Tarbiyyah Anak-Anak ( 2 )
3. TEKNIK YANG MENYERONOKKAN, BUKAN YANG MENAKUTKAN
Setiap ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan menggunakan kaedah galakan yang menyeronokkan kerana:
a) Perintah Allah SWT supaya mengajak secara bijaksana
Firman Allah SWT:
اُدعُ إلى سبيل ربك بالحكمةِ والموعظةِ الحسَنة
Maksudnya: “Serulah ke jalan tuhanmu dengan berhikmah dan bijaksana serta nasihat yang baik”. ( An-Nahl:125 )
b) Saranan Rasulullah SAW supaya berlembut dalam semua perkara.
Rasulullah SAW pernah menyebutkan, sabda baginda yang maksudnya:
(( فإن الرفق لم يكن في شيء قط إلا زانه ولا نزع من شيء إلا شانه )) .رواه ابن حبان في صحيحه .
“Sifat lemah lembut jika ada pada sesuatu maka indahlah ia, jika sifat itu tiada padanya maka rosaklah ia”
(( إن الله تبارك وتعالى رفيق يحب الرفق يرضى به ويعين عليه ما لا يعين على العنف )). رواه
مالك في الموطأ .
c) Supaya kanak-kanak sukakan pelajaran dan ilmu pengetahuan.
Matlamat utama kita mendidik mereka ialah supaya mereka suka kepada pelajaran dan ilmu pengetahuan, jika diguna pendekatan yang menyakiti dan menakutkan mereka, hasilnya nanti sudah tentu kebencian di hati mereka. Apabila mereka mula mencintai pelajaran dan ilmu pengetahuan, maka perasaan cinta itu akan meresap ke lubuk hati dan jiwa mereka sehingga mengalir ke dalam darah dan tubuh, sekaligus mereka akhirnya merasa suka, seronok dan mudah untuk belajar. Jika kaedah yang digunakan amat menakutkan, perkara sebaliknya akan berlaku.
d) Sifat rahmat ( belas kasihan ) dikasihi al Rahman ( Tuhan yang maha pengasih )
Galakan yang menyeronokkan lahir dari hati yang ada rahmat (belas kasihan). Rasulullah SAW telah berpesan yang bermaksud: “ Orang yang penyayang akan disayangi oleh tuhan yang maha penyayang” juga baginda menyebut yang bermaksud: “ Sayangilah kamu kepada makhluk di bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh tuhan yang ada di langit ( kedudukan tuhan yang maha tinggi )”. Oleh itu kita hendaklah berpegang kepada prinsip belas kasihan dan penyayang dalam mendidik mereka.
d) Supaya kanak-kanak belajar bukan kerana rasa takut
Kaedah yang menakutkan boleh menimbulkan rasa takut pada si kecil. Jika mereka merasa takut sudah tentu mereka tidak belajar kecuali bila berhadapan dengan kita, ini bertentangan dengan cara kita mendidik mereka supaya bertaqwa kepada Allah di mana sahaja mereka berada, samada ketika dilihat oleh manusia atau pun tidak. Natijahnya akibat rasa takut dan tertekan akan menimbulkan konflik dalam jiwa mereka.
Kaedah yang menakutkan tidak membuahkan hasil yang kita inginkan, malahan membuatkan mereka mencari alasan untuk menolak dan tidak melakukan apa yang disuruh. Ingatlah bahawa seseorang yang suka kepada seseorang, akan dituruti segala suruhan orang yang disukainya.
4. KAEDAH MEMBERI NASIHAT YANG BERKESAN.
Hubungan ibubapa dan anak-anak dapat dibahagikan kepada beberapa tahap [1] ;
i. Tahap 7 tahun pertama ( 1-7 tahun ) : anak-anak perlu didekati, dibelai dan ditunjukkan kasih sayang.
ii. Tahap 7 tahun kedua ( 14-21 tahun ) : ibubapa mendidik dan melatih anak mengenai tanggungjawab agama seperti solat sebagai persiapan umur baligh.
iii. Tahap 7 tahun ketiga ( 14-21 tahun ) : mendekati mereka sebagai kawan, kenali apa yang tersirat dalam hatinya serta masalah hidupnya.
iv. Tahap 7 tahun keempat ( 21 tahun ke atas ) : Mereka dijadikan rakan berbincang. Mereka harus diiktiraf sebagai orang dewasa.
Pakar kaunseling ada mencadangkan 8 masa untuk memberi nasihat yang berkesan. Masa ini dianggap jitu, tepat dan benar kerana ketika itu gelombang alfa banyak ke otak anak kita.
1. Sebelum tidur : lafazkan kata-kata positif untuk anak-anak. Ada ibubapa marahkan anak sebelum tidur menyebabkan anak mengeluh hingga terbawa-terbawa ke dalam mimpi.
