Saturday, May 19, 2007

Aqidah Islamiah - Teras Keluarga Bahagia ( 3 )

9. Memelihara Aqidah melalui perkahwinan.
Kekeluargaan sebenarnya benteng dan kubu dalam memelihara aqidah. Ini terbukti dari sejarah pemeliharan akidah yang berlaku di sepanjang zaman.
1.Kisah Nabi Luth.
Nabi Luth yang diuji dengan isteri yang masih kafir, pernah mengharapkan jika dia mempunyai keluarga yang boleh yanh menjadi benteng kepada akidah Islam.
قَالَ لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ . سورة هود : 80
"Nabi Lut berkata: Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu). "

2.Kisah Nabi Ibrahim.
Nabi Ibrahim as hanya menjadi bapa ketika tuanya. Nabi Ibrahim a.s berhijrah meninggalkan ibubapa dan kaum keluarganya, kampung halaman dan negeri asalnya kerana kekufuran mereka setelah lama berda’wah mengajak mereka ke jalan Allah. Baginda a.s kesunyian kerana tidak mempunyai anak dan bimbang pula tiada pewaris kepada perjuangannya. Lalu memohon dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh yang boleh mewarisi agama dan perjuangannya. Allah mengurniakan kepada baginda ketika tuanya Ishak dan Ismail a.s.al Quran menceritakan ;
وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ ( 99 ) رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ ( 100 ) فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ ( 101 ) فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ( 102 ) سورة الصافات
"Dan Nabi Ibrahim pula berkata: Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar)." (99)
"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak dari kalangan orang-orang yang soleh! " (100)
"Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar."(101)
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar." (102)

Demikianlah Allah mengurniakan kepada baginda anak yang benar-benar mewarisi agama, keyakinan dan perjuangannya dengan penuh taat kepada perintah Allah hingga sanggup menjadi korban sembelihan kerana menunaikan perintah Allah.
Lebih dari itu, Nabi Ibrahim memohon supaya semua zuriat keturunannya menjadi pemimpin orang beriman.
وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لاَ يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ ( 124 ) البقرة .
"Dan (ingatlah), ketika Nabi ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimat (suruhan dan larangan), maka Nabi ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."

Ketika meninggalkan isteri dan anaknya di wadi kontang ( Mekah ), baginda berdoa semoga zuriat baginda dipelihara Allah agar mereka berbakti kepada Allah dan dimurahkan rezki.
رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ الصَّلاَةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ ( 37 ) رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ وَمَا يَخْفَى عَلَى اللّهِ مِن شَيْءٍ فَي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاء ( 38 ) الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاء (39 ) رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء ( 40 ) سورة إبراهيم
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, supaya mereka mendirikan sembahyang. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan semoga mereka bersyukur." (37)
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah" (38)
"Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan. " (39)
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku"

Ibrahim memberi wasiat kepada anak-anaknya supaya menjaga agama.
وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلاَ تَمُوتُنَّ إَلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ . سورة البقرة : 132
"Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam. "

3.Kisah Nabi Zakaria.
Demikian juga Nabi Zakaria a.s yang mahukan anak untuk menghidupkan suasana Islam dan ketaatan di dalam keluarganya, yang hidup melakukan kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah dengan khusyu’nya. Allah swt mengurniakan kepadanya Yahya, seorang sangat taat berbakti.
وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ (89) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ (90) سورة الأنبياء
"Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi. (89)
Maka Kami perkenankan doanya dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. " (90)

10. Rumusan.
Setelah mengikuti perbahasan di atas dapat disimpulkan perkara berikut;
1. Menghargai nikmat Islam dan Iman melalui penghayatan dalam semua lapangan hidup.
2. Kewajipan memahami kesempurnaan akidah dan tuntutannya supaya ianya berperanan dan memberi kesan perubahan dalam kehidupan.
3. Membina rumahtangga di atas asas ketaqwaan kepada Allah adalah tapak yang kukuh bagi menjamin kesejahteraan di dunia dan akhirat.
4. Jadikanlah rumahtangga sebagai tapak semaian yang subur bagi cetusan keimanan kita kepada Allah swt.
5. Tauladanilah kehidupan nabi-nabi dan para solihin dalam menjalani kehidupan berumahtangga.
6. Terimalah syariat perkahwinan ini sebagai anugerah agama fitrah dan sunnah nabi yang membawa rahmah.
7. Ketahuilah melalui perkahwinan kita telah melaksanakan satu tugasan syariah yang besar iaitu menjaga zuriat dan maruah manusiawi.
Semoga Allah memberkati ilmu dan amal kita semua.Amin.

Article kiriman Syakir Hassan

No comments: