Aqidah Islamiah - Teras Keluarga Bahagia ( 2 )
6. Perkahwinan adalah fitrah.
Islam adalah agama fitrah. Fitrah bermaksud sifat semulajadi yang menjadi sistem alam semesta menurut kebijaksaan Allah tuhan pencipta, tuhan sekelian alam. Kehidupan ini akan terus waras dan sejahtera selama mana ia tidak terkeluar dari fitrah ini. Allah berfirman;
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ . سورة الروم : 30
"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. "
Perkahwinan adalah tuntutan fitrah. Kaum lelaki berhajat kepada isteri yang menjadi teman hidup, begitu juga kaum hawa memerlukan suami sebagai penaung hidup mereka. Islam mengiktiraf keinginan dan keperluan ini. Berbeza dengan kristian yang menganjurkan hidup kependitaan yang tidak membenarkan perkahwinan. Allah swt menempelak cara hidup ini dan menganggapnya sebagai bid’ah ( rekaan semata-mata).
Allah swt berfirman : وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِم (سورة الحديد : 27)
Dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah;
Maka perkahwianan adalah amalan nabi-nabi. Firman Allah swt;
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلاً مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً . سورة الرعد : 38
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan
Sabda Rasulullah saw;
قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم " أربع من سنن المرسلين: التعطر والنكاح والسواك والحناء " رواه أحمد
Bermaksud : “ Empat perkara menjadi sunnah ( cara hidup ) para rasul ; memakai bauan wangi, berkahwin, menggosok gigi dan memakai inai “
7. Perkahwinan adalah sunnah.
Sunnah bermaksud jalan atau cara yang menjadi pusaka peninggalan Rasulullah saw. Lawannya bid’ah iaitu cara hidup beragama yang direka dan diada-adakan berlainan dari yang diajar Nabi saw. Perkahwinan menjadi sunnah Rasulullah saw; qauliyyah dan fi’liyyah. Ini bermakna Nabi saw menganjurkan perkahwinan dengan perkataan dan perbuatan baginda saw.
Sabda Rasulullah saw :
(( يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء )) متفق عليه .
Maksudnya: Wahai para pemuda! Sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu, maka hendaklah dia berkahwin. Ini lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak berkemampuan maka mestilah dia berpuasa kerana puasa itu adalah benteng baginya.
Dari Anas menceritakan: Tiga orang lelaki yang datang bertanyakan seorang isteri Rasulullah saw tentang ibadat yang menjadi amalan nabi saw. Apabila mendengarnya mereka seolah-olah memperkecilkan ibadat baginda saw.Mereka berkata: “Siapalah kita berbanding Rasulullah saw.Allah telah mengampunkan segala yang dilakukanya yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Lelaki pertama berkata : Aku bersembahyang malam tanpa tidur, lelaki kedua berkata : Aku berpuasa tanpa berbuka, lelaki ketiga berkata : Aku meninggalkan kaum wanita. Sesampainya berita mereka bertiga kepada baginda saw, baginda menghinpunkan sahabatnya lalu berucap :
"إنّي لأخشاكم لله وأتقاكم له، لكنّي أصوم وأفطر، وأصلّي وأرقد، وأتزوَّج النساء، فمن رَغِبَ عن سنَّتي فليس منيِّ"
“ Akulah manusia yang paling takutkan Allah, namun aku sembahyang malam dan juga tidur, aku berpuasa dan juga berbuka, aku mengahwini perempuan. Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku bukanlah dia dari kalanganku.” Riwayat al Bukhari dan Muslim.
8. Perkahwinan dan maqasid syariah.
Islam membawa peraturan kepada umat manusia bertujuan menjaga kemaslahatan hidup mereka. Terdapat lima matlamat utama syariat Islam yang disebut al kuliyyat al khamsah; iaitu memelihara agama,nyawa,harta,akal dan juga keturunan ( maruah ).
Islam memandang manusia dengan penuh kemulian dan penghormatan. Justeru zuriat keturunan mereka mestilah terpelihara nasabnya dengan cara yang bermaruah. Dari sinilah lahirnya syariat perkahwinan dan segala hukum kekeluargaan. Dari sini jualah muncul larangan keras Islam bagi pelakuan zina demi memelihara zuriat manusia dari tercemar dan maruah mereka dari tergadai.
Article kiriman Syakir Hassan
No comments:
Post a Comment