2. Ketika bangun dari tidur : fikiran ketika itu tenang dan ucapan kata-kata yang lemah lembut akan memberangsangkan.
3. Selepas mandi : Tubuh terasa selesa dan mudah menerima nasihat.
4. Selepas riadah : Fikiran ketika itu cergas dan bersemangat dan mudah menerima kata-kata perangsang.
5. Selepas membaca al Quran : Hati menjadi tenteram dan lembut dengan kata-kata teguran dan nasihat.
6. Selepas berhibur : seperti mendengar nasyid, berkelah dan sebagainya.
7. Dalam perjalanan : seperti di dalam kenderaan.
5. DOA SEBAGAI USAHA BERTERUSAN
Setelah kita telah berusaha sedaya upaya, kita hendaklah memanjatkan doa kepada Allah dan memohon bantuan daripadanya kerana hanya Allah sahajalah yang mampu mengubah seseorang ke arah yang di kehendakiNya. Di antara doa yang boleh di amalkan ialah :
1- (( رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ))
2- (( رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ))
“Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat, dan juga keturunan dan zuriatku, tuhanku, terimalah permohonanku”
3- (( اللّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّيْنَ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ وَاهْدِهِ الصِّرَاطَ المُسْتَقِيْمَ ))
4- (( اللّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلَّا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلًا وَأَنْتَ تَجْعَلُ السَّهْلَ والحَزْنَ سَهْلًا يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ ))
5- (( يَا حَيَّ يَا قَيُّوْمَ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ اللّهُمَّ أَصْلِحْ لِأَوْلَادِيْ شَأْنَهُمْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْهُمْ ِإلَى أَنْفُسِهِمْ طَرْفَةَ عَيْنٍ وَلاَ أَقَلَّ مِنْ ذَالِكَ ))
“ Wahai tuhan yang maha hidup lagi berdiri dengan sendiri, aku memohon dengan rahmatmu perelokkanlah akhlak anak-anakku semuanya, janganlah engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun sekadar sekelip mata atau lebih pendek dari itu "
6- (( اللّهم اهدهم لصالح الأعمال والأهواء والأخلاق ، فإنه لا يهدي لصالحها إلا أنت، واصرف عنهم سيئها لا يصرف سيئها إلا أنت ))
“ Wahai tuhan kami, bimbinglah mereka ke arah perbuatan yang baik, kemahuan yang baik dan akhlak yang baik, sesungguhnya tiada yang dapat membimbing ke arah itu melainkan engkau, jauhkanlah mereka dari segala perbuatan yang buruk, sesungguhnya tiada yang dapat menjauhkannya melainkan engkau”
7- (( اللهم إني أسالك لهم الهدى والتقى والعفاف والغِنَى ))
“Ya Allah aku memohon untuk mereka hidayah daripadamu, ketaqwaan, kehormatan diri dan kekayaan”
8- (( اللهم طهِّر بناتي وبنات المسلمين بما طهَّرت به مريم، واعصِم أولادي وأولاد المسلمين بما عصِمتَ به يوسف ))
‘Ya Allah sucikanlah anak-anak perempuanku dan anak-anak perempuan kaum muslimin seluruhnya dengan kesucian yang engkau berikan kepada Maryam, lindungkanlah anak-anak lelakiku dan anak-anak lelaki sedluruh kaum muslimin dengan perlindungan yang telah engkau berikan kepada nabi Yusuf..”
9- (( اللهم اجعل الصلاة أحب إليهم من الماء البارد على الظمأ، إنك على كل شيء قدير وبالإجابة جدير، يا نعم المولى ونعم النصير ))
“ Ya Allah, jadikanlah solat lebih dicintai dan disukai oleh mereka daripada sukanya orang yang dahaga kepada air yang sejuk, sesungguhnya engkau maha berkuasa di atas setiap sesuatu, memakbulkan setiap doa, wahai tuhan sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong ..”
PENUTUP DAN KESIMPULAN
Demikianlah beberapa panduan dan bimbingan yang dapat diutarakan kepada para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak. Semoga panduan-panduan yang terkandung dalamnya dapat dipraktikkan oleh semua. Usaha-usaha yang dicurahkan diharap dapat membuahkan hasil yang baik khasnya dalam membentuk dan mendidik peribadi serta tingkahlaku anak-anak kita menjadi tunas islam dan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT. Mudah-mudahan ia sedikit sebanyak dapat membantu para ibubapa menjalankan tanggungjawab mendidik anak yang merupakan satu tugas yang besar.
[1] Pembentukan Keluarga Bahagia : Dr Che Noraini Hashim ms16.
Article kiriman Shakir Hassan
No comments:
Post a Comment