Tuesday, February 27, 2007

RESEPI BUBUR ASYURA PASTI KUALA PAKA

PASTI At Tajdid Kuala Paka telah mengadakan majlis Kacau Bubur Asyura pada 17 Feb 2007 manakala PASTI An Nurin qaryah Pinang Merah pada 19 Feb 2007.

Berikut ialah resepi Bubur Asyura PASTI Kuala Paka
( Untuk 1 kawah )

Bahan asas
5 kg beras
4 kg kacang hijau
1 kg kacang merah
1 kg jagung segar
5 kg ubi keledek

4 kg daging atau 4 ekor ayam atau 10 kg ikan

Bahan rempah
1 kg rempah bubur asyura
0.5 kg kerisik
2 kg bawang merah
4 labu bawang putih
0.5 kg halia
1 in lengkuas
20 btg serai
3 sudu halba
0.5 kg bawang goring

10 kpg besar manisan kelapa
3 kg gula
4 genggam garam kasar
4 kg santan pekat

Rendam kacang hijau dan kacang merah semalaman

Masak beras hingga masak hancur (pecah beras) .
Masukkan kacang hijau dan kacang merah serta jagung dan ubi.
Masak sehingga semuanya empuk.
Masukkan daging atau ayam atau ikan
Masak lagi sehingga daging atau ayam atai ikan masak.
Masukkan semua rempah asyura dan lain-lain bahan di atas .
Masak hingga sebati
Masukkan manisan kelapa dan gula .
Masukkan santan dan garam
Masak dan kacau hingga pekat

Masa yang diperlukan untuk masak bubur asyura lebih kurang 7 jam





kacau bubur Asyura

MAJLIS KACAU BUBUR ASYURA

Pada 10 Feb. 2007 PASTI An Nur qaryah Batu Tujuh telah mengadakan majlis Kacau Bubur Asyura yang merupakan acara tahunan PASTI berkenaan . Turut sama bergotong royong ibubapa pelajar dan pelajar-pelajar Politeknik berhampiran.










PASTI Nur Hidayah qaryah Kg. Baru Kuala Abang telah mengadakan program Kacau Bubur Asyura pada 3 Feb 2007. Bubur asyura telah dibahagi-bahagikan kepada penduduk setempat.

Monday, February 19, 2007

HIJRAH UMMU SALAMAH

Hijrah adalah satu perjalaan yang sukar . Marilah meneliti kisah Ummu Salamah yang menyayat hati terpaksa berpisah dengan keluarga dan anaknya. Nama sebenarnya ialah Hindun dari Bani Makzum yang sangat dihormati. Suaminya Abdullah bin Abdul Asad dan adalah di antara orang yang awal memeluk Islam. Ummu Salamah menceritakan…

