu-minggu daripada ibu bapa dan pendidik yang menyalahkan program itu kerana dikatakan mempengaruhi kanak-kanak berkelakuan ganas.Seorang kakitangan stesen TV berkenaan dipetik akhbar online thejakartapost semalam sebagai berkata, tayangan Smackdown ditamatkan bagi mengelak kontroversi yang menyemarak, bukan disebabkan syarikat berkenaan mengakui ‘pertalian’ antara kematian kanak-kanak itu dengan program yang disiarkannya.Menurut rekod persatuan bagi Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan (NACP), mangsa yang meninggal dunia membabitkan seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun di Bandung pada 16 November lalu dan seorang lagi berumur lima tahun di Ciputat.Antara yang cedera pula ialah anak lelaki seorang wakil rakyat wilayah di Balikpapan. Mangsa yang berumur tujuh tahun, dikatakan dihentak tiga rakan sedarjahnya yang lebih besar ketika sedang membaca buku dalam kelas, mengakibatkan paha kanannya patah, tulang paha teranjak kira-kira lima milimeter dan tulang bahunya terkehel.Dalam kejadian lain, seorang pelajar Tingkatan Satu di Kendari dimasukkan ke hospital akibat kecederaan teruk selepas dijadikan sasaran rakan sekelas yang menerajangnya dari belakang, menendang dan duduk di atas dadanya dan secara berterusan serta tanpa belas kasihan menghentak kepalanya di atas lantai simen.Sambil menggesa stesen TV menghentikan segera program berkenaan, seorang bapa saudara mangsa, yang dipetik agensi berita Antara, percaya anak saudaranya dibelasah rakan sedarjahnya yang mendapat pengaruh buruk program itu yang disiarkan berterusan empat jam selama enam malam setiap minggu.Kebimbangan itu turut disuarakan seorang ulama Cirebon, Syariff Muhammd Syech, yang membidas Smackdown serta menggesa agar siaran program itu ditarik balik.Beliau juga mahu polis membuat serbuan dan merampas semua CD serta VCD Smackdown yang dijual dengan meluas.Pakar motivasi terkemuka, Abdullah Gymnastiar juga menggesa stesen TV yang berhadapan saingan sengit untuk rating serta pendapatan daripada iklan, supaya menimbangkan kesan negatif program yang tidak mendidik seperti itu.Malah bekas ahli gusti antarabangsa Indonesia, Dimas Suyono, 29, yang lebih popular dengan panggilan “Indonesian Commando” percaya program itu perlu dihentikan segera sebelum mengakibatkan lebih banyak kesan buruk dan lebih ramai kanak-kanak menjadi korban.Setiausaha Agung NACP Arist Merdeka Sirait berkata banyak kanak-kanak yang menjadi ketagih untuk menonton Smackdown yang membawa kesan buruk kepada mereka dengan aksi ganas sehinggakan seorang kanak-kanak kecil pun tahu bagaimana untuk membunuh rakannya.

INFO Rancangan gusti di Malaysia
WWE Smackdown - TV3
WWE RAW – Astro Super Sport (saluran 80)
TNA Xplotion – Star Sports (saluran 82)

Sumber : Pemuda Wilayah

No comments: