Tarbiyyah Anak-Anak ( 1 )
PENDIDIKAN ISLAM TANGGUNGJAWAB IBU BAPA
1 Anak Amanah Allah.
Anak-anak sebagaimana mereka adalah anugerah Allah, mereka juga adalah amanah Allah kepada manusia Sudah tentu sekali kita mengharapkan mereka menjadi anak yang baik dan soleh, anak yang mendapat petunjuk dan hidayah Allah di dalam kehidupan mereka, di dunia dan di akhirat. Orang beriman sifatnya menunaikan amanah.
Firman Allah :
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (8) سورة المؤمنون
Maksudnya : “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”
Anak-anak juga merupakan harta yang dipinjamkan Allah kepada manusia, menurut sebuah hadis Rasulullah SAW:
كُلُّكم راعٍ وكلكم مسئول عن رعيته . رواه البخاري ومسلم
Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin, setiap pemimpin akan bertanggungjawab kepada orang yang dipimpinnya”.
Mendidik anak-anak adalah hak dan kewajipan yang mesti disempurnakan oleh setiap ibu bapa terhadap anak-anak, sepertimana juga ibu bapa wajib memberikan nafkah kepada anak-anak untuk hidup seperti makan, pakaian dan tempat tinggal. Ibu bapa mestilah menunaikan tanggungjawab ini supaya tidak memikul dosa dan terlepas dari menjawab soalan ketika berhadapan dengan Allah SWT pada hari kiamat.
Perintah Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ( 6 ) سورة التحريم .
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.
2 Langkah - Langkah Yang Boleh Membantu Mendidik Anak.
Tugas mendidik anak-anak bukanlah suatu tugas yang mudah kerana kita terpaksa berhadapan dengan jiwa manusia. Ia bukan seperti kita menguli tepung atau membentuk tanah liat supaya ia membentuk acuan dan corak seperti yang kita mahu. Pepatang Inggeris menyebut bahawa “sekalipun kamu berjaya memaksa seekor kuda sampai ke sungai, kamu tidak akan berjaya memaksanya minum air sungai tersebut”. Oleh itu tugas mengubah jiwa mereka bukanlah sesuatu yang mudah, ia adalah satu usaha yang sukar dan rumit akan tetapi ia sebenarnya merupakan satu jihad.
Berikut adalah sebahagian dari langkah-langkah yang boleh kita lakukan bagi membantu tugas berbentuk jihad ini :
a) Ikhlaskan niat mendidik anak kerana Allah
Usaha yang kita lakukan hendaklah diniatkan semata-mata kerana ingin mencari keredhaan Allah. Firman Allah SWT:
والذين جاهَدُوا فينا لَنَهْدِينَّهُم سُبُلَنا
Maksudnya:
“Sesiapa yang berjuang pada jalan kami akan kami berikan mereka petunjuk ke jalan yang benar”. ( Al-Ankabut : 69)
Maka setiapkali kita merasa patah semangat dalam berusaha, kita kembali semula dan sedar bahawa kita berada dalam satu jihad yang benar untuk mencari keredaan Allah SWT, dengan ini kita sentiasa merasa seronok dan gembira.
b) Yakin kepada ganjaran Allah
Menanamkan keyakinan di dalam hati bahawa usaha mendidik anak-anak menyukai solat akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
من دعا إلى هُدى كان له من الأجر مثل أجور من تبعه ، لا ينقص من أجورهم شيئا
Maksudnya: “ Sesiapa yang mengajak ke arah satu kebaikan, pahala yang diperolehinya seperti pahala yang diperolehi orang yang mengikutinya, tiada kurang sedikitpun”.
c) Menghiaskan diri dengan sifat sabar
Kesabaran dan kecekalan dalam menjunjung perintah Allah SWT perlu wujud demi menjalankan tugas ini. Firman Allah SWT:
وَأْمُر أهلَك بالصلاة واصْطَبر عليها ، لا نسألك رزقاً نحن نرزقُك ( 132 ) سورة طه
Maksudnya:
“Suruhlah kaum keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah dalam menunaikannya, kami tidak meminta rezeki daripada kamu, bahkan kamilah yang memberi rezeki”.
d) Utamakan pendidikan anak-anak daripada urusan dunia
Janganlah kita hanya bersusah payah demi mencari rezeki dan keperluan makanan, sebaliknya keutamaan kesibukan kita dan jerih payah kita hendaklah juga dalam usaha mendidik menunaikan kewajipan terhadap Allah . Ini kerana Allahlah yang mengatur rezeki kepada manusia. Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ
Maksud: “ Allahlah maha pemberi rezeki, tuhan yang mempunyai kehebatan dan kekuatan”. ( Az-Zariyat : 58 )
Kita mesti ingat bawa setiap manusia akan mati apabila sampai tempoh ajalnya dan habis kadar rezekinya. Rezeki akan sentiasa ada dan mengekori seseorang seolah-olah seperti kematian. Sekalipun seseorang itu lari ke tempat yang lain, rezekinya juga tetap menjadi miliknya. Tetapi apa yang kita lihat berlaku pula sebaliknya. Ramai orang mengejar rezeki dengan mengabaikan tugas mendidik anak-anak.
e) Berdoa kepada Allah
Memohon doa kepada Allah dengan penuh harapan dan merendah diri. Kita juga mesti memohon pertolongan Allah agar usaha kita berhasil kerana kita tidak mampu mencapai sesuatu keinginan kita hanya semata-mata dengan usaha kita sendiri, tetapi dengan taufik daripada Allah SWT. Kita juga mesti sentiasa meminta daripada Allah berulang-ulang dan secara terus menerus tanpa henti.
f) Jangan putus asa dan sentiasa mengharapkan rahmat Allah
Jangan sekali-kali merasa putus asa dari rahmat Allah dalam berusaha mendidik anak-anak kita kerana rahmat dan bantuan dikurniakan oleh Allah tanpa diketahui dan disedari. Nabi Musa AS pernah bermunajat kepada Allah supaya diturunkan hujan untuk kaumnya. Baginda mendongak ke langit yang tiada awan seraya memohon pertolongan daripada Allah SWT. Allah SWT memerintahkan baginda memukul batu menggunakan tongkatnya, maka tiba-tiba terpancut dua belas mata air dari batu tersebut.
Nabi Zakaria pula dikurniakan Allah seorang anak iaitu nabi Yahya, sedangkan umurnya ketika itu sudahpun tua dan isterinya pula mandul. Maryam ibu nabi Isa yang merasa begitu tertekan dengan tuduhan hina masyarakat terhadapnya, dibantu oleh Allah SWT dengan diberi kuasa nabi Isa boleh berkata-kata sewaktu baginda masih bayi.
Oleh itu keyakinan kepada Allah hendaklah ada dalam diri kita bahawa usaha kita akan dibantu dan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT dan dengan pertolonganNya juga anak-anak yang dididik mungkin akan bertemu seseorang yang akhirnya menyebabkan anak itu menjadi baik, beriman serta taatkan perintah Allah. Ataupun mungkin berlaku peristiwa tertentu dalam hidupnya yang menyebabkan anak itu sentiasa berdamping dengan Allah SWT.
Ringkasnya kita cuba berusaha sedaya yang mungkin dalam mendidik mereka dengan meletakkan keyakinan bahawa hasilnya nanti ditentukan dan dibalas oleh Allah SWT.
Article kiriman Shakir Hassan
No comments:
Post a Comment