Apabila Abu Salamah ( suami ku ) bercadang untuk berhijrah ke Madinah, dia menyediakan untuk ku seekor unta dan meletakkan anak kami Salamah di pangkuan ku. Kami terus bertolak dengan tidak berlengah, tanpa menunggu sesiapa.
Belumpun kami keluar dari kota Makkah , beberapa orang lelaki dari kaum ku menahan kami dan menghalang aku dari berhijrah bersama suami ku. Mereka memukul suami ku dan menarik aku daripadanya. Apabila kaum suami ku Banu Abdul Asad melihat, mereka merampas pula anakku Salamah dari ku dan mendakwa Salamah adalah milik mereka. Setelah beberapa ketika aku merasa sangat sunyi dan sedih yang mendalam. Suami ku meneruskan perjalanan ke Madinah, anak ku diambil oleh kaumnya dan kaum ku memaksa aku supaya tinggal bersama mereka.
Selepas peristiwa itu, setiap waktu tengahari aku ke lembah tempat kejadian mengenangkan peristwa yang menyayat hati itu sehingga waktu tengah malam. Hampir satu tahun keadaan ku begitu, sehinggalah seorang lelaki dari Bani Umayyah melihat keadaan ku . Ia berjumpa kaum ku dan memujuk mereka . “ Mengapa kamu tidak membebaskan perempuan yang malang itu, kamu telah menyebabkan ia berpisah dari suaminya dan anaknya pula dirampas dari pangkuan nya. Akhirnya kaum ku mengatakan kepada ku . “ Pergilah berjumpa suami mu jika kamu mahu.”
Tetapi bagaimana aku akan ke Madinah sedangkan satu-satunya darah dagingku Salamah masih di Makkah bersama dengan Banu Abdul Asad. Bagaimana aku dapat berhijrah dan menahan air mata ku dari mengingati anak ku dan aku tidak tahu apa yang berlaku kepadanya di Makkah . Beberapa orang menyedari akan perasaan ku, dan mereka merayu bagi pihak ku kepada Bani Abdul Asad supaya memulangkan anakku.
Saya tidak tahu bagaimana hendak meninggalkan Makkah sehingga saya berjumpa seorang penunjuk jalan untuk berhijrah. Dan aku bimbang sesuatu akan berlaku sehingga menyebabkan aku terlengah atau terhalang ke Madinah dan berjumpa suami ku. Selepas mendapatkan anakku kembali aku tidak berlengah lagi terus mendapatkan unta dan menuju ke Madinah.
Apabila sampai di Tanim ( 3 km dari Makkah ), aku berjumpa Uthman bin Talhah (dia adalah penjaga Kaabah dan masih belum islam).
"Mahu ke mana wahai Bint Zad Ar Rakib (gelaran kepada ayah Ummu Salamah)" . Dia bertanya.
"Aku mahu berhijrah ke Madinah tempat suami ku". Jawab ku.
"Dan tiada sesiapa bersama mu." Soalnya kehairanan.
"Demi Allah tidak , kecuali Allah dan anak ku." Tegas ku.
"Demi Allah aku tidak akan membiarkan mu sehingga kamu sampai di Madinah".
Kemudian dia mengambil tali untaku dan menundanya . Demi Allah aku tidak pernah berjumpa seorang Arab yang sangat baik hati dan jujur sepertinya. Apabila sampai di tempat berehat dia akan memerendahkan unta dan menunggu sehingga aku turun, kemudian ia membawa unta ketempat yang ada rumput . Dia pergi berehat di bawah naungan pokok yang lain. Setelah hilang penat dia membawa unta dan bersedia untuk meneruskan perjalanan. Uthman melakukan begitu setiap hari sehingga sampai di Madinah .
Apabila tiba di sebuah kampong berhampiran Quba ( dua km dari Madinah) milik Banu Amr ibn Auf, dia berkata , “ Suami mu berada di kampong ini. Masuklah dengan rahmat Allah “
Di Quba, Ummu Salamah bertemu suaminya tercinta , Abu Sallamah.
Uthman bin Talhah kembali semula ke Makkah.

Tuesday, February 13, 2007


Post kali ini mencari kelainan. Masak dan makan.

RESEPI DONUT PASTI

Bahan-bahan:

500 gm tepung gandum

500 gm tepung roti ( tepung gandum berprotin tinggi )

17 gm yis segera mauripan (1.5 paket)

1 1/2 cawan air

2 cawan susu tepung

2 biji telur

1 cawan majerin

3 sudu besar gula

1 sudu kecil garam


Bahan tambahan
(Jika anda suka, boleh ditambah bahan berikut untuk kelainan rasa )

300 gm tauhu ( tauhu lembut yang biasa dimakan dengan manisan ). Lumatkan tauhu .
atau
5 biji ubi kentang (rebus dan lecek hingga lumat )

Tauhu dan ubi kentang akan membuatkan donut lebih lembut. Untuk rasa tersendiri masing-masing, jangan dicampurkan kedua-duanya sekali gus dalam satu resepi . Tapi boleh try.



Cara membuat:

Gaulkan tepung gandum & tepung roti, yis dan susu tepung. Larutkan gula dlm air dan masukkan bersama telur , majerin dan tauhu atau kentang lecek. Gaul sehingga sebati dan akhir sekali masukkan garam yang telah dilarut dalam air. Uli sehingga menjadi dough. Jika dough keras masukkan air sedikit –sedikit. Untuk mempastikan dough itu elok , uli sehingga tidak melekat pada tangan.
( Dough yang diuli dengan baik akan menghasilkan donut yang lembut )
Rehatkan dough dan tutup dengan kain lembap. Biarkan sehingga dough naik dua kali ganda. Uli sekali lagi dan canai adunan setebal 1.5 cm – 2 cm ( size donut yang anda suka ) dan terapkan dengan acuan donut . Biarkan sehingga donut naik dua kali ganda ( lebih kurang 30 minit ) . Goreng dalam minyak yang panas. Sejatkan dan gaul dengan gula.
Jika anda suka letakkan topping coklat atau strawberry.
Selain menggoreng, donut juga boleh dimasak dengan membakar di dalam oven.


Selamat mencuba.





Jika anda membuat donut untuk dijual, anda perlu mengurangkan kos. Gunakan tepung gandum biasa sahaja, jangan masukkan telur dan sudah tentu bahan tambahan serta lakukan sedikit ubah suai pada resepi ini. Walau bagaimana pun anda perlu menjadikan donut anda mempunya rasa tersendiri. Mana tahu anda akan menjadi jutawan donut. Tidak mustahil, lihat Donut Dunkin dijual diseluruh dunia. Bagi sesiapa yang pernah makan Donut Dunkin pasti tidak akan menemui apa keistimewanya.



Friday, February 09, 2007

penyakit depresi

SELAMATKAN ANAK-ANAK DARIPADA PENYAKIT DEPRESI

Oleh: DR. TAM CAI LIAN
(Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Tunku Abdul Rahman Kampus Petaling Jaya, Selangor)

“CIKGU, tolonglah saya. Saya rasa nak mati sahaja. Kebelakangan ini saya tidak dapat belajar, tidak dapat tidur. Kehidupan sudah tidak bererti!”. Begitulah keluhan dan aduan daripada seorang murid atau pelajar kepada gurunya.Bagi mereka yang profesionnya ialah guru, kaunselor, pensyarah, pakar psikologi ataupun pekerja sosial, pasti pernah menerima aduan yang sama. Dalam kebanyakan kes, pelajar sebenarnya menghadapi masalah depresi (kemurungan). Keadaan sedemikian menjadi agak lumrah terutama sekali ketika pelajar menghadapi peperiksaan. Apatah lagi dengan harapan yang menggunung tinggi daripada ibu bapa. Sejak di bangku sekolah rendah, anak murid telah disemai dengan ajaran bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa depan yang gemilang. Mereka belajar bermati-matian dengan harapan untuk memperoleh bilangan A yang maksimum.

Namun hakikatnya, sistem pendidikan kita yang terlalu menekankan keputusan peperiksaan telah menimbulkan kecelaruan emosi di kalangan pelajar.Ramai di antara mereka disyaki telah menghidap penyakit depresi akibat tekanan daripada ibu bapa dan juga guru sekolah. Contohnya, menurut laporan Persatuan Pakar Psikiatri Malaysia pada tahun 2005, hampir 2,500 orang membunuh diri setiap tahun dan kebanyakan daripada mereka menghidap penyakit mental. Selain itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon turut menyatakan bahawa terdapat tujuh orang rakyat Malaysia yang mengidap penyakit mental setiap hari.
Apabila seseorang menghidap penyakit depresi, adakah terdapat tanda-tanda yang signifikan? Menurut Coyne, 2,000, kecelaruan emosi merupakan kecelaruan psikologikal yang menghasilkan gangguan emosi. Gangguan emosi ini berterusan sehingga menjejaskan kognitif dan tingkah laku individu tersebut serta menghadapi kesukaran dalam mengendalikan skil interpersonalnya.

Secara keseluruhan, kecelaruan emosi terbahagi kepada dua iaitu kecelaruan depresif (depressive disorder) dan kecelaruan bipolar (bipolar disorder).Pernah berlakunya kes di sekolah menengah yang mana keadaannya adalah seperti berikut:Susan berasa murung untuk beberapa bulan secara berterusan. Tidak ada apa-apa perkara istimewa yang boleh menggembirakan jiwanya. Menurut aduannya: “Saya tidak dapat melakukan apa-apa. Otak saya kosong, namun berasa amat letih dan tidak bermaya. “Peperiksaan SPM sudah menjelang tiba, saya cuba membaca, tapi tumpuan saya hanya hinggap di muka surat yang sama. Saya tidak dapat ingat dan rasa amat kecewa.” Selepas menjalani beberapa sesi kaunseling dengan kaunselor di sekolahnya, tiba-tiba Susan telah lenyap dari sekolah. Satu perkara yang amat menyedihkan telah berlaku. Pelajar ini telah dimasukkan ke hospital pusat pakar psikiatri dalam keadaan kritikal. Beliau menangis, menjerit dan membaling barang- barang y ang tercapai oleh tangannya ketika menerima rawatan. Selepas diagnosis yang rapi daripada pakar psikologi, Susan disahkan menghidap penyakit depresi yang kronik iaitu kecelaruan depresi major. Menurut kajian, seseorang disahkan menghidap depresi major sekiranya menghadapi tanda-tanda seperti berasa murung, letih dan kecewa, sekurang-kurangnya untuk dua minggu berterusan. Selain itu, aktiviti hariannya turut terjejas.
Penyakit depresi merupakan penyakit yang lumrah di negara-negara maju dan membangun seperti Amerika Syarikat (AS). Hampir 9.9 juta rakyat AS yang umurnya dalam lingkungan 18 hingga 54 tahun menghidap penyakit depresi (NIMH, 2001).Kebelakangan ini, Malaysia turut memperlihatkan suatu gejala yang mana kadar penyakit depresi akan naik khususnya di kalangan pelajar baik sekolah rendah, menengah ataupun pusat pengajian tinggi. Keadaan sedemikian harus diambil perhatian yang serius supaya tidak menular menjadi satu penyakit yang mengancam. Terdapat sembilan tanda signifikan menunjukkan seseorang telah menghidap penyakit depresi. Seandainya seseorang individu itu memperlihatkan lima daripada tanda-tanda di bawah untuk dua minggu berterusan, maka dia dianggap menghidap penyakit depresi major.
1. Berasa murung hampir setiap hari.
2. Minat atau perasaan gembira terhadap aktiviti merosot.
3. Berat badan menyusut secara signifikan dan tiada selera makan.
4. Menghadapi masalah untuk tidur atau tidak dapat tidur langsung.
5. Gangguan dalam gerakan badan atau psikomotor.
6. Berasa letih dan tidak bermaya.
7. Berasa tidak bernilai dan bersalah atas tingkah lakunya.
8. Menghadapi masalah untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.
9. Sentiasa membayangkan kematian dan ingin membunuh diri.

Tanda-tanda di atas harus dijadikan sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengesan sama ada anak mereka telah diserang penyakit depresi. Di Malaysia, ramai di kalangan ibu bapa terlalu menekan dan menaruh harapan tinggi tetapi tidak realistik atas anak mereka, khususnya di kalangan masyarakat Cina. Sejak di sekolah rendah, murid-murid sudah diasuh agar berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.Menurut fahaman pelajar, bilangan A yang banyak adalah satu-satunya cara untuk menimbulkan perasaan megah di hati ibu bapa. Anak-anak kerdil ini berlumba-lumba untuk memperoleh seberapa A yang boleh untuk menggembirakan ibu bapa mereka. Anak-anak ini sentiasa sibuk dengan tuisyen, latihan rumah yang bertimbun-timbun dan jarang mempunyai masa untuk berehat atau mempraktikkan hobi mereka.
Penulis pernah melihat ramai di antara anak-anak ini menangis, mengadu berasa amat khuatir dan tidak dapat fokus terhadap pelajaran terutamanya sewaktu peperiksaan. Saya berasa amat kasihan kepada anak-anak di sekolah rendah ini. Mereka tidak berpeluang untuk bermain, berehat dengan cukup dan menenangkan fikiran. Zaman kanak-kanaknya berlalu begitu sahaja. Cara pendidikan yang terlalu mengutamakan pencapaian akademik sebenarnya perlu dirombak. Sistem sedemikian tidak seimbang dan gagal melahirkan generasi muda yang kreatif dan dinamik.
Depresi mempengaruhi sistem imum seseorang terhadap penyakit dengan kebarangkalian pesakit sedemikian menghidap penyakit jantung adalah dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang normal. Penyelidikan pakar psikologi menunjukkan seseorang yang pernah menghidap penyakit depresi major menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan asal ataupun pulih sepenuhnya. Dari segi umur pula, ramai yang berpendapat bahawa golongan umur pertengahan iaitu orang dewasa dan golongan tua lebih kerap menghidap penyakit depresi. Bagaimanapun, anggapan ini ternyata silap. Kajian menunjukkan bahawa penyakit depresi paling kerap menyerang golongan perempuan yang berada dalam lingkungan umur 15 ke 19 tahun dan golongan lelaki pula dalam lingkungan 25 hingga 29 tahun.
Individu yang menghadapi masalah depresi mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membunuh diri. Ramai pesakit wanita mempunyai niat membunuh diri namun pesakit lelaki pula bukan sahaja mempunyai niat, tetapi sering kali menjayakannya.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyelamatkan anak-anak mereka daripada diserang penyakit depresi. Mereka harus bersifat autoritatif dalam mendidik anak-anak, iaitu membimbing mereka secara terbuka serta memberi peluang kepada anak untuk menyuarakan pendapat.Kehidupan keluarga yang porak peranda dan sentiasa menekan anak belajar tanpa rehat harus dielakkan. Sebaliknya, kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan mengambil berat kepentingan berkomunikasi, boleh mengurangkan kadar anak daripada serangan penyakit depresi. Seandainya seseorang anak masih diserang penyakit depresi kerana faktor genetik dan daya tahannya yang lemah, maka mereka haruslah diberikan rawatan perubatan. Melalui terapi seperti mengambil antidepresan dan khidmat kaunseling dari semasa ke semasa, pesakit akan dapat mengawal dirinya.
Pada hakikatnya, anak-anak harus digalakkan belajar melalui permainan, bergaul, melahirkan pendapat dan hidup dalam suasana yang sihat dan gembira. Ramai ibu bapa tidak sedar bahawa seseorang yang menghidap depresi adalah amat sukar untuk sembuh. Mereka terpaksa berhenti sekolah, berehat dan menerima rawatan hospital. Tekanan yang berterusan hanya akan menambah tenat dan memburukkan lagi penyakit, sekali gus cenderung menyebabkannya insiden membunuh diri.
Jadi, penulis ingin menyeru ibu bapa, guru dan semua pendidik dari pelbagai lapisan agar merenung secara mendalam. Haruskah kita mengubah sikap yang begitu menekankan pencapaian akademik sehingga mengorbankan anak-anak? Ambillah langkah-langkah yang positif untuk menyelamatkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi sasaran penyakit depresi. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Wednesday, February 07, 2007

HIJRAH DAN KANAK-KANAK

Bagaimana ibubapa dapat menerangkan pengajaran hijrah kepada anak-anak.

Ibubapa boleh memilih beberapa kisah dari peristiwa hijrah yang dapat merangsang mereka supaya cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan Islam. seperti kisah Saidina Ali kw.
Saidina Ali yang masih muda pada waktu itu sanggup berkorban dan berani mempertahankan Islam dengan tidur di tempat Rasulullah s.a.w. untuk mengelirukan orang-orang Mekah yang hendak membunuh Nabi.s.a.w. Bayangkan Ali tidur di tempat yang paling merbahaya .
Sy. Ali juga ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w. supaya mengembalikan barang-barang yang diamanahkan kepada Nabi s.a.w. ,ketika orang- orang Mekah sedang memburu untuk membunuh Nabi s.a.w. Saidina. Ali sanggup dan berani menjalankan tugas yang bahaya itu.
Anak-anak dididik supaya menjadi orang yang sanggup berkorban dan berani mempertahankan Islam

Asma bt. Abu Bakar seorang muslimah yang cekal dalam menolong Rasulullah s.a.w dengan membekalkan mereka dengan makanan sehingga ia digelar Pemilik dua tali pinggang.
Anak-anak juga perlu diasuh supaya sentiasa berkerja untuk membantu dakwah Islam sebagaimana Asma

Lain-lain pengajaran


  1. Para sahabat berhijrah ke Madinah dengan meninggalkan tanah air (Mekah) , rumah keluarga dan harta sebagai satu tanda kepatuhan dan pengorbanan mereka untuk Islam.
    Anak-anak perlu ditanam sikap sanggup berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri .

  2. Perjalanan hijrah penuh dengan perancangan rapi, seperti berjalan menuju ke gua Thur di selatan Mekah, tidak ke arah Madinah di utara. Asma bt. Abu Bakar menghantar makanan secara sulit dan Abdullah anak Saidina Abu Bakar menjadi penyampai berita kepada Rasulullah s.a.w. mengenai pergerakan penduduk Mekah dalam memburu Rasulullah s.a.w.
    Anak-anak perlu dilatih supaya teliti dalam melakukan sesuatu perkara, berfikiran tajam dan berperancangan jauh.

  3. Rasulullah s.a.w menggunakan orang musrik Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan. Ini bukan bererti Rasulullah s.a.w redha dengan kekafirannya.
    Anak-anak perlu diberitahu bahawa tidak salah bergaul dengan orang-orang bukan Islam Di samping itu mereka perlu dilatih bagaimana untuk menerangkan Islam kepada kawan-kawan mereka yang belum Islam.

Friday, February 02, 2007

PASTI TERENGGANU BANTU PASTI JOHOR



PASTI di seluruh negeri Terengganu diarahkan mengutip sumbangan dari qaryah masing-masing untuk disalurkan kepada PASTI-PASTI negeri Johor yang dilanda musibah banjir. Banyak kerosakan dilaporkan berlaku terutama kepada peralatan PASTI dan buku-buku serta bangunan. PASTI-PASTI yang terletak dalam daerah Batu Pahat paling banyak mengalami kerugian apabila banjir kali kedua melanda.

Sementara itu PASTI Kawasan Dungun turut mengutip derma di masjid-masjid dan surau. Derma dari orang ramai akan disalurkan terus ke PASTI Johor

PASTI Pusat beri bantuan kepada PASTI di Johor yang terjejas akibat banjir



Kelihatan beberapa pimpinan tertinggi PASTI Pusat dan Negeri Johor menyampaikan sumbangan kepada salah satu PASTI Cawangan yang ditenggelami oleh air setelah banjir besar kedua berlaku di Johor. Mereka telah melawat beberapa PASTI yang terlibat di Johor pada hari ini (21 Januari)
sumber : Pemuda Pusat